Pelakon Nur Fathia mengakui keserasiannya bergandingan dengan aktor Keith Foo dalam drama bersiri Ariana Rose membuatkan ramai peminat drama tersebut mendesak mereka agar menjalinkan hubungan cinta.
Fathia atau nama sebenarnya Nur Fathia Latiff, 26, berkata, peminat-peminat memberi pelbagai reaksi dan komen di laman sosial mereka yang ingin melihat mereka mempunyai hubungan yang serius.
"Ramai peminat yang meminta kami bercinta di luar set penggambaran, mungkin kerana keserasian kami dalam Ariana Rose itu membuatkan peminat mahu melihat ia menjadi kenyataan di luar drama.
"Tetapi mereka seharusnya dapat membezakan antara lakonan dan dunia nyata, saya sedang menjalinkan hubungan cinta dengan Aiman Hakim Redza, manakala Keith pula seorang yang sangat setia dengan kekasihnya," katanya kepada mStar Online.
Tambah Fathia, biarpun lakonan romantiknya dengan Keith Foo dilihat 'menjadi', namun dia mengakui ia bukan perkara yang mudah untuk dilakukan.
Katanya, Keith seorang yang sangat pemalu sehingga membuatkannya kekok untuk melakonkan beberapa babak mesra dalam drama tersebut.
"Penonton mungkin nampak kami serasi tetapi ketika di set penggambaran ia sangat susah untuk dilakukan.
"Ada babak mesra yang kami jadi segan dan kekok, Keith pula memang seorang yang pemalu," katanya.
Sementara itu, Fathia tidak menafikan kejayaannya merangkul anugerah Pelakon Wanita Pilihan di Anugerah Festival Kuala Lumpur pada Sabtu lalu turut di pengaruhi oleh populariti drama tersebut.
Tambah Fathia, dia tidak pernah menjangkakan kemenangan tersebut, malah tidak menganggap dirinya popular.
"Biarpun saya dicalonkan untuk drama Diandra, namun saya tidak menafikan kemenangan tersebut adalah kerana populariti drama Ariana Rose," katanya.
Drama Ariana Rose yang bersiaran menerusi slot Akasia TV3, pada pukul 7 malam telah melabuhkan tirainya pada 13 Februari lalu dan berjaya mencecah 4.5 juta penonton.
0 comments:
Post a Comment