Loading...
Sunday, February 23, 2014

Nora nafi beli barang hantaran


NORA bakal muncul menerusi filem terbaharu lakonannya, Hantu Bungkus Ikat Tepi.



PERNAH timbul desas-desus mendakwa pelakon sensasi, Nora Danish sudah bersiap-sedia untuk melangsungkan majlis perkahwinannya dengan teman rapatnya, Nedim Nazri.
Cerita itu tersebar apabila Nora dan Nedim didakwa sudah membeli barang hantaran menjelang hari bahagia mereka lewat bulan lalu.
Nora, 31, bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan memberitahu, dia masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut berhubung khabar angin terbabit, ikuti temu bual Kosmo! bersama Nora yang ditemui pada majlis doa selamat dan pelancaran filem Hantu Bungkus Ikat Tepi di Wisma Metrowealth, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Kosmo!: Benarkah khabar angin yang mendakwa Nora dan Nedim sudah membeli barang-barang hantaran untuk perkahwinan kalian?
NORA DANISH: Mana ada saya membeli barangan hantaran (ketawa). Kalau saya berkahwin pun, rasanya, saya tidak perlukan barang hantaran. Memandangkan saya sudah ada pengalaman, jadi perkahwinan kali kedua ini akan berlangsung dalam suasana yang sangat sederhana sahaja.
Sederhana yang bagaimana? Sudi Nora jelaskan serba sedikit?
Mungkin saya akan bernikah dahulu dalam majlis yang kecil, dan selepas itu bercadang mahu bawa keluarga saya keluar negara untuk acara makan-makan. Sebenarnya, memang sudah lama saya mengimpikan untuk mengadakan majlis di tepi pantai. Tapi tidaklah jauh sangat, mungkin dekat-dekat saja sebab kena pertimbangkan tetamu yang akan turut serta nanti.
Jika sudi dikongsikan bersama, di manakah lokasi impian Nora?
Saya sukakan Bali, Indonesia. Rasanya tempat itu sudah menjadi seperti rumah kedua saya. Pernah saya ke sana semata-mata untuk makan dan pulang pada hari yang sama. Saya juga sukakan Phuket, Thailand tapi untuk majlis ini saya belum terfikir lagi.

NORA dan Nedim terbuka untuk berkongsi aktiviti harian mereka bersama di laman Instagram masing-masing.


Nora dan Nedim terbuka untuk berkongsi aktiviti harian kalian bersama di laman Instagram masing-masing. Tidak takutkah perkara itu akan mengundang pelbagai pertanyaan dan spekulasi memandangkan selama ini Nora hanya menyifatkan Nedim sebagai teman baik sahaja?
Memang dari dahulu lagi saya sudah cakap, jika semuanya sudah pasti baru saya akan berkongsi. Perkahwinan merupakan perkara yang baik jadi saya tidak akan rahsiakan. Saya tidak takut jika keterbukaan saya ini akan menyebabkan hubungan saya terjejas atau apa (sahaja impaknya). Jujurnya, keinginan saya untuk berkongsi setiap momen itu mengatasi kata-kata mereka tentang saya.
Khabarnya Nora juga baru pulang daripada bercuti baru-baru ini. Memang sudah dirancang atau ia percutian suka-suka?
Sepatutnya bulan Februari dan Mac, jadual saya sudah penuh, tetapi kedua-dua syarikat produksi tersebut menangguhkan penggambaran. Jadi, memang saya rugi sebab untuk dua bulan ini saya sudah tidak terima mana-mana tawaran. Sebenarnya percutian ini tidak dirancang, tetapi memandangkan untuk bulan dua ini saya tidak buat apa-apa, jadi saya bercuti bersama keluarga. Saya ada pergi ke Bali (Indonesia) dan Sabah. Mujur Metrowealth menawarkan saya untuk berlakon dalam filem Hantu Bungkus Ikat Tepi.
Apabila timbul salah faham berhubung jadual penggambaran hingga merugikan pihak Nora, apakah langkah yang akan dipertimbangkan selanjutnya?
Saya belajar daripada kesilapan. Sekarang saya sudah merasai apa yang pernah dirasa oleh pelakon lain sebelum ini. Tapi saya bersikap profesional dan tidak akan menolak sekiranya ada tawaran untuk bekerjasama lagi dengan produksi berkenaan selepas ini. Memang rugi sebab berlakon merupakan sumber pendapatan saya. Cuma mungkin selepas ini saya akan lebih berhati-hati.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP