Loading...
Monday, February 24, 2014

Nora belum sedia

Bukan hasratnya ingin menjaja cerita peribadi berbanding karier seni yang sudah diceburinya, sejak dulu. Namun, itulah harga yang perlu dibayar pelakon jelita Nora Danish, sejak bergelar anak seni.
Malah, setiap kali ditemubual pihak media, pelakon berstatus ibu tunggal ini nampaknya tidak dapat mengelak apabila soalan yang diajukan pasti berkaitan hubungannya yang semakin hangat dengan anak VVIP, Nedim Nazri ketika ini.
Cerita terbaru, nama Nora dan Nedim mencuri tumpuan sekali lagi. Semuanya kerana gosip yang mendakwa pasangan sensasi ini dikatakan sudah membeli barangan hantaran untuk majlis perkahwinan mereka yang bakal berlangsung tidak lama lagi?.

Namun, Nora dengan tegas menafikan gosip berkenaan tidak berasas sama sekali.

NORA nafi khabar angin temani Nedim beli barang hantaran kahwin.

“Saya pun tidak tahu dari mana datangnya gosip kami beli barang hantaran itu? Memang saya dan Nedim pernah keluar pergi beli-belah bersama-sama tapi kami bukannya beli barangan hantaran seperti digosipkan itu. Saya berharap gosip yang tidak betul itu dihentikan dengan segera,” katanya.
Setiap kali ditanya sejauh mana hubungannya dengan Nedim, Nora tetap dengan keputusannya belum bersedia untuk bercerita lebih lanjut.

“Setakat ini, hubungan kami berjalan lancar. Biarlah kami saling mengenali hati budi dulu sebelum merancang untuk hidup bersama.

“Apapun, kami berdua lebih selesa menganggap hubungan ini sebagai kawan biasa saja. Saya juga hanya bersedia memberitahu pihak media dan peminat di luar sana bila sampai masanya saya ingin berkahwin kelak.

“Memang dia lelaki yang paling rapat dalam hidup saya ketika ini. Namun, selagi belum ada kepastian mengenai soal perkahwinan, selagi itulah saya dan Nedim menganggap hubungan kami sebagai teman biasa saja,” katanya.

Nora ditemui di majlis doa selamat filem genre komedi seram, Hantu Bungkus Ikat Tepi di Wisma Metrowealth di sini baru-baru ini.

Begitu juga soal kahwin, kata Nora, dia juga tidak merancang untuk melangkah ke fasa perkahwinan pada tahun ini.

“Sebagai wanita yang sudah dewasa dan pernah berkahwin, saya juga boleh menerima hakikat, seandainya hubungan saya dan Nedim tidak berakhir ke jenjang pelamin. Bagi saya, soal jodoh adalah ketentuan Tuhan.

“Mengenai gambar kemesraan kami yang dikongsi di laman sosial pula, saya harap ia tidak diperbesarkan kerana saya juga seperti orang lain sekadar ingin berkongsi gambar dengan rakan-rakan dan peminat,” katanya.


Cabar diri beraksi dalam filem komedi

Sebagai pelakon yang ada misi, Nora juga ingin mencabar dirinya beraksi dalam genre komedi menerusi filem terbarunya bersama MIG Pictures.

Menurut Nora, dia juga mula berkampung di lokasi penggambaran filem terbarunya yang juga genre komedi seram berjudul Hantu Bungkus Ikat Tepi terbitan MIG pada 23 Februari lalu.

Dalam filem arahan Hashim Rejab itu, Nora bergandingan dengan kumpulan Jambu iaitu Tauke dan Yus serta Abam dari kumpulan Bocey selaku teraju utama dalam filem ini.

“Saya bawa watak Mimie iaitu jiran sebelah rumah kepada tiga rakan baik dalam cerita ini iaitu Fuad, Fadli dan Fendi. Mimie juga membantu mereka bertiga menyelesaikan masalah akibat diganggu hantu bungkus.

“Cabarannya ialah saya hanya seorang pelakon tetapi dikelilingi pelawak popular seperti kumpulan Jambu dan Abam yang juga nama besar dalam dunia komedi. Bayangkan, saya terpaksa menahan ketawa sepanjang terbabit dalam penggambaran filem ini,” katanya.

Nora berkata, ia juga baru julung kalinya dia bekerjasama dengan Hashim selaku pengarah filem berkenaan.

“Saya memang menanti peluang untuk bekerja de­ngan Hashim kerana menyukai sentuhannya dalam filem Budak Pailang.

Sebab itu, bila ditawarkan berlakon dalam filem ini saya sukar untuk menolaknya,” katanya.

Selain filem Hantu Bung­kus Ikat Tepi, Nora juga menanti tayangan dua lagi filem lakonannya iaitu genre seram Pengantin Malam bergandingan dengan pelakon Farid Kamil serta pendatang baru dari Brunei Darussalam, Nina Iskandar.

Sebelum ini, dia terbabit dengan pementasan teater komedi Bahayanya Wanita arahan Zamberi Shari (Bombay) di Panggung Sari, Istana Budaya pada Disember tahun lalu.

Selain teater, Nora juga terbabit sebagai juri tetap dalam program Maharaja Lawak Mega 2013. Tidak ketinggalan, dia juga sibuk menjalankan tugasnya selaku jurucakap produk Sure White Beauty Plus dan C Glow Factor.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP