LUMRAH kehidupan golongan selebriti sememangnya tidak pernah jauh dengan gaya dan fesyen.
Malah, setiap rekaan baharu pereka fesyen, pastinya menggunakan khidmat selebriti untuk memperagakannya.
Mereka (pereka fesyen) juga sanggup membuat rekaan fesyen yang mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit semata-mata untuk mempromosikan jenama mereka.
Di sini, golongan selebriti menjadi fungsi utama untuk memperkenalkan jenama mereka agar lebih dikenali dan kebanyakan artis akan mendapat tajaan pakaian untuk menghadiri majlis anugerah atau acara hiburan.
Namun, dalam keghairahan berfesyen, pastinya terselit kisah dan kontroversi mengaitkan fesyen yang digayakan.
Bukan satu atau dua kes, malah, ramai golongan artis yang menjadi mangsa fesyen apabila rekaan itu hanyalah indah khabar dari rupa.
Jika diperhatikan, golongan selebriti wanita lebih sinonim dengan 'fashion disaster' berbanding artis lelaki.
Terbaharu, selebriti cantik, Neelofa, turut menjadi mangsa apabila dikecam hebat ketika menggayakan dua persalinan di malam, Anugerah Meletop Era (AME).
Rata-rata berpendapat, 'jumpsuit' rona merah jambu yang digayakan pengacara dan pelakon itu tidak bersesuaian dengan majlis demikian. Malah, ada yang turut menyamakan 'jumpsuit' itu dengan kostum karakter, Power Rangers.
Tidak terhenti di situ, persalinan kedua kombinasi rona hijau dan hitam juga turut mendapat kritikan dan usikan nakal walaupun ianya dikatakan hasil sentuhan pereka terkenal.
Lebih memalukan, persalinan itu turut disamakan dengan watak, Cell, menerusi komik popular, Dragon Ball.
Di saat ramai yang mengejek, pereka fesyen yang juga pemilik jenama, The Garment, Wak Doyok, dilihat lebih memihak kepada selebriti dan memberitahu mereka (selebriti) ibarat patung jalanan yang tidak tahu apa-apa mengenai fesyen.
Menurut Wak Doyok, ia merupakan tanggungjawab pereka fesyen dalam menghasilkan rekaan yang sesuai. Katanya, selebriti juga berhak untuk menolak sekiranya ia tidak memenuhi cita rasa.
Namun, perkara ini bukanlah hanya berlaku dalam industri tempatan sahaja kerana selebriti antarabangsa juga tidak terlepas dari tempias ini.
Antaranya termasuklah, Lady Gaga, Sarah Jessica Parker, Rihanna, Angelina Jolie, Mary-Kate Olsen, Charlise Theron, Charlise Theron, January Jones, Paula Abdul, Lindsay Lohan, dan Kesha.
Untuk mengupas lebih lanjut mengenai fesyen artis tempatan, Zass turut mendapatkan pandangan daripada pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskandar.
Apa pandangan anda mengenai fesyen artis tempatan kini?
Sudah menjadi lumrah, apa jua barang yang baru, mahal, unik, istimewa adalah untuk golongan selebriti. Sekiranya orang biasa yang menggayakannya, mungkin ia tidak mendapat liputan menyeluruh seperti selebriti. Malah, dengan cara ini, golongan artis juga dapat memperkenalkan industri fesyen secara lebih meluas lagi.
Namun, saya memandang perkara ini sebagai 'win win situation' di mana kedua-dua pihak mendapat keuntungan tersendiri.
Bagaimana pula dengan rekaan pereka fesyen tempatan?
Walaupun artis menjadi platform untuk pereka fesyen itu memperkenalkan jenama mereka, namun tidak bermakna pereka fesyen boleh mencipta apa sahaja untuk diperagakan. Saya akui, industri fesyen kini menunjukkan perkembangan apabila banyak pilihan dan rekaan yang dihasilkan mengikut daya kreativiti masing-masing.
Namun, sekiranya rekaan yang dibuat itu lebih menjurus ke arah keburukan, ia memberi kesan yang baik buat si pemakai terutamanya selebriti. Untuk rekaan orang Melayu, pakaian tersebut haruslah tidak bertentangan dengan agama dan adat kita sekali gus tidak mengghairahkan golongan lelaki.
Apa yang saya nampak, sekiranya pakaian itu menjolok mata ataupun pelik, pastinya individu yang mendapat tempias utama ialah artis. Apa salahnya kalau pereka itu lebih memilih untuk menghasilkan rekaan yang sopan dan menepati ciri-ciri kemelayuan.
Apa pula pandangan anda mengenai golongan selebriti yang menjadi fesyen?
Saya lihat, tiada istilah mangsa dalam berfesyen kerana tiada paksaan dalam menggayakannya. Malah, artis juga boleh menolak untuk tidak menggayakan fesyen berkenaan sekiranya ia tidak menepati cita rasa. Sebenarnya, mereka (artis) mahu memakai pakaian itu dengan rela hati dan kemungkinan, mereka memikirkan itu adalah cara untuk mencari publisiti.
Pada saya, ada tiga peringkat yang sering terjebak dalam masalah ini iaitu golongan artis baharu, matang dan tua. Untuk artis baru, mereka akan tampil dengan apa jua fesyen untuk memperkenalkan diri kepada umum.
Malah, ada di antara mereka dapat menempa nama dengan cepat ekoran publisiti murahan sebegini. Untuk peringkat matang pula, saya lihat kecenderungan terhadap permasalahan ini kurang kerana ada di antara mereka yang lebih selesa berhijrah dan tampil dengan imej bertudung serta lebih sopan. Mungkin jarang-jarang di kalangan mereka yang terbabas dari landasan fesyen. Untuk golongan tua ini, mereka seakan 'back to normal' dalam berfesyen.
Bagi yang belum bersedia untuk berubah, mereka akan kembali ke zaman muda semula dan mencuba fesyen-fesyen yang mengarut untuk mendapatkan perhatian. Ini adalah realiti di mana ada di kalangan artis di usia senja mula tampil dengan imej yang seksi dan pelik.
Melihat kepada fesyen-fesyen artis yang ada kalanya sukar untuk diterjemahkan, siapakah yang patut disalahkan? Adakah artis ataupun pereka fesyen?
Selain artis dan pereka fesyen, golongan masyarakat juga turut bersalah di dalam hal ini. Ini kerana, ada sesetengah masyarakat terutamanya peminat setia tetap menyokong apa jua imej dan pemakaian artis kesayangan mereka.
Malah, tidak kurang juga yang melahirkan kata-kata pujian. Ini dilihat sebagai penggalak utama untuk artis itu tampil dengan imej sedemikian. Artis dan pereka fesyen adalah individu utama yang perlu bertanggungjawab di atas apa yang telah berlaku kerana ianya berpunca daripada mereka.
Dalam hal ini, saya tidak menyalahkan pereka fesyen 100 peratus kerana ada di kalangan mereka yang menghasilkan pakaian itu atas kehendak dan permintaan artis itu sendiri.
Pada pandangan anda, siapakah selebriti yang perlu dijadikan contoh dalam berfesyen?
Dari dahulu sehingga kini, saya melihat penyanyi terkenal, Datuk Siti Nurhaliza sebagai ikon fesyen yang wajar dicontohi.
Siti hanya mempertaruhkan suara tanpa mendedahkan tubuh badannya. Malah, pakaiannya juga tidak pernah ketat dan seksi seperti yang dizahirkan kebanyakan artis kita.
Malah, ini membuktikan bahawa artis tidak perlu mendedahkan badan mereka untuk tatapan umum untuk berjaya.
Akhir sekali, apakah saranan anda untuk golongan selebriti dan pereka fesyen tempatan?
Sebagai orang Melayu yang penuh dengan nilai-nilai sopan dan adat ketimuran, mereka perlu memandang serius mengenai perkara ini dan kesedaran mental adalah penting. Fesyen kita adalah mewakili negara kita.
Tidak perlu terlalu terikut-ikut dengan budaya dan fesyen barat yang lebih terbuka kerana terdapat perbezaan yang jelas antara kita dan mereka. Bagi saya, kreativiti itu tidak akan terbantut walaupun dalam rekaan yang sopan dan mematuhi syariat Islam.
Pamerkan fesyen yang terbaik kerana ia turut memberi kesan kepada generasi yang akan datang.
Loading...
0 comments:
Post a Comment