Pelakon Dira Abu Zahar menyifatkan kandungannya gugur pada November tahun lalu sebagai pengajaran untuk dia lebih berhati-hati pada masa hadapan.
Dira atau nama sebenarnya Khaidhirah Abu Zahar, 30, berkata, dia juga tidak serik untuk melalui proses sebagai wanita mengandung semula kerana terlalu menginginkan anak bersama suaminya Mohd Helmi Mohd Yusof.
"Saya memang dah berniat mahu anak pada tahun ini. Wanita mana yang tak kecewa apabila terpaksa melalui proses keguguran.
"Tetapi saya tak serik kerana ia mengajar saya untuk lebih berhati-hati mengenai perubahan yang dialami," katanya kepada mStar Online.
November tahun lalu, Dira disahkan keguguran di mana dia sendiri tidak sedar mengalami masalah itu memandangkan proses kitaran haidnya berjalan seperti biasa setiap bulan.
Kejadian berlaku ketika Dira menjalani penggambaran program Terengganu ku bersama Zizan Razak.
Tambah Dira, dia juga menambah bilangan anak kerana berasa puteri sulungnya iaitu Anggun, 7, yang merupakan anak hasil perkahwinan terdahulunya dengan Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid (bercerai pada 8 April 2010) sudah perlu mempunyai seorang adik sebagai peneman.
"Saya lihat Anggun makin selesa sendiri dan itu sangat merisaukan saya kerana dia tidak suka berkongsi.
"Malah apabila ditanya adakah dia mahukan seorang adik, dia langsung tidak berminat. Keadaan itu membuatkan saya lagi mahukan anak agar Anggun dapat belajar erti berkongsi tidak kira dalam segala hal," ujarnya.
Dira bernikah dengan Mohd. Helmi yang juga pengarah fotografi pada11 November 2011 di Merlimau, Melaka.
Sementara itu, mengenai perkembangan terbaharu, Dira bersama peminatnya, Azura akan tampil menerusi program Fear Factor Malaysia bersama 15 pasangan peserta lain.
Rancangan itu akan mula bersiaran pada setiap Sabtu, pukul 9 malam bermula 15 Februari ini menerusi saluran Astro Ria (104).
0 comments:
Post a Comment