Loading...
Tuesday, February 25, 2014

Luahan Julia Zeigler


FIGURA ini akan terbang ke Jakarta, Indonesia pada hari ini untuk projek sebuah filem seram di sana.



KETIKA industri filem tempatan dilambakkan dengan puluhan filem bergenre seram, ada pula beberapa naskhah yang dibikin seperti melepaskan batuk di tangga.
Impak negatifnya sudah tentu terhadap industri perfileman tanah air. Hal ini nyata disebabkan sikap sambil lewa yang diambil penerbit dan pengarah yang dilihat hanya mahu mengaut keuntungan dalam masa yang singkat, tanpa memikirkan kesan buruk yang bakal tercetus di kemudian hari.
Perkara ini jelas menggambarkan situasi yang berlaku selepas menonton filem Aku Akan Muncul di Cathay Cineplex e@Curve, Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sepanjang filem tersebut ditayangkan, banyak kelemahan dikesan. Baik dari segi mutu lakonan para pelakon baharu yang terlibat sehinggalah kesan khas yang cuba disuntik untuk menaikkan mood seram sepanjang filem tersebut ditayangkan, tetapi kelihatan tidak menjadi.
Pelakon utama filem itu, Julia Ziegler, 30, turut berkongsi rasa yang sama.
Dia yang memegang watak sebagai Kesuma seperti kurang berpuas hati dengan hasil akhir filem tersebut.
Katanya, dia tidak menjangkakan bahawa filem itu ditayangkan tidak seperti apa yang telah dijanjikan. Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Julia.
Kosmo!: Kenapa anda kelihatan kurang gembira dengan hasil akhir filem Aku Akan Muncul?
JULIA: Sejujurnya, saya kurang berpuas hati dengan filem tersebut. Sebelum bersetuju untuk berlakon dalam filem ini, saya ada membaca skripnya terlebih dahulu. Jalan cerita yang cuba disampaikan cukup kuat dan menarik. Tetapi entah di mana silapnya, hasil akhir filem ini seperti tidak sama dengan skrip asalnya.
Jadi, anda mendakwa bahawa skrip tersebut ditukar sepanjang penggambaran filem tersebut berlangsung?
Saya enggan memberikan sebarang komen. Pihak produksi tahu apa yang mereka lakukan. Mungkin, ini salah satu cara mereka untuk menambah baik perjalanan cerita tersebut.
Apakah yang menyebabkan anda menerima tawaran tersebut?
Seperti yang saya katakan tadi, skrip awal hasil tulisan Qash Aris begitu menarik. Lagipun, pihak produksi menjanjikan barisan pelakon yang mempunyai nama dan dikenali ramai untuk berlakon bersama. Dari situ, saya mula yakin bahawa filem ini mampu untuk pergi jauh.
Anda telah lama menyepikan diri daripada dunia hiburan. Kali terakhir anda muncul menerusi teater Asmara Songsang. Adakah perkara ini sedikit sebanyak mencacatkan reputasi anda sebagai seorang pelakon?
Ya, benar. Ia sedikit sebanyak memberi tempias yang kurang elok terhadap reputasi saya. Tetapi, saya pernah mengalami perkara yang lebih teruk sebelum ini. Jadi, buat masa ini, saya harus sentiasa berfikiran positif.
Anda rasa, di mana silapnya percaturan karier sehingga anda tidak pernah diberi peluang untuk mendukung watak yang mencabar?
Saya pun tidak tahu. Saya sudah berusaha sedaya upaya untuk menonjolkan bakat yang ada tetapi masih kurang mendapat perhatian. Mungkin rezeki saya bukan sekarang.
Adakah anda pernah mengambil keputusan untuk berhenti berlakon?
Pernah terlintas dalam fikiran saya suatu ketika dahulu bahawa dunia lakonan tidak sesuai untuk saya. Tetapi, saya cekalkan diri untuk terus mencuba.
Anda pernah menyatakan bahawa anda sedang mengenali hati budi kawan lama. Adakah anda mahu menamatkan zaman bujang buat masa terdekat ini?
(Sambil tertawa) Saya masih berkawan dengannya dan kami saling mencintai. Tetapi, saya belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Apakah perkembangan terbaharu anda?
Saya terbang ke Jakarta, Indonesia pada 24 Februari lalu untuk memulakan penggambaran sebuah filem seram bersama produksi di sana. Selain itu, saya juga telah ke Kuching, Sarawak pada 22 Februari lalu bagi memenuhi undangan peragaan pentas fesyen bagi jenama MO Couture. Saya dan Sasha Saidin menggayakan koleksi kasut baharu mereka.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP