Loading...
Tuesday, February 25, 2014

Ramli Sarip jelajah satu malaysia


RAMLI cukup prihatin dengan rakan-rakan seperjuangannya yang tidak bernasib baik.



TAK lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Perumpamaan ini sesuai menggambarkan perjalanan karier seni lagenda rock tempatan tanah air, Datuk Ramli Sarip.
Lebih empat dekad Ramli memperjuangkan genre rock Melayu yang pernah gah pada era 1980-an dulu. Vokalis kumpulan Sweet Charity itu tidak pernah jemu menjalankan tugasnya sebagai penghibur.
Walaupun kini perubahan dunia nyanyian dipenuhi dengan alunan muzik moden dan kontemporari, namun namanya masih segar dalam ingatan peminat tegar rock tanah air.
Baginya, perubahan tersebut bukan batu penghalang bagi dirinya untuk terus memperjuangkan apa yang dilakukan selama ini.
Bercerita mengenai perjuangannya dalam bidang seni, akui Ramli, perubahan arus muzik tanah air sedikit sebanyak memberi impak kepada orang lama sepertinya.
Namun bagi beliau, ia bukan alasan baginya untuk berundur daripada terus berkarya dan memberi yang terbaik kepada peminat.
“Ya, arus perubahan muzik sekarang memang cepat seiring dengan kemunculan teknologi moden, namun, saya merasakan ia bukan satu alasan kepada kami orang lama untuk putus asa dengan mengatakan zaman sekarang bukan macam dulu.
“Saya terima dengan hati yang terbuka dan cuba beradaptasi dengan perubahan tersebut. Apa yang penting bagi saya dan teman-teman ialah prinsip kami untuk terus mempertahankan perjuangan rock sedia ada.
“Pengalaman sepanjang bergelar penyanyi memang banyak mengajar kami. Perjuangan kami tidak akan terus terhenti di sini sahaja,” katanya pada majlis pelancaran Konsert Blues Buat Teman yang diadakan di Hotel Hatten, Melaka baru baru ini.
Bagi yang sudah lama merindukan suara gemersik pelantun lagu Teratai ini, sebuah konsert yang berkonsepkan makan malam akan diadakan di Ballroom Hotel Hatten, Bandaraya Melaka pada 3 Mac ini.
Menurut Ramli, konsert tersebut merupakan kesinambungan daripada jelajah Blues Buat Teman Tour 2014.
Persinggahan di Melaka merupakan antara yang menarik disebabkan konsert tersebut menyaksikan kolaborasi bersama kelab penyokong pasukan bola sepak Melaka (Melaka Troopers).
“Memandangkan saya meminati bola sepak dan terpanggil untuk mengangkat imej bola sepak Melaka, saya dan pihak penganjur telah bersetuju menggabungkan peminat bola sepak Melaka dan peminat saya untuk memeriahkan konsert ini.
“Saya rasa ia merupakan satu kombinasi yang menarik untuk menggabungkan dua peminat ini, sementelah pula konsepnya yang lebih santai dan bersahaja, suasana akan menjadi lebih rileks.
“Pada konsert yang bakal berlangsung selama dua jam itu, saya berhasrat untuk memberi sedikit kelainan dari segi susunan muzik berbentuk eksperimental dan diiringi oleh pemuzik latar secara langsung,” ujarnya.
Konsert di Melaka merupakan sebahagian daripada perancangan konsert siri jelajah Blues Buat Teman Tour 2014 yang berlangsung bermula Januari hingga April ini.
Jelajah yang menampilkan pemuzik tersohor seperti Man Kidal, Tom Anuar, Fauzie Zain, Roza Rasul dan Paang Zaman itu juga akan meneruskan penjelajahannya ke Kinta Riverfront Hotel, Ipoh, Perak 22 Mac ini sebelum berakhir di Dewan Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, pada 5 April ini.
Antara lokasi lain yang terlibat dalam jelajah tersebut termasuk di Persada Johor, Johor, 28 Mac dan Kelantan, 4 April ini.
Ramli menambah, beliau merancang untuk meneruskan jelajah ke negeri Kedah dan Sarawak menjelang Mei ini.
Tolong kawan
Disoal mengenai tujuan konsert siri jelajah tersebut diadakan, Ramli berkata, beliau terpanggil untuk mengadakan konsert ini ekoran daripada sikap keprihatinnya untuk membantu rakan seperjuangannya yang tidak bernasib baik.
“Bagi orang seni macam kami, muzik merupakan punca rezeki utama, namun ia tidak selamanya kekal dan berpanjangan.
“Melalui jelajah ini ia sedikit sebanyak dapat membantu rakan seperjuangan saya dalam membantu mereka dari segi bantuan kewangan,” katanya yang berhasrat untuk mengadakan persembahan yang berkonsepkan rock opera jika diberi peluang


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP