Pemergian Allahyarham Yasmin Ahmad pada Julai 2009, masih meninggalkan kesan cukup mendalam buat Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya (Nani) , 28.
Hal ini, diperakui sendiri Fatimah Abu Bakar (Fati), ibu kepada aktres handalan itu. Air mata Nani, begitu mudah mengalir setiap kali menyebut nama atau terkenangkan arwah yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri.
Hubungan mereka terlalu istimewa sehinggakan Fati percaya ada banyak perkara yang dikongsikan Nani dengan pengarah hebat itu yang dia sendiri tidak ketahui.
Selepas pemergian Yasmin, Nani bagaikan kepatahan sayap dan sebilangan besar penggiat industri perfileman menyedari akan hal ini.
Selepas pemergian Yasmin, Nani bagaikan kepatahan sayap dan sebilangan besar penggiat industri perfileman menyedari akan hal ini.
Namun ramai yang tidak tahu selain arwah Yasmin, Nani sebenarnya mempunyai hubungan yang akrab dengan seorang lagi pengarah ‘favourite’ iaitu Shahili Abdan, 45, atau lebih dikenali sebagai Namron.
Mereka bertemu di set penggambaran filem Gubra, yang ditayangkan pada 2006 dan diarahkan arwah Yasmin. Untuk filem ini juga, Nani memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19).
Menceritakan detik perkenalan mereka, Namron juga seorang pelakon handalan berkata, walaupun terbabit dalam pembikinan Gubra, tiada sebarang babak membabitkan mereka berdua.
“Kami saling kenal melalui arwah Yasmin Ahmad. Nani memang rapat dengan arwah sementara saya juga mempunyai hubungan baik dengan beliau.
“Namun kalau berpasangan dengan Nani, drama Lembut Bukan Lelaki adalah gandingan sulung kami berdua, kalau tak silap saya. Selain berlakon, saya turut mengarahkan sebuah filem iaitu Psiko: Pencuri Hati lakonan Nani, Syed Hussien dan Bront Palarae.
“Kerjasama seterusnya adalah Kompilasi Namron yang dipentaskan sekitar November tahun lalu di Damansara Performing Arts Centre. Manakala filem terbaru kami adalah Gangster Rock. Namun tiada pula babak bersama.
“Bagi saya, Nani pelakon yang berbakat hebat. Saya mula mengikuti hasil kerja Nani terutamanya karya di bawah arahan arwah Yasmin. Hati saya pernah berkata, budak ini bagus.
“Apabila sudah bekerja dengannya, saya lebih nampak komitmen Nani sebagai pelakon. Lakonannya ada jiwa, jujur dan asli.
“Membuatkan kami cepat ‘ngam’ kerana kami berkongsi topik perbualan yang sama, suka bercakap mengenai filem. Mungkin serasi itu wujud kerana saya tiada adik perempuan memandangkan saya anak bongsu sementara Nani pula tiada abang kerana semua adik-beradiknya perempuan,” katanya.
Namron bagaimanapun, menyifatkan Nani seorang yang sukar didekati pada mulanya kerana dia akan mengkaji terlebih dulu perwatakan kenalan barunya.
Sering menceriakan keadaan di set penggambaran dan pada masa sama seorang yang ‘outspoken’, Nani begitu sensitif terhadap isu penindasan.
Mengimbas semula satu insiden membabitkan Nani ketika dalam rangka promosi filem Psiko: Pencuri Hati di Melaka, Nani pernah menyerang kaunter tiket wayang untuk membela nasib empat pelajar.
“Filem arahan saya itu diklasifikasikan sebagai 18PL. Walaupun kami tidak berpuas hati dengan keputusan itu, kami tetap menghormati apa yang sudah diputuskan Lembaga Penapisan Filem.
“Cuma Nani rasa terkilan kerana ada filem yang terang-terangan lebih ganas dan kejam seperti produk HBO tapi diberikan tontonan P13. Dia berasa ada diskriminasi di situ.
Kebetulan ada empat pelajar yang mahu menonton filem saya dan mereka tidak dibenarkan masuk kerana di bawah umur.
“Tiket mereka dicop dan diambil tetapi wang tidak dikembalikan. Sedangkan kalau di negara jiran seperti Singapura sebelum membeli tiket harus tunjuk kad pengenalan dulu. Nani yang rasa simpati dengan remaja itu, meluru ke kaunter tiket dan memanggil pengurus panggung lalu bertanya apakah pengurus itu sudah menonton filem Psiko: Pencuri Hati?
“Dia menyoal lagi, apakah pengurus itu merasakan filem berkenaan terlalu ganas dan tidak boleh ditonton remaja bawah umur?
“Kemudian pengurus itu mengakui bahawa filem saya tiada sebarang unsur-unsur kekejaman yang melampau. Selepas berdebat akhirnya pelajar berkenaan dibenarkan masuk oleh pengurus panggung itu tetapi harus membeli tiket baru.
“Apa yang mengharukan, Nani sanggup mengeluarkan wangnya sendiri dan membawa masuk empat orang remaja tadi ke dalam panggung,” katanya.
0 comments:
Post a Comment