ASSALAMMULAIKUM pembaca budiman. Saya, Misha Omar meminta maaf andainya surat terbuka ini mengganggu hari kalian. Ada sesuatu yang ingin saya sampaikan buat semua kalian yang budiman. Sebagai anak seni yang telah lebih 12 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan, dilempar nista dan dihina atau diserang gosip itu lumrah buat saya. Selalunya, saya menghalalkan semua yang datang kepada saya dengan pemikiran ia peluru permainan padang kerja yang sedang saya lalui.
Namun, saya minta maaf kerana kali ini saya tidak dapat bertahan dengan tohmahan yang saya anggap satu fitnah besar buat saya dan keluarga yang datang daripada status Facebook seorang individu wanita hujung minggu lalu.
Benar, ini bukan pertama kali isu kononnya saya pernah berkahwin dan menjadi isteri ketiga seorang usahawan ditumbulkan. Malah, ia juga bukan pertama kali saya jelaskan dengan sebaik mungkin bahawa ia hanya satu gosip tidak berasas.
Bagaimanapun, pada saat saya baru mengumumkan berita baik tentang niat mendirikan rumah tangga, nampaknya masih ada pihak yang berasa saya sedang menipu umum.
Saya menjadi sangat terkesan kerana status tersebut secara terang-terangan memfitnah saya.
Demi Allah, entah buat berapa kali perlu saya menafikan hal yang serupa iaitu saya tidak pernah bernikah. Saya tidak pernah menjadi isteri ketiga seorang jutawan. Maka dengan rasmi saya juga tidak pernah memegang status janda!
Apa dosa saya apabila saya ingin mendirikan rumah tangga dengan tunangan saya, Firos pada bulan Mei ini, saya dihukum dengan fitnah seperti ini?
Puan, anda pasti tersenyum bangga sekarang ini apabila status puan menjadi bualan hangat dan saya berharap agar tercapailah keinginan puan untuk menjatuhkan maruah diri saya dan keluarga saya.
Mana mungkin puan tidak pernah terfikir apakah kemungkinan yang akan terjadi kepada saya apabila puan dan rakan-rakan puan dengan sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah terhadap diri saya tanpa mengambil kira tentang kebenaran sesuatu fakta yang puan dengar mahu pun terima daripada sumber-sumber yang puan percayai itu.
Dengan ini, saya mencabar pihak puan jika masih mahu mempertahankan apa yang puan dakwa, saya mohon puan kemukakan bukti yang menunjukkan saya ini pernah berkahwin.
Jika permintaan ini terlalu berat bagi pihak puan maka puan boleh membawa kedua-dua saksi yang ada ketika saya diijabkabul. Ini kerana wali saya baru saja dijemput Ilahi.
Juga, jika sesiapa di luar sana masih meragui status saya, saya juga mahu kalian tampil bersama bukti.
Sejujurnya, surat ini dilayangkan bukanlah bertujuan untuk memalukan puan atau sesiapa yang terlibat memberi pandangan tidak bertanggungjawab terhadap fitnah yang disebarkan.
Sebaliknya, saya terpanggil untuk mempertahankan hak saya dan rakan-rakan artis yang lain. Masyarakat hari ini dengan mudah melemparkan fitnah terhadap kami. Kemudahan teknologi disalah guna tanpa menyedari pernyataan-pernyataan yang dikeluarkan merosakkan reputasi kerja dan maruah kami
Jika hal sebegini terus didiamkan, saya kira maka akan menularlah penyakit fitnah siber dalam kalangan masyarakat kita. Bagaimana kita mahu menanganinya nanti? Sihatkah aktiviti ini untuk generasi yang akan datang? Pernahkah kita terfikir bahawasanya suatu hari nanti anak-anak kita akan terbaca apa yang kita tulis pada hari ini?
Hormatkah lagi mereka kepada kita bila mereka mengetahui apa yang pernah kita lakukan? Dan pernah kita terfikir, apakah impaknya kepada anak-anak kita bila rakan-rakan mereka bertanyakan apa yang telah kita tulis atau lakukan?
Akhir sekali saya mohon agar kita semua mengambil iktibar daripada kejadian ini. Adakalanya sebelum kita memperkatakan tentang sesuatu perkara berkenaan dengan seseorang individu itu, ada baiknya kita cuba meletakkan diri kita di tempatnya dan apakah impak yang bakal diterimanya nanti.
Betul pepatah orang tua-tua, 'cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar'.
Sebelum saya akhiri surat ini, saya ingin tegaskan sekali lagi saya memang belum pernah berkahwin. Juga, ingin saya tegaskan tentang permintaan bukan wang ringgit untuk mas kahwin atau hantaran pada majlis saya nanti, bukan bermakna saya jahil atau membelakangkan adat yang selalunya menggunakan wang ringgit, namun ia lebih kepada menyerahkan seberapa ikhlas bakal keluarga lelaki saya mahu memberi kepada saya.
Wallahulam,
Misha Omar
0 comments:
Post a Comment