Loading...
Tuesday, February 11, 2014

Lakaran kehidupan Siti Nurhaliza

DEWAN Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur digamatkan dengan hiruk-pikuk suara sorakan serta deruan tepukan penonton saat lampu sorot menyimbah tepat ke arah penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang muncul dari bahagian tengah dewan tersebut.
Mengenakan persalinan campuran dua tona hitam dan jingga rekaan Rizman Ruzaini, penyanyi yang berusia 35 tahun itu kelihatan begitu anggun sambil melantunkan lagu Siti Situ Sana Sini yang dipetik daripada album solo kesebelasnya sebagai lagu pembukaan konsert amal Datuk Siti Nurhaliza Live In Concert: Where The Heart Is yang berlangsung Sabtu lalu.
Usai melantunkan lagu pembukaan, Siti membawa penonton yang hadir terbang menyelusuri memori dengan mendendangkan lagu Kesilapanku Keegoannmu yang diberi nafas baharu oleh pengarah muzik konsert tersebut, Aubrey Suwito.
Lagu yang pada asalnya berentak perlahan itu disuntik dengan elemen teaterikal sesuai dengan perjalanan konsert berdurasi 120 minit itu.
Imbas kembali
Setelah tamat menyajikan beberapa buah lagu kepada para penonton, Siti meneruskan momentum persembahan dengan memulakan segmen kedua sambil bermonolog mengenai kariernya yang bermula sejak umurnya 16 tahun.
Figura kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu menyorot kembali kisah perjalanan kerjayanya dengan diiringi tujuh buah lagu yang digubah segar menjadi sebuah medley yang kedengaran begitu cantik.
Lagu-lagu seperti Jerat Percintaan, Kau Mawarku, Bukan Cinta Biasa dan Seindah Biasa lekas membuatkan penonton terkenang kembali zaman kegemilangan artis pujaan mereka itu.

BERDUET dengan Hazama, Siti suka bekerjasama dengan pendatang baharu.


Setiap kali mengadakan konsert, pasti ramai antara peminatnya yang teringin untuk mendengar lagu-lagu bukan single dinyanyikan Siti secara langsung. Justeru, menurut Siti dengan adanya platform media sosial seperti Twitter, Siti dapat berinteraksi dengan para peminatnya sewaktu dalam proses memilih lagu-lagu yang bakal dipersembahkan.
"Setelah dihitung jumlah permintaan, saya akan membawakan lagu Tanpa Kalian dan Intrig Cinta pada kali ini," ujar Siti sebelum memulakan segmen medley yang dijayakan secara akustik itu.
Tidak melupakan pencapaiannya merakamkan album penuh berbahasa Inggeris All Your Love tiga tahun lalu, penyanyi yang pernah berkolaborasi dengan Sean Kingston itu turut mendendangkan lagu Stand Up dan Remember You yang dipetik daripada album tersebut.
Meneruskan mood lagu-lagu berbahasa Inggeris pada malam tersebut, Siti kemudian menjemput Hazama untuk menyanyikan lagu Just Give Me A Reason secara duet sebelum juara Akademi Fantasia musim kesembilan itu mengambil alih pentas konsert bagi mempersembahkan lagu Relakan Jiwa secara solo.
Jaga Dia Untuk Ku
Sekitar hujung tahun 2013, penyanyi berbintang Capricorn ini pernah dirundung risau tatkala suami tersayang, Datuk Khalid Mohd. Jiwa dilaporkan kemalangan sewaktu menunggang motosikal berkuasa besar di Queenstown, New Zealand.
Ketika itu, Siti terpaksa membatalkan konsertnya di Banjarmasin, Indonesia bagi menjenguk keadaan suaminya di sana. Rentetan daripada peristiwa itu, maka lahirlah sebuah lagu baharu yang bakal dimuatkan dalam album terbaharunya tidak lama lagi.

SITI buat pertama kalinya mendendangkan single terkininya, Jaga Dia Untukku yang digarap khas untuk suaminya, Datuk Khalid atau Datuk K.



"Beberapa tahun lalu, saya banyak melalui pengalaman suka duka yang ingin saya ceritakan kepada peminat. Jadi, inspirasi tersebut diambil oleh penulis lagu dan lirik untuk menggubah lagu-lagu untuk saya," katanya sebelum membuai penonton dengan lagu berjudul Jaga Dia Untuk Ku.
Pertama kali diperdengarkan pada khalayak, lagu yang berentak sederhana rancak ini mendapat sentuhan daripada komposer Aubrey dan liriknya pula digarap oleh Rozi Sang Dewi.
Selepas mendendangkan lagu Biarlah Rahsia yang digubah semula susunan muziknya menjadi versi rock, Siti menutup pentas persembahan dengan menyanyikan lagu Lebih Indah.
Sumbang dana
Pada malam itu juga Siti menyerahkan wang dana sebanyak RM100,000 kepada Yayasan Munarah, Negeri Sembilan yang disaksikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tunku Munawir serta isteri, Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP