Loading...
Monday, February 24, 2014

Takut jadi Diva

PENANGAN ketika menjayakan segmen intermission dengan aksi komedi yang menggeletek penonton pada Anugerah Skrin 2013 (ASK2013) ketika iklan komersial, meninggalkan impak buat dua gadis berbakat, Zulin Aziz dan Sherry Alhadad.
Dek kerana persembahan mereka yang berjaya mencuri perhatian, gandingan tersebut terus disambar pengurusan Hot FM untuk menjadi sebahagian keluarga radio hangat itu dengan mewujudkan segmen Diva AM Crew yang bersiaran pada pukul 7 pagi, setiap hari Isnin, Selasa, Khamis dan Jumaat.
Pengurus Besar Rangkaian Radio Media Prima, Anida Mohd. Tahrim berkata, pihaknya begitu tertarik dengan aksi dan gelagat Zulin serta Sherry yang boleh dikatakan amat cemerlang ketika di ASK2013.
“Sejak itu, kami di bahagian pengurusan mula berbincang untuk mengetengahkan bakat mereka. Atas perbincangan tersebut, maka wujudlah segmen Diva AM Crew yang sesuai dengan karakter mereka, sekali gus menghiburkan pendengar Hot FM," katanya pada majlis sambutan ulang tahun Hot FM kelapan di Bangsar baru-baru ini.
Sementara itu, sama ada Zulin mahupun Sherry, kedua-duanya menjelaskan bahawa mereka langsung tidak berfikir panjang untuk bersetuju menerima tawaran daripada Hot FM bagi menjayakan segmen terbabit.
“Tanpa menunggu sesaat pun, kami terus menjawab ‘ya’ ketika Hot FM menawarkan peluang. Ini merupakan peluang terbaik buat kami melebarkan lagi sayap dalam bidang seni," jelas Sherry.
Walaupun gembira dengan perkhabaran tersebut, namun mereka mendedahkan, pada awalnya agak gusar untuk menggalas tanggungjawab itu memandangkan Hot FM adalah satu nama besar dan mempunyai jutaan pendengar.
“Ditambah pula, segmen itu dinamakan Diva. Ia satu istilah yang agak besar sedangkan penyampai yang sudah lapan tahun bertugas di Hot FM seperti Farah Fauzana atau Sharifah Aleya pun tidak pernah diberi gelaran sebegitu.
“Lagi pun, ini adalah kali pertama kami mengendalikan segmen radio, jadi serba sedikit terbit rasa takut kerana tidak boleh mendapat maklum balas secara terus," jelasnya yang terkenal menerusi lakonan bersahaja menerusi drama Sutun dan Rampas.
Namun begitu, tambah Zulin pula, mereka bersyukur kerana segmen itu dirakamkan terlebih dahulu dan ia memberi sedikit kelegaan kerana boleh memperbaiki kekurangan yang timbul selepas rakaman.
“Kami diberikan kebebasan untuk memilih topik, tetapi kami tidak akan menyentuh isu sensitif seperti bab keagamaan atau politik. Kami lebih banyak melakukan parodi agar situasinya lebih bersifat mesra pendengar.
“Walaupun segmen ini hanya tiga minit, tetapi begitu sukar untuk berlawak dalam tempoh masa tersebut dan sering kali terlajak hingga enam minit. Jadi kami akan rakam sekali lagi jika ia begitu jauh terlajak dan sukar disunting," tambah Zulin yang pernah membintangi drama Teduhan Kasih itu.

Mengulas mengenai keserasian mereka berdua, Zulin dan Sherry pernah digandingkan menerusi drama bersiri Misiku Kuza siaran Astro Ria. eserasian itu mudah terjalin kerana masing-masing telah lama menjalin hubungan persahabatan tatkala menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pada 2008.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP