Industri hiburan di Korea Selatan sama ada muzik mahu pun lakonan kini cukup mendapat tempat di hati peminat generasi muda tempatan. Pengaruh yang cuba dilihat pada sudut positif ini, nyata menjadi pembakar semangat kepada penggiat seni tempatan.
Menyedari betapa peminat muzik dan penonton sekarang yang lebih bersikap terbuka menerima hiburan dari negara luar membuatkan syarikat produksi tempatan cukup mengutamakan produk seni berkualiti. Apatah lagi, kini drama adaptasi novel cukup diminati ramai.
Mahu turut sama menghasilkan sentuhan drama menarik untuk tatapan penonton terutama generasi muda dan seisi keluarga, JS Pictures Sdn Bhd milik pasangan suami isteri, Sheila Rusly dan Azman Yahya atau Jinggo tampil dengan karya terbaru.
Bukan lagi hanya memberi tumpuan pada penghasilan drama serius yang sarat dengan pengajaran, gandingan mantap dua sejoli ini baru selesai menyiapkan drama bergenre komedi ringan, Tuan Rumah Pembantu Rumah, hasil tulisan Orkid Edyliyne.
Bukan lagi hanya memberi tumpuan pada penghasilan drama serius yang sarat dengan pengajaran, gandingan mantap dua sejoli ini baru selesai menyiapkan drama bergenre komedi ringan, Tuan Rumah Pembantu Rumah, hasil tulisan Orkid Edyliyne.
Bersua dengan Jinggo di lokasi penggambaran di Kota Damansara, baru-baru ini, pengarah berpengalaman itu berkata, dia sedar betapa drama adaptasi novel kini cukup laris dan diminati penonton.
“Apatah lagi, kebanyakan buku dihasilkan penulis novel berbakat tempatan kini menjurus pada jalan cerita percintaan ringan dan dipadatkan dengan elemen romantik. Ia secara tidak langsung menjadi lebih dekat dengan pembaca.
“Oleh itu, apabila ada produksi drama yang berminat untuk menterjemahkan jalan cerita sesuatu novel pada bentuk visual yang mampu membuatkan pembaca selaku penonton lebih teruja, maka ia perlu dihasilkan agak berhati-hati.
“Itulah yang saya lakukan pada drama adaptasi novel Tuan Rumah Pembantu Rumah ini. Bersandarkan pada skrip ditulis Sofia J Rayland, saya berikan sentuhan sebenar yang sama sekali tidak tersasar daripada karya asal,” katanya.
Memandangkan ini juga kali pertama JS Pictures menerbitkan drama adaptasi novel, sebagai pengarah Jinggo terlebih dulu membaca novel itu bagi mengetahui jalan cerita diketengahkan.
Katanya, Tuan Rumah Pembantu Rumah adalah kisah remaja semasa.
“Apabila kisah remaja, saya tahu ia menjurus pada percintaan. Ditambah, penggunaan bahasa juga agak bersahaja, romantik dan ceria. Jadi, berbekalkan skrip yang sudah disiapkan Sofia, saya berusaha menghasilkannya sebaik mungkin.
“Menggandingkan barisan pelakon seperti Zoey Rahman dan Nad Zainal sebagai teraju utama, saya suka dengan hasil kerja mereka. Dilihat sebagai satu gandingan baru, mereka mampu membentuk keserasian dalam drama ini,” katanya.
Mengulas mengenai pemantauan skrip supaya jalan cerita diketengahkan sesuai untuk tontonan masyarakat Jinggo berkata, tempoh selama dua bulan diambil untuk menyiapkan skrip.
Katanya, ditambah dengan sikap Sheila selaku penerbit yang cukup teliti, skrip dihasilkan ditapis lebih dulu sebanyak empat peringkat bagi memastikan ia cukup rencah dan rasa, selain menjaga sensitiviti.
Menegaskan plot cerita asal dalam novel masih dikekalkan, Jinggo berkata, dia juga harus peka pada kehendak pembaca novel berkenaan.
Katanya, apa yang pasti satu cabaran baginya untuk lebih kreatif pada sudut visual.
Memaklumkan karakter utama, Intan Asha Areen lakonan Nad adalah peminat fanatik K-Pop, ia sememangnya situasi sebenar kebanyakan anak muda sekarang. Jadi, Jinggo mengolahnya mengikut apa diinginkan penonton.
Bersyukur menterjemahkan karya Tuan Rumah Pembantu Rumah dengan skrip penuh yang sudah disiapkan, Jinggo berkata, ia tidak begitu menyukarkan dia berkarya.
Katanya, memang menjadi keutamaan JS Pictures hanya memulakan penggambaran selepas skrip siap sepenuhnya.
Drama ini mengisahkan mengenai Intan Asha Areen, gadis bekerjaya yang berusia awal 20-an. Memiliki ijazah dalam bidang kulinari dan sangat meminati muzik K-Pop, Intan Asha Areen adalah ketua chef di hotel milik keluarganya.
Selain itu, Intan juga sudah ditunangkan dengan Taufeeq, jejaka pilihan keluarganya. Namun sikap Taufeeq yang kasanova dan curang membuatkan Intan Asha Areen lari dari rumah kerana tidak mahu menjadi isteri kepada lelaki yang tidak setia.
Dia akhirnya menetap di vila milik Tan Sri Kamil Adfian dan bekerja sebagai pembantu rumah. Menetap bersama keluarga itu dengan menyembunyikan identiti sebenar dirinya, Intan Asha Areen berkenalan dengan Emir Jihan seorang doktor.
Sheila lebih selesa 'low profile'
Masih lagi bersikap ramah dan mesra berbicara, Sheila yang menjalin hubungan baik dengan media selama ini tidak pernah berubah. Cuma, katanya dia kini lebih selesa tidak lagi terlalu menonjol diri.
Pada usia yang sudah mencecah 42 tahun, penerbit dan pelakon terkenal ini mengakui dia lebih cenderung memberi tumpuan pada kerja belakang tabir.
Katanya, ada kala dia membantu suaminya, Jinggo sebagai pengarah bersama.
“Apa yang pasti, posisi utama saya dalam JS Pictures masih lagi sebagai penerbit. Cuma, apabila melihat suami memerlukan bantuan di sisinya barulah saya bertindak sebagai pengarah bersama bagi melancarkan kerja kami.
“Ditambah lagi, sekarang memang sudah masanya untuk saya lebih ‘low profile dan tidak begitu menonjol kerana faktor usia.
Bagaimanapun, yang pasti JS Pictures masih lagi bernafas dalam industri untuk menghasilkan drama berkualiti.
“Sebagai penerbit, saya akui memang cerewet dan teliti pada setiap drama dihasilkan. Ia kerana, saya harus lebih mengutamakan kepuasan penonton yang semestinya ingin menonton karya drama yang bagus dan terbaik,” katanya.
Menyangkal tegas dakwaan dia berkecil hati dengan media, Sheila berkata, hingga kini hubungan baik yang pernah dijalin tidak pernah tergugat.
Katanya, memang dia sendiri yang memilih jalan untuk tidak begitu menonjol.
Menurutnya, sebagai produk yang sudah stabil dan lama bertapak, JS Pictures sebenarnya cuba memberi ruang kepada produksi baru tanah air untuk lebih diketengahkan oleh media bagi tujuan publisiti.
Namun ia tidak bermakna dia dan juga produksinya sudah tidak memerlukan publisiti langsung. Cuma dalam industri hiburan di Malaysia ini, haruslah ada sikap saling bantu membantu.
Mengulas juga mengenai pembabitannya dalam lakonan, Sheila berkata, dia sebenarnya sudah dua tahun berehat daripada berlakon.
Katanya, ia bukan disebabkan minat sudah pudar tetapi berehat untuk sementara waktu itu perlu.
Jadi, katanya apabila berehat seketika, secara tidak langsung mungkin ada juga peminat yang rindu untuk melihat aksi lakonannya. Bagaimanapun, Sheila berkata dia hanya sedia untuk kembali berlakon apabila mendapat skrip yang diinginkan.
Kata ibu kepada dua anak ini, sekarang juga adalah masanya untuk dia bersikap agak memilih terhadap karekter yang akan dilakonkan dan skrip. Ujarnya, apa yang pasti kini bukan lagi masa untuk dia membina nama atau mencari populariti, sebaliknya lebih menjurus kepada kepuasan diri.
0 comments:
Post a Comment