Loading...
Sunday, February 16, 2014

Fizz Fairuz anggap pengadil tak adil

Pelakon Fizz Fairuz menganggap sistem penjurian yang diamalkan dalam penganjuran majlis yang mengiktiraf bakat pelakon tempatan tidak dilakukan secara profesional.
Fizz, 35 berkata, perkara tersebut berikutan kebanyakan juri yang diambil menilai tahap lakonan adalah berdasarkan latar belakang seseorang pelakon tersebut, bukan kerana watak yang dipertandingkan.
"Saya percaya memang kebanyakan pemenang ada bakat namun apa yang saya kesal ia tidak dipilih berdasarkan tahap lakonan dalam drama atau filem yang dipertandingkan sebaliknya mengenali seseorang pelakon itu secara peribadi.
"Pelakon yang ada latar belakang pendidikan dalam lakonan lebih diberi perhatian daripada pelakon-pelakon seperti saya," katanya ketika ditemui mStar Online di lokasi penggambaran filem Cicakman 3 di Kolej Segi, Kota Damansara, pada Khamis.
Dalam pada itu, tambah Fizz, nilai sesebuah karya filem atau drama banyak memberi kelebihan kepada karya yang sarat dengan nilai seni.
Walhal, katanya, filem genre seperti komedi seharusnya turut diberi perhatian sepertimana yang dilakukan oleh industri filem negara luar.
"Pada saya kita tidak boleh taksub sangat dengan karya seni sahaja, kadang kala genre komedi juga perlu diangkat.
"Kalau diikutkan masyarakat di negara ini lebih menerima filem genre ringan dan santai berbanding filem yang sarat dengan seni," katanya.
Fizz berkata, perkara tersebut turut menyebabkan beberapa pelakon di negara ini yang memilih untuk bersara lebih awal kerana rasa tidak dihargai.
Tambahnya, disebabkan hal tersebut juga, dia tidak pernah mengharapkan sebarang anugerah dalam filem yang dilakonkan.
"Saya berlakon hanya untuk kepuasaan bukan anugerah, saya masih ingat ketika ingin memasuki bidang ini bukan ada jalan mudah.
"Bila sudah berada dalam industri saya hanya lakukan yang terbaik dan jika menang itu satu bonus sahaja," katanya.
Sementara itu, pelakon yang sedang menjalani penggambaran filem Cicakman 3 ini menolak banyak tawaran lakonan dalam memberi komitmen terhadap filem arahan bersama Yusry Abdul Halim dan Ghaz Abu Bakar itu.
Biarpun dianggap tidak terlalu berbaloi melepaskan tawaran-tawaran tersebut, Fizz mengakui mendapat kepuasan dalam filem genre komedi 'superhero' itu.
“Memang kerana 'Cicakman 3' saya terpaksa menolak banyak tawaran lain sehingga 5 Mac depan.
"Namun, kerana minat dan sukakan watak sebegini saya sanggup menerima tawaran ini. Karakter saya dalam filem ini begitu berbeza dan belum pernah dilakonkan sebelum ini,” ujar Fizz yang memeggang watak sebagai Adam.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP