Loading...
Thursday, February 13, 2014

Jus oren rahsia Erin Malik kekal kecantikan kulit

PENJAGAAN  kesihatan dan kecantikan buat seseorang wanita lebih baik sekiranya dimulakan sejak usia muda lagi.

Buat pelakon remaja, Erin Malek, biarpun usianya baru mencecah 20 tahun, namun itu bukanlah alasan buat dirinya mengabaikan perkara itu.

Akui seorang yang ringkas dalam penjagaan kecantikan, Erin lebih memilih produk berasaskan organik untuk hasil yang memuaskan.

Pada masa yang sama, Erin yang juga merupakan antara selebriti yang terlibat dengan program Fear Factor Malaysia musim terbaharu ini tidak ketinggalan menjaga kesihatan walaupun sibuk dengan karier lakonannya.

Jom kita tinjau tip yang dikongsinya bersama Zass untuk siaran minggu ini.

Sejauh mana anda mementingkan kesihatan dan kecantikan?
Sebenarnya saya seorang yang sangat ringkas. Semuanya saya buat secara sederhana kerana usia pun masih muda, jadi tidak ada masalah sangat.

Bagaimana anda mengekalkan kecantikan kulit?

Sebelum ini saya pernah alami masalah kulit berjerawat, mungkin kerana hormon yang tidak stabil di mana umur meningkat 20-an. Perkara utama yang saya elakkan adalah pengambilan produk yang mengandungi bahan kimia tapi gunakan produk berasaskan organik supaya kulit tidak mengalami perubahan yang ketara.

Walaupun ambil masa yang lama, tapi hasilnya amat memuaskan. Sehingga sekarang kulit saya tidak mengalami sebarang masalah.

Rata-rata wanita amalkan pengambilan suplemen untuk membantu kekalkan kecantikan, anda pula?

Buat masa ini, saya memang tidak ambil sebarang suplemen kerana saya rasa dengan usia yang muda ini saya masih tidak memerlukannya.

Cuma sekarang ini, saya amalkan makan buah-buahan dan minum jus terutamanya buah limau setiap hari. Paling kurang satu hari saya akan minum jus limau satu kotak besar sehari. Alhamdulillah, setakat ini ia memang membantu saya untuk kekalkan kesihatan kulit.

Selain daripada penjagaan kulit, perkara lain yang sering diutamakan?

Memandangkan kulit muka tidak begitu bermasalah, tumpuan utama saya lebih kepada menghias kuku dan penjagaan rambut.

Setiap dua minggu sekali, saya akan buat kedua-duanya. Sebab selalunya bila keluar ke mana-mana selain penggambaran, saya mementingkan keadaan rambut saya.

Dari segi kesihatan dan stamina, bagaimana anda menjaganya?

Terus terang, saya bukanlah seorang yang rajin buat senaman tapi saya pastikan setiap hari badan saya akan berpeluh. Tidak kiralah buat apa sahaja aktiviti, saya akan berpeluh sebab jika tidak,  kalori dalam badan tidak akan terbakar.

Beralih pada fesyen, bagaimana anda memilih pemakaian yang bersesuaian dengan usia yang muda?

Semestinya saya lebih memilih jean dan T-shirt sebab selesa. Tapi untuk majlis-majlis yang tertentu, saya akan pakai yang ringkas tapi pada masa yang sama nampak cantik.

Saya bukanlah jenis yang pandai untuk bergaya dan masih memerlukan pakar-pakar untuk mencantikkan diri dengan fesyen yang bersesuaian. Setakat ini saya masih belajar.

Boleh cerita sedikit pengalaman menjadi salah seorang selebriti yang terlibat dengan program Fear Factor Malaysia?

Saya agak teruja kerana peluang seperti ini memang tidak semua dapat. Tambahan pula saya suka mencabar diri sendiri, jadi saya memang tidak ada masalah untuk menyertainya.
Daripada program ini juga banyak perkara yang saya belajar terutamanya dari segi stamina dan kekuatan mental.

Perkembangan terbaru karier lakonan anda?

Saya baru tamat penggambaran drama bersiri, Tiga Dara Pelamin Satu untuk siaran RTM serta telefilem lakonan saya bersama Azhael dalam Cinta Di Gerai. Drama Misiku Kuza musim dua pula akan ditayangkan April ini.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP