Tidak gentar dengan cabaran itu, dia yakin bakatnya masih diterima ramai dan menjadi pilihan komposer terkenal.
Setelah sekian lama menyepi, Jaclyn teruja diberi peluang turut serta dalam persembahan Konsert Stanza Cinta Eksklusif Bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) sempena ulang tahun Universiti Utara Malaysia (UUM), awal April depan.
Turut sama, Adira, Noh (Hujan) dan Haziq yang akan memeriahkan konsert itu nanti.
Penyanyi yang mulai terkenal selepas menyertai program realiti Malaysian Idol musim pertama kira-kira sepuluh tahun lalu, Jaclyn Joshua Thanaraj Victor atau lebih dikenali dengan panggilan Jaclyn Victor.
Namanya usah diperkenalkan lagi kerana memiliki suara yang jarang ada dalam setiap penyanyi.
Memiliki suara lantang jelas, anak kelahiran Kepong, Kuala Lumpur itu memulakan kerjaya seninya ketika berusia agak lewat.
Namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang biarpun pernah diuji dengan kontroversi.
Digelar 'rasis' ketika mendendangkan lagu Harapan Bangsa pada 2007, Jaclyn tetap tabah dan sabar dengan ujian tersebut.
Nyata semuanya tidak benar kerana wanita berusia 36 tahun itu, tidak sesekali rebah dengan persepsi negatif daripada masyarakat.
Meniti arus kehidupan penyanyi hitam manis itu pernah dinobatkan sebagai Ikon Malaysia sepanjang pencapaian bergelar anak seni.
Selain itu, dia juga menggondol beberapa trofi ketika Anugerah Industri Muzik (AIM) ke 19 yang berlangsung baru-baru ini termasuklah Vokal Wanita Terbaik, Penyusunan Muzik Terbaik dan Lagu Inggeris Terbaik (Counting Days).
Terbaharu, dia turut memenangi trofi kategori Persembahan Vokal Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu 28 (AJL28) lalu, menerusi lagu Ikut Rentakku.
Biarpun kerjayanya pernah dilanda badai, namun dia tetap diterima dengan baik oleh setiap lapisan masyarakat kerana sikapnya yang positif.
Menurut Jaclyn, dia bersyukur kerana setiap kali ditimpa musibah atau masalah, keluarga dan peminatnya setia menyokong kerjayanya.
"Tanpa peminat siapalah saya. Mereka yang banyak menaikkan nama saya sehingga capai ke tahap ini.
"Begitu juga dengan keluarga saya yang tidak pernah putus beri kata semangat untuk saya terus bertahan," katanya.
Minat berlakon
Sedikit mengenai perkembangan terkini, Jaclyn berkata masa dan waktunya diisi dengan aktiviti nyanyian buat masa sekarang.
Katanya, selain tumpuannya terhadap dunia muzik Jaclyn juga minat dalam bidang lakonan.
Sebelum ini, dia pernah membintangi beberapa filem Bahasa Melayu dan Tamil seperti Susuk (2008), Talentime (2009) serta Appalam (2010).
Biarpun tawaran tetap ada untuknya, dia berkata sekiranya tidak bertindih dengan jadual waktunya dia akan menerima tawaran lakonan.
"Buat masa kini, saya lebih suka menumpukan dalam bidang nyanyian.
"Lagipun saya mahu melancarkan single baharu, Senafas Baru kepada peminat.
"Ia merupakan track kedua dalam album terbaru saya," katanya.
Menurutnya lagi, bidang nyanyian dan lakonan mempunyai perbezaan yang sangat besar.
"Jika nyanyian saya amat mudah untuk mendapatkan 'feel' untuk menyanyikan lagu, mungkin sudah biasa.
"Tetapi lakonan agak sukar pada mulanya kerana saya tidak pandai menjiwai watak atau karakter.
"Walaupun begitu, saya amat seronok dapat merasai pengalaman ini dan tidak sabar untuk berlakon lagi," katanya.
Lebih semangat
Bercerita mengenai persediaannya dalam konsert itu pula, dia berkata masih lagi menunggu kata putus daripada pihak penganjur iaitu Istana Budaya dan UUM berkaitan jadualnya.
Konsert tersebut dijadualkan bermula pada 4 dan 5 April depan di Panggung Sari, Istana Budaya bersempena ulang tahun universiti tersebut.
"Lagipun pada mulanya penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari sepatutnya menyertai kami pada hari tersebut.
"Tetapi beliau menarik diri di saat akhir kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan.
"Namun peluang untuk menyanyi bersama orkestra merupakan satu peluang yang sangat berharga," ujarnya.
Tambah Jaclyn, dia bakal mendendangkan lima buah lagu Melayu dan sebarang perubahan jadual tertakluk kepada pihak penganjur.
"Saya gembira dan teruja dapat menyanyi bersama live band atau orkestra kerana ia memberikan kelainan dalam persembahan.
"Penglibatan mereka nyata beri semangat kepada saya untuk menyanyi dengan lebih baik.
"Ia seolah-olah ada kuasa misteri yang membuatkan saya berasa begitu bersemangat dan teruja di atas pentas," katanya yang sudah banyak kali melakukan persembahan bersama orkestra.
0 comments:
Post a Comment