MINAT yang mendalam terhadap bidang lakonan mendorong pendatang baharu, Natasha Elyzza atau lebih mesra disapa Tasha untuk berkecimpung dalam bidang lakonan seawal umur 20 tahun.
Mula dikenali melalui drama Duri Di Hati yang pernah disiarkan menerusi slot Azalea di TV3 tidak lama dahulu, dia merasakan dirinya terlalu mentah dan masih banyak yang perlu dia pelajari untuk menjadi seorang anak seni dalam industri hiburan yang serba mencabar ini.
Gadis kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu berkata, buat masa sekarang, dia tidak pernah memilih watak sekiranya diberi tawaran berlakon daripada pihak produksi.
Ini kerana setiap watak dapat memberinya pengalaman dalam membentuk dirinya lebih matang dan dikenali ramai.
“Buat masa sekarang, saya menerima apa sahaja tawaran yang datang. Bagaimanapun jika diberi pilihan, saya teringin memegang watak yang mencabar seperti watak antagonis, psiko atau penggoda.
“Saya lebih suka melakonkan watak antagonis disebabkan ia mencabar dan memerlukan lebih ekspresi.
“Usaha itu dirasakan berbaloi apabila watak yang dimainkan dapat memberi kesan kepada penonton,” ujarnya yang bercita-cita untuk menyambung pengajian dalam bidang lakonan.
Kawan rapat Emma Maembong
Bercerita mengenai permulaan penglibatannya dalam bidang lakonan, Tasha berkata, pelakon genit, Emma Maembong merupakan salah seorang yang bertanggungjawab membawanya ke dunia lakonan.
“Ketika kami mula berjinak-jinak dengan bidang lakonan setahun lalu sebagai pelakon tambahan, Emma masih belum terkenal seperti sekarang.
“Tidak lama selepas mengenalinya, rezeki dalam bidang lakonan lebih memihak kepada Emma yang terus mencipta populariti menempa nama dalam bidang lakonan
“Sejak Emma aktif berlakon, sesekali dia memperkenalkan saya kepada beberapa syarikat produksi untuk sesi uji bakat. Alhamdulillah, setakat ini bakat saya diterima untuk mengisi watak pembantu,” katanya.
Projek Memikat Suami
Mengulas mengenai pengalaman berlakonnya, Tasha berkata, sebagai pelakon tambahan drama Projek Memikat Suami, banyak mengajar dirinya memperbaiki mutu lakonannya.
“Kru produksi banyak membantu saya dalam memberi pandangan dan nasihat sepanjang sesi penggambaran.
Peluang untuk berlakon dengan dua bintang muda yang popular pada masa kini seperti Emma Maembong dan Aiman Hakim Ridza membuatkan saya tidak kekok setiap kali di set penggambaran.
“Pengalaman sebegini yang saya kumpul sedikit demi sedikit untuk membaiki diri dan mutu lakonan pada masa akan datang,” ujarnya yang menjadikan pelakon sensasi, Nora Danish sebagai idolanya.
Tidak ketinggalan bercerita mengenai perkembangan terbaharunya, ujar Tasha, dia sedang menunggu tawaran untuk menjayakan sebuah drama pada bulan Mac nanti.
Dalam masa yang sama, dia juga mencuba nasib dalam bidang peragaan sebagai model.
0 comments:
Post a Comment