Loading...
Monday, February 24, 2014

Saya bukan chef

NIATNYA hanya mahu mewarnai kembali industri hiburan tanah air terutamanya bidang nyanyian yang ditinggalkan sejak lapan tahun lalu tatkala mendirikan rumahtangga bersama insan tercinta.
Lantaran itu, Syura, 28, atau nama sebenarnya Zuraidah Badron mula menyusun langkah agar penampilan semulanya berjalan lancar tanpa adanya sebarang halangan yang tidak diingini.
Lantas, Syura mula membuat perbincangan dengan syarikat rakaman yang pernah dinaunginya dahulu iaitu Fantasia Music City (FMC) untuk berbincang mengenai kontrak terbaharu. Selepas mencapai persetujuan bersama, akhirnya dia kembali berada di bawah FMC yang turut menaungi Siti Nordiana, Elyana serta beberapa artis lain lagi.
Bagaimanapun, bak kata pepatah, rezeki datang bergolek, sebelum sempat menandatangani kontrak bersama FMC, Syura terlebih dahulu ditawarkan untuk menyertai program realiti MasterChef Selebriti Malaysia Masterchef) musim kedua yang diterbitkan oleh Astro, sekali gus menyaksikan anak kelahiran Johor itu ditabalkan sebagai juara, mengetepikan pencabarnya, Celina Khor.
Sejak itu, nama Syura kembali mendapat perhatian media dan pelbagai undangan bagi menjayakan program masakan diterima sehingga adakalanya dia sendiri tidak menang tangan untuk mengendalikannya.
Pun begitu, jauh di sudut hati Syura, dia akui agak kecewa kerana perancangannya untuk aktif semula dalam bidang nyanyian terbantut dek memenuhi undangan sebagai chef jemputan.
Bukannya tidak mengenal erti syukur, tetapi dia begitu merindui dunia nyanyian yang merupakan tujuan utamanya muncul semula di persada seni tanah air.
“Hasrat saya sememangnya untuk aktif di pentas nyanyian atau lakonan. Tidak terlintas untuk bergelar selebriti chef kerana pada dasarnya, saya bukanlah seorang yang arif dalam dunia masakan.
“Mungkin disebabkan tunjuk ajar serta pengalaman yang diperoleh ketika berada dalam program MasterChef, alhamdulillah saya berjaya mengharungi semua cabaran yang ditetapkan dan tanpa diduga, saya memenanginya sedangkan pada hemat saya, Celina adalah calon terbaik bergelar juara.
“Namun, sudah tertulis bahawa rezeki ketika itu berpihak kepada saya dan bersyukur kerana program itu secara tidak langsung menaikkan semula nama saya," katanya.
Buku masakan
Memandangkan dirinya mula dikenali sebagai seorang chef, Syura menggunakan kesempatan itu untuk menjana pendapatannya selagi rezeki masih berpihak kepadanya.
Saban hari, aktiviti hariannya dipenuhi dengan pelbagai acara berkaitan bidang masakan sama ada pertunjukkan masakan, juri jemputan, pengacara pertandingan masakan, bual bicara dan sebagainya.
Mengakui kemahiran masakannya baharu berusia setahun jagung, Syura berusaha untuk meningkatkan pengetahuannya dalam bidang kulinari dengan mempelajarinya menerusi laman media, mahupun dengan chef profesional yang dikenalinya.
“Saya seronok memasak. Sambil mengadakan demonstrasi masakan, saya akan selitkan dengan nyanyian bagi memberi kepelbagaian dalam persembahan saya dan mengharapkan tetamu yang menonton menyukainya.
“Kini saya begitu menggemari memasak menu barat memandangkan sebelum menyertai MasterChef, saya langsung tidak tahu untuk memasaknya. Boleh dikatakan, setiap hujung minggu saya akan masak makanan barat untuk dihidangkan kepada suami dan anak-anak saya," jelasnya.

Lebih menarik, Syura cuba berkongsi kegembiraannya dalam bidang masakan dengan merancang untuk menghasilkan buku biografinya yang disertakan dengan buku resipi.
“Ia berkonsepkan santai mengenai diri saya berkaitan aktiviti dunia masakan yang saya alami. Apa yang sedang saya lalui sekarang adalah sesuatu yang tidak pernah dijangkakan dan saya amat menghargainya," kata Syura menamatkan perbualan pada hari itu.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP