Loading...
Tuesday, February 4, 2014

Bakat insan obes dipinggirkan?

ENOT yakin boleh tonjol lakonan yang bermutu dalam pelbagai karakter.
MASYARAKAT sering berpandangan skeptikal apabila melihat insan bertubuh gempal melintas di hadapan mereka. Rata-rata golongan gemuk atau obes ini menjadi bahan ejekan yang sekali gus, membuatkan timbul rasa rendah diri dan tidak berkeyakinan untuk tampil di khalayak.
Dalam industri hiburan tanah air, suatu ketika dahulu, artis bertubuh gemuk atau gempal tidak diberikan ruang untuk memperlihatkan bakat seni yang ada dalam diri mereka.
Sebagai contoh, pernah suatu ketika dahulu, penyanyi Adibah Noor hanya meminjamkan suaranya untuk komersial tetapi jarang benar menonjolkan diri untuk sama-sama dengan rakan artis lain yang meniti hidup glamor.
Begitu juga dengan Afdlin Shauki yang pernah meluahkan rasa bimbang sekiranya saiz fizikal yang dimilikinya itu dijadikan ukuran untuk mengumpul peminat.
Hanya Syanie sahaja yang berani menonjolkan diri menerusi lakonannya di kaca televisyen tanpa sedikitpun rasa rendah diri kerana bertubuh besar. Bagaimanapun, Syanie dikatakan lebih bernasib baik kerana lahir dalam keluarga seni, selain ibunya sendiri bergelar penerbit filem tersohor. Maka ruang dan peluang untuk Syanie adalah lebih luas kerana pengaruh-pengaruh sampingan sekelilingnya.
Kehadiran Syanie untuk melangkah sebagai pelakon wanita tanpa ada rasa kekurangan pada dirinya sendiri, kemungkinan didorong oleh kejayaan Allahyarham Yusni Jaafar yang membuka ruang untuk pelakon bertubuh gempal, mencari rezeki sebagai anak seni.
Pada hakikatnya, artis-artis yang bertubuh besar atau gempal ini tidak kurang hebatnya dalam mengetengahkan bakat masing-masing, sama ada sebagai pelakon, pelawak atau penyanyi.
Hari ini, zaman sudah berubah. Masyarakat sudah cerdik untuk menerima kehadiran artis bertubuh gempal dalam industri hiburan tanah air.
Walaupun secara zahirnya komuniti dilihat dapat menerima kehadiran mereka, sebenarnya, insan bertubuh gempal ini nampaknya hanya dijadikan bahan gelak menerusi drama mahupun filem komedi terbitan produksi tempatan.
Dambakan
lakonan versatil
Siri popular Mat Despatch yang pernah disiarkan di TV1 pada 1996 merupakan tapak seni buat Aliza Abdullah atau lebih dikenali sebagai Enot, 38, untuk mengukir nama sebagai salah seorang pelakon berbakat bertubuh besar.
Kemudian, muncul pula telemovie Enot (2002), Enot Rayalah Pulak (2002) dan Enot VCDlah Pulak (2003) merupakan kemuncak kejayaan pelakon tersebut apabila berjaya merangkul Anugerah Pelakon Wanita Harapan pada Anugerah Skrin 2003.
Impak lakonan hebatnya, jenama Enot itu sendiri mula mengaburi nama komersialnya, Aliza Abdullah dan dia menerima situasi tersebut dengan hati yang terbuka.
Sejak itu, dia mahu dikenali dengan nama Enot dan tawaran lakonan yang diterimanya tidak pernah putus sehinggalah ke hari ini. Namun, jika diperhatikan, sepanjang lebih 20 tahun penglibatannya sebagai anak seni, drama komedi adalah tunjang utama pergerakannya dalam dunia lakonan.
Hakikatnya, jauh di sudut hati ibu beranak dua itu, dia mendambakan watak yang mampu mengangkat namanya selaku pelakon versatil seperti mana yang dilakukan oleh Afdlin Shauki.
Ibarat irama dan lagu, jujurnya Enot akui, komedi dan dirinya memang tidak boleh dipisahkan.
“Saya sememangnya seorang yang gila-gila. Secara tidak langsung, sifat saya itu mewujudkan unsur lucu di pandangan mata orang lain. Saya tidak kisah jika orang melabelkan saya sebagai seorang yang kelakar dan lawak kerana itulah diri saya sebenarnya.
“Mungkin disebabkan itulah, saya diberikan watak komedi sepanjang pembabitan dalam bidang lakonan," ujar Enot.
Cabar diri sendiri
Walau bagaimanapun, Enot boleh berbangga dengan kejayaan yang dihadapinya apabila berjaya meletakkan namanya sebaris dengan pelakon popular sedia ada.
Sebagai pelakon, Enot ingin mencabar dirinya untuk membawakan watak serius yang jauh daripada elemen-elemen komedi yang dilakonkannya sebelum ini.
Katanya, kalau dilihat industri perfileman Hollywood, pelakon-pelakon gemuk seperti Rosie O’Donnell, Jennifer Hudson, Queen Latifah, Nicole Blonsky dan ramai lagi diberi peluang untuk mendukung peranan utama dalam filem-filem lakonan mereka.
“Bahkan, peluang tersebut membuka pintu kepada golongan artis seperti saya untuk melangkah ke pentas majlis berprestij bagi merangkul anugerah selain pengiktirafan di luar ruang lingkup komedi. Justeru, saya mengharapkan industri tempatan juga mencontohi Hollywood dan ia sekali gus mampu mengikis isu diskriminasi terhadap golongan seperti kami.
“Ini tidak, asyik-asyik komedi. Kalau macam itu sahaja, bagaimanalah kami mahu mempelbagaikan lakonan supaya tidak dikatakan stereotaip sekiranya peluang itu tidak diberikan," soal Enot kepada penggiat industri khususnya pihak produser mahupun pengarah.
Justeru, Enot hanya mampu menadahkan kedua-dua telapak tangannya dan berdoa agar terus diberi peluang untuk sama-sama menyemarakkan dunia seni tanah air.
Pelakon kelas kedua
Selain itu, Enot turut menyelar individu yang meratapi saiz badan sendiri dengan menganggap saiz sebagai halangan untuk berjaya. Tanpa berselindung, Enot akui, tawaran lakonan yang diterima oleh insan ‘sihat’ sepertinya diklasifikasikan sebagai kelas kedua.
Hujahnya, golongan pelakon berbadan gempal agak sukar untuk mendapatkan watak utama dalam membintangi drama mahupun filem yang bergenrekan serius selain komedi.
Menurutnya, jika ada sekali pun, pengarah atau produser lebih cenderung untuk memberikan watak pelakon pembantu.
“Saya agak hairan, kenapa senario sebegitu boleh berlaku? Adakah produser atau pengarah tidak yakin bahawa golongan seperti saya tidak mampu mendukung watak sebagai teraju utama penerbitan karya mereka?

“Dari situ, jelas diskriminasi masih lagi diamalkan oleh segelintir produser yang hanya memberikan peranan utama kepada pelakon rupawan.
“Mungkin mereka (produser dan pengarah) beranggapan, hanya pelakon-pelakon yang cantik sahaja yang boleh melariskan karya terbitan mereka. Jujur, saya kecewa dengan pandangan skeptikal sebegitu kerana kalau dilihat di negara-negara lain, pelakon gemuk telah banyak memberi impak terhadap sesebuah karya sama ada dari kutipan tiket mahupun daya lakonan mereka," luah hati Enot imempertahankan kebolehan insan sepertinya.
Lantas, Enot mewakili hati setiap pelakon bertubuh besar berharap, agar pengkarya di negara ini membuka mata terhadap bakat insan sepertinya yang seharusnya didahulukan berbanding paras rupa.
“Saya percaya dengan adanya insan gemuk yang berpersonaliti menarik, ia boleh menarik minat audiens untuk menonton drama atau filem lakonan kami.
“Para pengkarya harus mencuba terlebih dahulu formula yang selalu digunapakai oleh industri perfileman luar negara ini sebelum mengkelaskan kami sebagai pelakon kelas bawahan," pinta Enot mengakhiri perbualannya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP