Nama Nas-T dalam lakonan tidaklah setanding dengan pelakon-pelakon hebat lain memandangkan kedatangan awalnya ke dalam bidang seni bukanlah menerusi lakonan.
Sebaliknya, Nas-T mula memasuki ke dalam bidang seni sebagai seorang juruhebah radio dan secara perlahan-lahan, bakat itu dikembangkan ke dalam dunia lakonan filem.
Tentunya tidak banyak kisah yang boleh disingkap dalam kerjaya seni Nas-T kerana lebih banyak yang gemar bertanya tentang kisah cinta silamnya bersama pelakon, Nabila Huda.
Bagi Nas-T, dia sedar orang ramai lebih gemar bertanya tentang pasca berakhirnya hubungan mereka tetapi turut mengakui penat untuk bercerita tentang perkara ini.
"Sebenarnya, saya tiada masalah jika ada yang masih menceritakan hubungan dengan Nabila sebelum ini, saya akan menjawab.
"Cuma, jawapan yang sama diberi berulang kali membuatkan saya penat. Tapi tidak mengapalah, kadang-kadang, ada orang yang tidak mengikuti perkembangan artis, jadi tidak salah mereka bertanya.
"Lagipun, saya tahu, menjadi seorang artis dan terlibat dalam dunia hiburan, persoalan seperti ini adalah lumrah dan kita tidak boleh lari daripada kenyataan ini," jelasnya tenang.
Tambah Nas-T, hubungan dengan Nabila kini masih baik dan perpisahan itu tidak membawa sedikit pun permusuhan antara mereka.
"Kami bermula sebagai rakan karib dan kemudian ke alam percintaan. Tetapi sayangnya, percintaan itu tidak menjadi seperti yang dirancang. Hubungan kami putus tidak lama kemudian dan hari ini kami buat hal masing-masing sahaja sebab cinta tidak menjadi itu," jelasnya.
Selepas berpisah, tiada apa yang berbeza, cuma kini masing-masing sudah membawa haluan sendiri.
"Hubungan kami masih baik, tetapi tidaklah terlalu kerap bertemu kerana masing-masing pun sibuk," ujarnya.
Bagi Nas-T, buat masa ini, bukan dia tidak mahu mencari pengganti, tetapi semakin menginjak usia, dia mahu menstabilkan dirinya sebagai seorang pelakon terlebih dahulu.
Pernah menjalani kehidupan susah dalam bidang seni sebelum ini, itu memberi pengajaran buatnya. Bukan mudah untuk mencapai apa yang berjaya diperoleh hari ini, justeru dia mahu menjaganya sebaik mungkin.
"Saya kena akur, bukan mudah bergelar anak seni. Malah, saya sendiri pernah rasa diri naik dan turun dalam industri. Malah, ada ketikanya saya langsung tidak ditawarkan berlakon dalam tempoh yang agak lama.
"Perkara-perkara sebegini yang membuatkan saya sedar bahawa tidak ada jalan singkat untuk bergelar seorang pelakon dan saya sendiri perlu berusaha lebih keras. Apabila orang sudah mula kena kita sedikit demi sedikit, kena jaga, jangan sampai musnah.
"Buat masa sekarang, saya masih aktif dalam dunia lakonan dan sedang belajar untuk memperbaiki lagi lakonan saya," jelasnya.
Memikirkan tentang itu yang membuatkan Nas-T menolak kemungkinan untuk bercinta lagi dalam masa terdekat ini.
Malah, dia tidak menafikan mahu menamatkan zaman bujang, tetapi tidak meletakkan sebarang sasaran tertentu.
"Sekarang ini saya fokus pada kerjaya dan keluarga. Jodoh itu saya akan tunggu sampai ada yang sesuai untuk dijadikan isteri," ujarnya.
0 comments:
Post a Comment