ERAT mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Terkesan melihat penderitaan rakan-rakan baik sejak akhir-akhir ini membulatkan tekad Ramli Sarip untuk melakukan sesuatu dalam usaha meringankan beban mereka.
Justeru dia mendedikasikan Konsert Blues Untuk Teman - Tour 2014 yang sudah digerakkan dengan memilih Hard Rock Cafe Kuala Lumpur sebagai destinasi pertama.
Persembahan yang berlangsung pada 19 Januari lalu mendapat sambutan memberansangkan di dalam usaha membantu tiga sahabat Papa Rock ini - Yazit (Search), Hamid (Black Dog Bone) dan balu Samad Mian (Lefthanded).
"Apabila melihat kembali foto-foto mereka ketika ini, saya merasakan perlu mencari jalan untuk membantu mereka yang sedang sakit.
"Dulu kami pernah sama-sama terlibat di dalam pembikinan album. Saya anggap konsert ini merupakan satu penghargaan buat para pemuzik yang pernah terbabit dalam rakaman album Alive (2000) di Synchrosound Studio, Petaling Jaya, Selangor," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tidak meletakkan sebarang sasaran memandangkan baru sekali persembahan diadakan, yang diharapkan penyanyi yang popular dengan lagu Istilah Bercinta ini agar usaha sebegini menjadi pembakar semangat untuk pihak-pihak lain menggunakan cara yang sama untuk membantu rakan artis yang menghadapi masalah.
"Selepas kita umumkan konsert ini dua bulan lalu memang ramai pihak yang tampil untuk turut serta. Saya anggap konsert ini membuka mata banyak pihak," jelasnya.
Malah dia gembira apabila ada syarikat penerbangan turut sudi menaja tiket penerbangan ke Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah sempena konsert tersebut yang akan diadakan di sana.
Selain Kuala Lumpur, Konsert Blues Buat Teman - Tour 2014 ini menjelajah ke Pulau Pinang (22 Februari), Terengganu (7 Mac), Melaka (15 Mac), Perak (22 Mac) dan Johor (28 Mac).
Negeri lain termasuk Kelantan, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei akan diberitahu kemudian.
Bengkel muzik
Selain itu Ramli turut memikirkan pelbagai cara lain untuk membantu golongan pemuzik untuk meneruskan minat mereka.
"Saya sebenarnya sudah lama memikirkan perkara ini. Mungkin pada masa akan datang saya mahu mengadakan bengkel muzik untuk mereka yang benar-benar berminat dengan bidang ini.
"Sedih juga melihat anak-anak muda yang ada minat tapi tak ada peluang sedangkan mereka benar-benar berbakat dan boleh pergi jauh.
"Mereka belajar secara formal dan ada pendidikan di dalam bidang muzik. Tapi adakah mereka akan berpeluang masuk ke dalam industri muzik? Ini yang banyak berlaku apabila mereka tak tahu jalan yang betul.
"Sebab itu saya sudah memikirkan cara lain untuk membantu mereka," jelas Ramli.
Menyifatkan perkara tersebut sebagai sesuatu yang perlu diambil berat, dia turut terkesan mengenangkan nasib ahli band yang berpecah.
Baginya tidak semua orang berfikir yang mereka bermain muzik untuk apa. Bila sesebuah band berpecah maka kerjaya mereka juga akan terumbang-ambing.
"Saya mahu membantu mereka dengan berkongsi ilmu dan pengalaman. Main muzik bukan lagi hobi semata-mata tetapi sudah menjadi kerjaya tetap.
"Kenapa ada yang berjaya dan ada tidak? Yang berjaya kerana mereka ada kemahiran dan berdisiplin. Yang lain banyak kecundang di tengah jalan," tegas penyanyi ini lagi.
Menganggap semua ini proses biasa yang perlu dilalui oleh setiap orang, dia tidak mahu penyanyi-penyanyi baru terlalu mengejar populariti untuk naik dengan cepat.
Jelasnya, populariti akan datang sendiri andai mereka berusaha keras dan memberikan yang terbaik di dalam bidang ini.
0 comments:
Post a Comment