Loading...
Wednesday, February 12, 2014

Lisa kuasai litar

Berpeluang mewakili Malaysia bersaing dengan tiga sele­briti ter­kenal negara jiran dalam Cabaran Memandu Selebriti Shell FuelSave 2014 di Manila, Filipina satu pengalaman sukar dilupakan buat pelakon jelita Lisa Surihani.Dalam cabaran itu, Lisa bersaing dengan selebriti dari Filipina iaitu Bianca Gonzalez, Jean Danker (Singapura) serta Alex Simon Rendell (Thailand) untuk bergelar Pemandu Selebriti Terbaik Shell FuelSave tahun ini.

Semua artis terbabit memandu kenderaan khas Shell Eco-Marathon dan mereka dikehendaki meng­gunakan minyak pada kadar paling minimum.
Cabaran itu sempena program Shell Eco-Marathon Asia 2014 dan kali ini menyaksikan Filipina sebagai tuan rumah acara yang berlangsung pada 6 hingga 9 Februari lalu.
LISA Surihani

Bianca diumumkan sebagai Pemandu Selebriti Terbaik Shell FuelSave tahun ini dan semua selebriti berjaya mengumpul perjalanan 218.95 kilometer de­ngan hanya menggunakan satu liter minyak.

Walaupun mendapat tempat ketiga, Lisa melihat cabaran itu bermanfaat dalam membantu menjimat­kan penggunaan minyak menerusi cara pemanduan yang betul.

“Menyertai cabaran ini adalah pengalaman cukup baik kerana bukan sekadar mempelajari tip menjimatkan minyak, tetapi berpeluang memandu kereta konsep Shell Eco-Marathon,” katanya.

Berkongsi pengalaman ketika mengendalikan kenderaan itu di litar, pelakon itu mengakui gementar kerana sistem pemanduan kereta terbabit berbeza.

“Kenderaan itu ri­ngan serta ruangan yang kecil memerlukan saya untuk baring. Fungsi gerak kereta itu pula seperti motosikal jenis skuter di mana pedal brek dan minyak bukan terletak di kaki, tetapi di stereng.

“Mungkin disebabkan saiz kenderaan kecil, saya dapat merasakan gegaran kuat sepanjang memandu kereta itu,” katanya kepada RAP.

Pelakon Istanbul Aku Datang itu berkata, dia berusaha memandu kenderaan itu dengan cekap berpandukan tips diberikan duta Shell Fuel­Save yang juga pelakon
Fahrin Ahmad.

“Terdapat satu bahagian di litar tidak rata dan saya perlu mengawal kenderaan supaya tidak hilang kawalan,” kata­nya.


Fahrin Ahmad latih Lisa

Sebelum ini, Lisa dilatih Fahrin selama dua hari untuk meningkat­kan tahap kecekapan mengendalikan minyak kereta di Lembah Klang pada 15 dan 16 Januari lalu.

Cabaran dua hari itu membabitkan tiga perhentian di Universiti Monash Malaysia, Institut German-Malaysian dan Universiti Tunku Abdul Rahman.

“Saya dan Fahrin berkongsi pengetahuan dengan orang ramai me­ngenai rekaan kereta masa depan yang direka oleh pasukan pelajar yang mengambil bahagian dalam Shell Eco Marathon Asia di Manila,” katanya.

Katanya, sebagai wanita, dia sering terlepas pandang untuk berjimat dalam penggunaan mi­nyak dan menyedari terdapat banyak faktor yang menyebabkan bahan api itu cepat habis.

“Sebelum memulakan latihan, saya berasa gementar, namun berasa seronok bekerjasama dengan Fahrin sepanjang dua hari itu.

“Sebagai duta, Fahrin mengetahui banyak perkara dalam penjimatan mi­nyak dan beberapa tip yang dikongsi mengejutkan saya kerana kerap melakukan­nya,” katanya.

Menurutnya, membuka penghawa dingin pada tahap maksimum dan me­nyimpan terlalu banyak barang dalam kereta antara faktor berlaku pembaziran minyak kerana kenderaan menjadi berat, sekali gus memerlukan tenaga.

“Selain itu, menekan brek terlalu lambat semasa melalui bonggol juga menjadikan minyak mudah habis. Saya juga diberitahu, sentiasa memandu me­ngikut had kelajuan yang ditetapkan di jalan raya sebenarnya membantu menjimatkan minyak.

“Pendek kata, penggunaan minyak bergantung kepada sikap pemandu itu sendiri,” katanya.

Selain itu, Lisa turut bertemu dengan 17 pasukan terdiri daripada pelajar universiti tempatan yang mewakili Malaysia untuk bersaing dengan peserta luar negara dalam Shell Eco-Marathon Asia.

“Saya gembira kena diberi peluang menyertai cabaran ini dan kagum melihat kreativiti dan semangat dedikasi setiap pasukan dalam menghasilkan kenderaan yang menjimatkan tenaga,” katanya.

Sementara itu, Bianca teruja ketika diumumkan sebagai Pemandu Selebriti Terbaik Shell FuelSave bagi tahun ini selepas berjaya memandu sejauh 67.61 kilometer dengan hanya menggunakan satu liter minyak.


“Sebelum menyertai cabaran ini, tidak pernah terlintas dalam fikiran betapa mudahnya jimat minyak yang membantu saya me­ngawal perbelanjaan pe­ngurusan kereta.

“Kini, saya sedar memilih minyak bersesuaian dengan kenderaan serta mengubah cara pemanduan membawa perubahan besar,” katanya.

Shell Eco-Marathon Asia 2014 menyaksikan penyertaan 120 pasukan terdiri daripada pelajar universiti dari 16 negara.

Membanggakan apabila Malaysia berjaya merang­kul juara bagi empat kategori iaitu Prototaip untuk Hidrogen dan Diesel Alternatif, Kategori Konsep Urban bagi penggunaan Hidrogen serta Anugerah Off Track Shell Helix Tribology.

Pasukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam memenangi kategori Hidrogen bagi Prototaip dan Konsep Urban manakala Universiti Monash bagi Diesel Alternatif serta Anugerah Off Track Shell Helix Tribology.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP