Loading...
Tuesday, February 25, 2014

Anak minta ibu tiri

SEKIAN lama menduda, orang yang paling rapat dengan kehidupan Datuk Jamal Abdillah sendiri bagaikan memahami dirinya yang kesepian.
Ayah kepada Osama Yamani, 13, dan Ahmad Zaki Yamani, 8, ini secara jujur memberitahu, dia sudah beberapa kali diminta oleh anak-anaknya supaya berkahwin lagi. Hubungan rapat yang terjalin antara Jamal dan anak-anak sedikit sebanyak membuka ruang buat dia berkongsi perasaan dengan zuriatnya itu.
"Osama sudah faham, dia semakin matang. Selalu juga dia menyuruh saya supaya berkahwin semula. Sebagai anak yang sulung, mungkin dia lebih faham keadaan dan menjadi kasihan dengan saya.
"Dia tahu saya sunyi. Mungkin mereka sedih melihat bagaimana saya menjalani kehidupan setiap hari tanpa diuruskan isteri," beritahu penyanyi berusia 55 tahun ini.
Bagaimanapun, menurut Jamal, dia sudah bersedia untuk menjawab setiap pertanyaan anak-anak dengan cara yang terbaik. Malah, tanpa marah-marah atau mempertikaikan persoalan anak-anak, Jamal tidak kisah untuk menjawab soalan yang berbaur agak peribadi sebegitu.
"Saya agak terbuka bercakap dengan anak soal soal sebegini. Setiap kali dia timbulkan soalan ini saya katakan kepadanya tiada jodoh lagi. Belum sampai seru untuk saya bernikah lagi," katanya.
Menolak untuk mengatakan dia fobia dengan perkahwinan, ada sesuatu yang Jamal belajar daripada kegagalan. Katanya kali ini perasaannya akan diletakkan dahulu, bagi memastikan tidak terluka sekali lagi.
"Bukan fobia, saya lebih kepada berhati-hati. Sebenarnya saya cemburu melihat rakan artis lain seperti Datuk M. Nasir bersama isterinya, mereka ke mana-mana bersama-sama. Cuma saya tidak mahu kecundang lagi. Saya takut kalau kecewa lagi ia akan merubah saya menjadi manusia berbeza," katanya, jujur.
Tiga kali dia bertemu kegagalan dalam rumah tangga, ada sesuatu yang mula menerpa dalam diri penyanyi hebat ini. Menurut Jamal, pengajaran yang dipegangnya sejak beberapa tahun menduda adalah untuk menyiapkan diri menjadi suami yang lebih bertanggungjawab. Tidak menolak sentiasa didekati wanita, bagi Jamal di kala mencari kematangan, dia sudah diberikan kelebihan untuk mengenali siapa sebenarnya mereka.
"Adalah yang mendekati saya, tetapi sekilas ikan di air saya sudah tahu tujuan mereka. Ada yang mendekati kerana saya seorang penyanyi, kerana gelaran Datuk, jadi saya selesa untuk sendiri dahulu buat sementara waktu," katanya.
Lebih selesa bercakap soal mendidik anak-anak dari kisah cinta, menurut Jamal buat masa ini dia sudah nampak minat seninya ini turun kepada anak sulungnya. Bagi memastikan anaknya itu mendapat pendedahan yang betul, Jamal tidak kisah untuk mengeluarkan sedikit modal.
"Osama kini berada di sekolah seni, dia memang minat bidang muzik. Jika dahulu minat saya untuk belajar seni tidak diteruskan oleh ayah, kini saya mahu lakukan sesuatu yang berbeza untuk Osama.
"Saya tidaklah terlampau besarkan mereka dalam kemewahan. Itu cara saya dan adakalanya saya agak garang dalam mendidik mereka," katanya ketika ditemui pada majlis Sidang Media Raikan Hari Ibu Bersama Datuk Jamal Abdillah, di Ndah Mahligai, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Mereka bakal di satukan bersama penyanyi Nas Adilla pada persembahan Raikan Hari Ibu Bersama Datuk Jamal Abdillah. Bagi Jamal gosip yang mengaitkan dia dengan penyanyi itu tidak pernah ditimbulkan pihaknya. Tidak pernah terniat mahu memperisterikan Nas, Jamal melihat kerjasama ini lebih kepada tanggungjawab kepada kerjaya.

"Saya tidak kisah untuk berkerjasama dengan Nas, jujurnya kami memang tidak ada apa-apa. Kalau betul saya mahu kahwin, sudah lama saya kahwin. Apa yang penting sampai sekarang saya masih solo," katanya ketawa

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP