Loading...
Sunday, February 23, 2014

Bibit-bibit hitam Zara Zya


FIGURA ini mengakui ada yang pernah cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya.


JIKA hendak dibandingkan hayatnya dalam bidang lakonan dengan pencapaian yang digenggam setakat ini, pelakon genit, Zara Zya, 29, bukanlah seorang selebriti yang berpeluang mengecap nikmat populariti secara mendadak. Segala pengiktirafan yang diterima setakat ini membuktikan bahawa kehadirannya dalam industri adalah serius dan bukan bersifat sementara.
Namun, perjalanan tuan empunya nama, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin dalam dunia lakonan bukanlah semudah yang dijangka. Sepanjang tempoh sepuluh tahun bergelumang dalam bidang itu, aktres yang berasal dari Lenggong, Perak ini pernah melalui bibit-bibit hitam apabila ada sebilangan manusia yang bersifat keji cuba untuk mengambil kesempatan ke atas dirinya.
“Saya masih ingat dengan jelas. Sewaktu mula-mula menceburkan diri dalam dunia lakonan, saya pernah diajak beberapa kali ke pusat hiburan karaoke untuk tujuan berhibur oleh orang-orang penting dalam industri. Sebagai balasan, mereka akan menawarkan saya peluang untuk berlakon.
“Ketika itu, saya berasa sungguh terkejut. Tindakan seperti itu sedikit sebanyak membuatkan saya mempunyai tanggapan yang negatif terhadap orang-orang dalam industri hiburan.
“Alhamdulillah, saya tidak terjerumus ke kancah tidak bermoral itu. Sejak peristiwa itu, saya nekad untuk terus positif dan terus mencuba untuk memperbaiki diri sebagai seorang pelakon,” ujar Zara ketika ditemui pada majlis ramah mesra Rawk & Bowl bersama kelab peminatnya, LoveZaraZyaFC di Ampang Superbowl, Ampang Point, Ampang, Selangor, semalam.
Dunia lakonan filem
Bercakap mengenai mutu lakonannya setelah namanya mula meniti di bibir peminat, pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri I Love You Mr. Arrogant untuk watak Zaraa Amirah ini berkata, dia lebih gemar melakonkan watak yang bertentangan dengan personalitinya yang normal.
“Menerusi watak Zaraa Amirah, karakter yang saya mainkan merupakan seorang wanita yang lemah lembut. Itu mungkin mencerminkan diri saya yang sebenar. Tetapi dalam drama Puteri Malam, watak Puteri pula digambarkan sebagai seorang wanita yang hilang pedoman hidup. Watak seperti itu lebih menampakkan sisi berbeza saya.

POPULAR. Zara meluangkan masa bermain boling bersama ahli-ahli kelab peminatnya, LoveZaraZyaFC di Ampang Point, Ampang, Selangor semalam.


“Justeru, saya amat suka jika peminat dapat meneliti dan membandingkan mutu lakonan saya antara dua drama tersebut. Jika mereka boleh menerima lakonan saya menerusi watak Puteri, maka, saya sudah mencapai satu tahap yang lebih tinggi dalam kerjaya saya,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai peluangnya dalam dunia lakonan filem, ujar Zara , dia tidak mahu terburu-buru mengambil sebarang tawaran jika dia sendiri masih tidak bersedia.
“Saya ada juga ditawarkan untuk berlakon filem. Akibat kekangan masa dan jadual lakonan drama yang padat, saya terpaksa menolak tawaran tersebut. Saya tidak boleh menerima banyak tawaran dalam satu-satu masa. Susah mahu fokus,” jelasnya sambil ketawa.
Hargai peminat
Tanpa sokongan padu daripada para peminat, kehadiran anak seni serta kerja keras yang cuba ditonjolkan mungkin tidak bermakna. Bagi Zara, dia amat beruntung kerana peminatnya tidak pernah putus-putus menyokong kerjayanya sebagai seorang pelakon.
“Saya akui, sokongan peminat sangat penting dalam perkembangan kerjaya seseorang artis.Lebih-lebih lagi apabila mereka sanggup berusaha dengan gigih untuk membantu saya merangkul mana-mana anugerah yang memerlukan undian daripada para peminat,” ujarnya yang tercalon dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) menerusi kategori Artis Baharu Popular.
Kelmarin, pada penganjuran Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, Zara dan hero I Love You Mr. Arrogant , Azlee Khairi diumumkan sebagai pemenang kategori Pasangan Hero & Heroin Pilihan, sementara I Love You Mr. Arrogant pula dinobatkan sebagai pemenang kategori Drama Pilihan.
Dalam pada itu, Presiden LoveZaraZyaFC, Noor Haslinda Shaharudin, 34, berkata, dia mula memasang niat untuk membangunkan kelab peminat untuk Zara sewaktu mula-mula menonton lakonannya menerusi I Love You Mr. Arrogant.
“Karakter Zara dalam drama tersebut sungguh bersahaja dan dia sangat rajin melayan peminat. Disebabkan itu, saya terus bercadang untuk menubuhkan kelab peminat rasmi untuknya,” jelasnya.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP