Loading...
Tuesday, February 11, 2014

Tom dah lupakan ang dulu2

MASIHKAH anda ingat bekas juara program realiti MyStarz LG musim ketiga, Raja Farah Afzal Raja Ikram atau Tom, 27, yang suatu ketika dahulu mencetuskan kontroversi apabila dipukul di depan wartawan hiburan, empat tahun lalu.

Kekecohan yang berlaku menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap dirinya sehingga Tom terpaksa memperlahankan kerjayanya sebagai penyanyi.

Namun. setelah tiga tahun menyepi daripada dunia hiburan, Tom berkata sudah tiba masanya untuk dia muncul semula dalam industri seni.

Menurutnya, situasi yang berlaku terhadapnya membuatkan Tom lebih tabah dan bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

"Banyak dugaan dan rintangan berlaku ketika saya menceburi bidang nyanyian.

"Namun, saya menganggap perkara yang berlaku sebagai ujian daripada-Nya.

"Jangan terlalu mudah mengalah tetapi redha dengan ujian ini dan menerimanya dengan hati terbuka," katanya.

Tambahnya, sepanjang tempoh itu dia banyak bersabar dan ahli keluarganya banyak memberi kata-kata semangat buatnya.


Peminat beri semangat

Biarpun sudah lama mendiamkan diri, Tom menyatakan bahawa dia bukan terus berhenti daripada menyanyi di kelab malam di ibu kota.

"Saya tetap menyanyi kerana ia adalah minat saya sejak dari kecil. Lagipun saya percaya kemunculan semula ini diterima ramai," katanya.

Menurut Tom, keputusan untuk kembali dalam dunia seni juga dilakukan atas cadangan daripada peminatnya.

Katanya, walaupun dia tidak muncul di kaca tv atau akhbar tempatan, bidang nyanyian tidak dilupakan kerana dia turut menyanyi di majlis korporat.

"Dari situlah, peminat mencadangkan supaya saya kembali menyanyi kerana tidak mahu saya membazir bakat yang ada.

"Mereka pernah memberitahu saya untuk lupakan perkara lepas dan mulakan hidup baharu.

"Perkara yang lalu dijadikan sebagai pengajaran supaya lebih berhati-hati nanti," katanya.

Dalam masa sama, selain menyanyi Tom juga mula menulis lirik lagu sendiri sebagai hobi baharunya.

Ditebak dengan soalan lambakan muka baharu, Tom yakin dengan bakatnya dia diterima semula dalam industri.


Tumpu pada keluarga, perniagaan

Bercerita mengenai kehidupan peribadinya, Tom berkata dia kini semakin bahagia apatah lagi dengan kehadiran cahaya mata sulungnya, Putera Adler Iesta, tujuh bulan.

Bayinya itu merupakan hasil perkongsian hidup bersama pemuzik, Ahmad Khairul Mizan. Mereka berdua mendirikan rumah tangga pada 28 Jun tahun lalu.

Selain tumpuan kepada keluarganya, Tom juga bergelar usahawan kosmetik dan menjalankan perniagaan online sejak beberapa tahun lalu.

"Pada mulanya saya merupakan pengguna produk ini kerana masalah kulit wajah yang berparut dan berjerawat.

"Sejak memakainya saya mempromosi kepada rakan setelah ia berjaya menyelesaikan masalah saya," katanya yang semakin cantik dan langsing biarpun bergelar ibu.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP