Loading...
Monday, February 10, 2014

Emosi cinta Siti

ADA yang berbeza mengenai konsert yang dijayakan ‘si jantung hati’ Malaysia ini. Selain memilih lagu-lagu yang lebih dekat dengan peminat, konsert Datuk Siti Nurhaliza Live in KLCC - Where The Heart Is juga lebih kepada rentetan penceritaan kehidupan Siti Nurhaliza sendiri.
Dari Kuala Lepeh (Kuala Lipis) ke Kuala Lumpur, ia satu perjalanan yang panjang dan diterjemahkan dengan penuh makna dalam konsert lebih dua jam itu.
Mengeluarkan idea indah itu dari kotak fikirannya , Siti teruja apabila konsert amal ini mendapat sokongan penuh daripada peminat setianya.
Konsert selama dua hari yang berlangsung pada 7 dan 8 Februari lalu di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), mensasarkan kutipan amal bagi disalurkan kepada Yayasan Nurjiwa dan difahamkan, jumlah melebihi RM1 juta berjaya diperolehi, hasil pembelian tiket peminat dan juga derma wang tunai peribadi.
Badan amal yang dinaunginya bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu diharapkan dia mampu membela ramai mereka yang kurang bernasib baik.
“Perolehan bersih dari konsert ini akan disalurkan terus kepada Yayasan Nurjiwa. Melihatkan kepada sokongan penonton, memang saya harap sangat untuk kejayaan konsert ini,"katanya ketika ditemui pada majlis sidang media sejurus selepas konsert malam pertama berakhir.
Dengan pengalaman puluhan tahun yang dimiliki penyanyi ini, harus diakui dia nampak sangat selesa untuk menghiburkan peminatnya dalam keadaan yang santai. Ada juga momen-momen bergurau dengan suaminya sedikit sebanyak mengejutkan penonton, yang melihatkan Siti kini lebih terbuka.
Bagaimanapun menurut Siti dia sangat teruja akan formulanya untuk menyanyikan lagu-lagu pilihan peminat sedikit sebanyak mendekatkan dia dengan mereka.
“Acara-acara gurauan saya dengan suami itu terjadi secara spontan, saya mahu semuanya nampak begitu santai untuk konsert kali ini. Memang niat saya sebelum menjayakan konsert ini lagi adalah untuk berasa lebih dekat dengan peminat. Sebab itu saya mahu nyanyikan lagu-lagu pilihan mereka, selain itu juga buat pertama kali saya memberi peluang buat mereka untuk bertanyakan soalan kepada saya," katanya yang turut mengundang penyanyi Hazama sebagai penyanyi undangan.
Sepanjang konsert itu berlangsung penyanyi ini juga turut menyelitkan kisah-kisah utama yang berlaku disepanjang kariernya. Antara yang mendapat perhatian adalah pemilihan lagu yang cukup sinonim dengan kisah cintanya.
“Bila saya lihat konsert-konsert artis antarabangsa, saya tahu idea penceritaan ini adalah sesuatu yang baru untuk saya olah. Saya rangkumkan apa yang pernah saya lalui di atas pentas, bermula dari saya mahu menjadi seorang penyanyi, dan juga sedikit kisah cinta," katanya jujur.
Mahu saluran dana kepada Yayasan Nurjiwa berterusan, menurut Siti dia juga sedang merangka pelbagai projek lain. Berharap semuanya berlangsung dengan baik, dia turut tidak menolak untuk merakamkan konsert amal ini dalam bentuk cakera padat untuk dijual.
Mendapat sepenuh sokongan daripada suami, Siti bagaimanapun tidak terlepas memberitahu ada kisah menarik mengenai suami kesayangannya itu. Menurut Siti dalam memberikan sokongan tidak berbelah bahagi, suaminya juga tidak terlepas untuk merasa sunyi sepanjang dia sibuk menjayakan konsert ini.
“Dalam mana-mana kejayaan saya memang saya akui mendapat sepenuh sokongan daripada suami. Cuma bila bekerja sebagai artis kita tahu waktu bekerja itu tidak tetap. Ada juga sesekali dia mengadu dia agak sunyi kalau saya terlalu sibuk. Apapun, jujurnya saya tahu dia memang peminat nombor satu dan sangat memahami saya,"katanya.
Malam pertama, tetamu kenamaan terdiri daripada Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud. Untuk malam kedua, tetamu kenamaan adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, selain ibu kepada Perdana Menteri, Tun Rahah Mohammad Noah.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP