Loading...
Tuesday, February 25, 2014

Disebalik lagu Umi

SEPANJANG menjadi penyanyi sejak 1979, Datuk Shake mempunyai banyak lagu-lagu yang telah dipopularkannya seperti Lina, Anugerah Dari Kegagalan, Umi dan Kau Bunga Ku.
Setiap lagu itu bukan sahaja masih lagi diminati oleh ramai pendengar sehinggalah ke hari ini tetapi ia juga mempunyai banyak cerita serta nostalgia di sebalik lirik-liriknya.
Namun, di antara semua lagu itu lagu Umi yang popular pada pertengahan 1980-an boleh dikatakan paling banyak meninggalkan nostalgia bagi penyanyi berasal dari Johor Bahru ini.
Menurut Shake, lagu itu secara tidak langsung mengingatkannya kepada arwah ibunya yang telah meninggal dunia pada 1986 sewaktu dia sedang mengadakan persembahan pentas.
"Sewaktu umi saya (ibu) meninggal dunia sekitar pukul 7 malam kira-kira 28 tahun lepas, saya berada di luar Semenanjung Malaysia kerana mengadakan persembahan pentas.
"Ketika itu saya tidak tahu ibu yang berada di Johor sudahpun meninggal dunia. Ketika itu saya dapat rasakan kelainannya apabila telinga saya macam pekak secara tiba-tiba.
"Saya kemudiannya rasa pelik dan terus berhenti menyanyi sekejap. Ramai orang yang tidak perasan akan perubahan pada diri saya itu sehinggalah saya mendapat berita tersebut.
"Keesokan harinya saya ambil pesawat dan terus balik menziarahi kubur arwah umi saya," katanya menceritakan tentang pengalamannya di sebalik lagu itu, ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh mengimbas nostalgia itu pada majlis tayangan klip video lagu Umi yang dirakamkannya dalam versi baharu.
Jelas penyanyi yang mula mencipta nama di Perancis sejak 1979 ini, itu antara kenangan yang tidak dapat dilupakannya sehinggalah ke hari ini.
Malah, tambah Shake dia turut mengalami pengalaman yang sama sewaktu ayahnya menghembuskan nafas yang terakhir sewaktu di awal pembabitannya sebagai penyanyi.
"Semasa ayah meninggal dunia saya berada di Paris iaitu pada 1979. Ketika itu saya baru sahaja mahu mencipta nama sebagai penyanyi selepas berhijrah ke sana.
"Sayangnya, saya juga tidak sempat menyaksikan jenazah arwah ayah dikebumikan. Kematian umi dan ayah adalah dua peristiwa yang tidak boleh saya lupakan," ujarnya.
Umi versi blues
Ternyata lagu Umi mempunyai daya tarikan tersendiri buat Shake selain cukup dekat dengan perjalanan hidupnya sebagai penyanyi yang mencipta nama di rantau orang.
Malah, lagu itu bukan setakat boleh dikategorikan sebagai malar segar, tetapi ia juga sesuai untuk dipersembahkan dalam jalur-jalur muzik lain mengikut kesesuaian zaman.
Sebab itu, tidak hairanlah penyanyi berusia 64 tahun ini merakamkan semula lagu Umi dalam nafas baru dan diterbitkan juga sebuah klip video yang melatari lagu tersebut.
Meskipun sering berasa sebak sewaktu menyanyikan lagu itu, Shake tidak menafikan ia adalah antara lagu yang selalu menjadi permintaan para peminatnya.
"Lagu itu popular pada 1984 yang mana ketika itu umi saya masih hidup . Saya sukakan lagu ini dan para peminat juga masih meminati lagu itu sampailah sekarang.
"Itu antara sebab mengapa saya rakamkan lagu Umi tetapi dalam versi irama blues. Saya memang mudah berasa sedih semasa menyanyikan lagu itu tetapi saya akan mengawal perasaan tersebut.
"Sebagai penyanyi profesional saya sentiasa akan melakukan yang terbaik semasa menyanyikan lagu itu yang mana melodi asalnya saya kekalkan walaupun ada elemen blues di dalamnya.
"Daripada lagu itu jugalah saya cuba mendalami lagi rasa rindu dan cinta saya kepada umi. Saya mahu kongsikan pengalaman itu kerana semua orang ada ibu, macam saya juga," jelasnya.
Menurut Shake meskipun Umi sebuah lagu Melayu tetapi dia menggunakan latar bandaraya Paris, Perancis sebagai jalan penceritaan lagu itu termasuklah pelakon dari negara terbabit.
Tindakan itu tidak bermaksud mahu meminggirkan latar tempat dari negara tanah tumpah darahnya, sebaliknya ia sebagai suatu tarikan buat para peminat di sini.
"Klip video itu diarahkan oleh anak saya, Amaro yang merupakan seorang pengarah. Saya sengaja menggunakan Paris sebagai latar tempat dalam klip video itu untuk tontonan di sini.
"Ini kerana, orang Malaysia tentunya mahu tengok bandar Paris macam Menara Eiffel. Cuma saya pelbagaikan pelakon dalam klip video itu yang mana ada orang putih dan orang Melayu.
"Saya misalnya, menggunakan khidmat seorang ibu Melayu yang bekerja di Kedutaan Malaysia di Paris sebagai pelakonnya dan penggambarannya mengambil masa empat hari," katanya.
Pada majlis tayangan klip video Umi untuk wakil-wakil media massa itu, Shake turut mengumumkan tentang konsert terbaharunya yang akan diadakan pada 10 Mei ini.

Konsert yang diberi nama Umi & Konsert Amal itu akan diadakan di Stadium Petra Jaya, Kuching, Sarawak itu anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Dia yang ditemani isterinya, Datin Milena Abdullah berkata konsert amal itu merupakan yang terbesar pernah diadakannya di negara ini sejak dia menjadi penyanyi pada 1979.
"Konsert ini adalah konsert amal dan sebahagian daripada jualan tiketnya nanti akan disalurkan kepada kementerian terbabit dan ia adalah hasil kerjasama dengan Shake Entertainment.
"Sebelum ini saya tidak dapat mengadakan konsert seperti ini kerana tiada penaja. Ini kerana, untuk konsert ini saya terpaksa membawa pemuzik dan penari dari Paris.
"Saya akan mengadakan persembahan selama kira-kira dua jam 30 minit yang mana konsert ini adalah sempena sambutan Hari Ibu yang dianjurkan oleh kementerian itu, " ujarnya

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP