Setiap pasangan suami isteri pasti mengharapkan kebahagiaan mereka dilengkapkan dengan kehadiran cahaya mata sebagai pengikat kasih sayang yang dibina.
Begitulah juga dengan pelakon dan penyanyi jelita, Liyana Jasmay.
Mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Fathuddin Mazlan tahun lalu, kini mereka teruja menunggu kelahiran cahaya mata pertama. Liyana atau mesra dengan panggilan Nana kini hamil tujuh bulan.
Berbicara mengenai kehamilannya, Liyana berkata, dia tidak alah pada makanan tetapi mengalami masalah kulit dengan tumbuhnya jerawat yang teruk di muka.
Berbicara mengenai kehamilannya, Liyana berkata, dia tidak alah pada makanan tetapi mengalami masalah kulit dengan tumbuhnya jerawat yang teruk di muka.
Ujarnya, dia pernah alami masalah jerawat sebegitu pada zaman sekolah dulu.
"Namun saya akur dengan masalah jerawat dialami kerana mungkin juga disebabkan 'pembawakan budak'. Bahkan, pada tempoh sekarang, saya banyak mendapatkan nasihat doktor demi kesihatan diri dan bayi dikandung.
"Sejak mengandung, saya tidak bersolek. Bukan itu saja, saya juga tidak menggunakan produk pencuci muka. Pada saya, inilah permulaan pengorbanan yang dilakukan seorang ibu untuk anaknya.
"Apatah lagi, saya dinasihatkan doktor hanya boleh menggunakan produk yang berasaskan organik. Jadi, kalau begitu tidak mekap lagi bagus dan saya tak kisah kurang berdandan sepanjang tempoh kehamilan ini," katanya.
Menurut pelakon drama Sahabat itu lagi, apa yang pasti semakin sarat mengandung, berat badannya kian meningkat. Kini, berat badan Liyana mencecah 51 kilogram iaitu kenaikan mendadak sebanyak lapan kilogram.
Mengulas kebimbangannya terhadap bentuk badan selepas bersalin, penyanyi lagu Aku Tak Percaya Cinta dan Jujur ini mengakui, dia takut sekiranya tidak boleh kembali kurus seperti sebelum mendirikan rumah tangga.
"Bagaimanapun, saya yakin dalam tempoh berpantang nanti perlulah dilakukan dengan betul dan serius. Jadi, matlamat saya mahu kurus macam dulu semula dan nekad akan mengikut cara berpantang secara tradisional.
"Sepanjang tempoh berpantang nanti, saya akan menggunakan khidmat bidan kampung yang akan menjaga saya di rumah selama 30 hari. Malah, saya akan ikut saja apa yang disarankannya terutama aspek pemakanan," katanya.
Menurut Liyana, dia juga akan memastikan diri bertungku dan menggunakan barut seperti yang pernah dilakukan ibunya dulu. Bahkan, selain itu, dia juga akan mengamalkan pemakanan jamu tradisional buatan turun-temurun oleh nenek suaminya.
Menyentuh persiapan untuk bayi, Liyana berkata, dia dan suami sudah mula membeli segala kelengkapan dan keperluan anak mereka. Bagaimanapun, ujarnya, setakat ini pakaian bayi memang sudah banyak dibeli.
Mengenai perancangan karier selepas melahirkan anak nanti, Liyana berkata, dia akan aktif semula dalam bidang seni sama ada berlakon dan menyanyi. Bagaimanapun, katanya, ia adalah perancangan sekarang dan pada masa akan datang tidak tahu lagi.
Ujarnya, suami juga tidak pernah menghalangnya untuk aktif. Apapun, perkara seperti ini memang sukar untuk diberikan kepastian dan dia mengabil sikap tunggu dan lihat.
Selesa menyanyi dengan Sam
Di antara Liyana dan pelakon popular, Shaheizy Sam yang berduet dengannya menerusi single baru, Bangun ciptaan komposer Audi Mok, sudah pasti bintang filem Duhai Si Pari-Pari dan Papadom itu yang lebih menyerlah dalam nyanyian.
Bagaimanapun, Liyana mengakui dia selesa bekerja dengan Sam dan mereka saling membantu. Walaupun rakaman single itu adalah kali pertama gandingan Liyana dan Sam namun ia sedikit pun tidak mendatangkan masalah pada mereka.
"Sebenarnya, peminat tahu yang Sam boleh menyanyi. Cuma, bakat seninya lebih menjurus pada lakonan. Jadi, menerusi kerjasama kami ini dengan direalisasikan oleh Nescafe, ia satu gabungan mantap.
"Saya suka bekerja dengan Sam kerana mudah dan dia berbakat. Bahkan, kami juga sering berbincang dan syukur semuanya berjalan lancar. Apatah lagi, saya melihat kami mampu membentuk keserasian yang baik," katanya.
Merakamkan lagu Bangun itu ketika usia kandungannya baru mencecah tiga bulan, Liyana berkata, dia gembira kerana tidak mengalami sebarang alahan ketika di studio.
Ujarnya, semua kerja dapat dilakukan dengan selesa dan lancar.
Berbicara mengenai perancangan lanjutnya dalam nyanyian, Liyana berkata, dia tetap aktif membabitkan diri dalam proses pembikinan lagu.
Katanya, walaupun sarat mengandung, dia tiada masalah untuk memberi tumpuan pada nyanyian.
Apapun, katanya, buat masa ini dia juga berehat buat sementara waktu daripada lakonan.
Ujarnya lagi, bukan dia tidak menerima tawaran untuk berlakon tetapi berasakan daripada menyusahkan orang lain, lebih baik tak payah terima.
Menurut Liyana, lebih baik untuknya menolak dalam keadaan diri yang berbadan dua.
Katanya, dia hanya tidak mahu menyusahkan ramai pihak sekiranya berlaku apa-apa ke atas dirinya ketika berada di lokasi penggambaran.
Oleh itu, ujarnya, tidak perlulah tamak. Jadi, sekarang tumpukan pada kandungan sahaja.
0 comments:
Post a Comment