SEBENARNYA majlis hari jadi pengacara dan pelakon popular, Noor Neelofa Mohd. Noor yang berlangsung di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor pada malam kelmarin dirancang khas tanpa pengetahuan empunya diri.
Dihadiri ahli keluarga terdekat, rakan-rakan, peminat dan pihak media, majlis berkenaan sengaja diaturkan oleh ibu tersayang, Noor Kartini Noor Mohamed dan pengurusnya, Mohd. Amer Shafiq Khalip bagi memberi kejutan buatnya.
Sebaik sahaja figura jelita yang popular dengan nama Neelofa itu melangkah masuk ke lokasi majlis yang dikenali sebagai Pool Bar di hotel berkenaan kira-kira pukul 8.30 malam, jelas terpancar riak wajah terkejut dirinya melihatkan kehadiran ramai tetamu.
Ujar Neelofa, dia agak terkejut apabila sekali lagi diraikan pada majlis yang dia sendiri tidak mengetahuinya.
Malah, ibu tercinta pula memberitahu ia sekadar makan malam bersama keluarga untuk meraikan hari jadinya yang disambut awal sehari.
"Kalau boleh, saya tidak mahu diadakan lagi majlis kejutan sebegini buat diri saya, apatah lagi dengan usia yang sudah menjangkau 25 tahun.
"Kalau usia saya masih lagi muda sekarang ini, saya tidak kisah sangat untuk diraikan dengan cara sebegini.
"Bagaimanapun, saya tetap berasa terharu dengan majlis yang diadakan ini dan lebih menggembirakan saya apabila melihat kehadiran ramai tetamu yang turut meluangkan masa untuk hadir," ujarnya yang baru sahaja pulang dari Los Angeles, Amerika Syarikat pada Rabu lalu itu.
Berkongsi cerita mengenai kehidupannya dengan usia yang sudah semakin bertambah, Neelofa tanpa berselindung mendedahkan bahawa dia pernah berasa gusar apabila masih belum bertemu jodoh yang sesuai.
Ujarnya, perasaan tersebut timbul dalam dirinya sebelum ini memandangkan kebanyakan rakan sebayanya sekarang yang sudah berumah tangga serta memiliki anak sendiri.
"Pada mulanya, saya sedikit risau melihatkan kehidupan rakan-rakan yang sudah memiliki keluarga sendiri, tetapi apabila difikirkan semula lebih baik saya tumpu sahaja pada karier terlebih dulu.
"Buat masa ini, saya tidak perlu mengejar jodoh dan tidak mahu terlalu menyentuh mengenainya. Kini, saya mahu memperbaiki lagi segala kelemahan yang ada terutamanya karier sebagai pengacara dan pelakon," jelasnya.
Dalam pada itu, Neelofa turut ditanya tentang pandangannya terhadap kontroversi yang timbul berhubung isu ditangkap khalwat yang heboh diperkatakan sejurus sebelum dia berlepas ke Los Angeles untuk menjalani kursus di New York Film Academy, Los Angeles pada awal bulan lepas.
Enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, Neelofa sebaliknya menjelaskan bahawa sama ada orang menyukai atau membenci dirinya, apa yang lebih penting, dia perlu menjadi seorang wanita yang tabah untuk berhadapan dengan segala cabaran.
"Segala perkara yang telah saya lalui sebelum ini juga akan dijadikan sebagai pengalaman hidup untuk menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang," luahnya.
Pengalaman baharu
Pelakon yang dikenali menerusi filem Lemak Kampung Santan itu turut berkongsi tentang pengalamannya ketika menimba ilmu di New York Film Academy, Los Angeles.
Dengan nada penuh ceria, Neelofa menyatakan bahawa terdapat pelbagai perkara yang dipelajarinya sepanjang berada di sana dan tempoh selama sebulan dirasakan masih belum mencukupi.
"Banyak pengalaman baharu yang saya lalui, misalnya duduk seorang diri dan berjauhan dengan ahli keluarga di Malaysia serta ada beberapa perkara lain yang terpaksa saya uruskan sendiri sehingga ia serba sedikit dapat mengubah cara hidup saya.
"Selain itu, pengalaman dapat mengikuti kursus lakonan di sana memang sangat menyeronokkan kerana dapat bergaul dengan beberapa rakan dari negara lain seperti Belgium, England dan Hong Kong," jelasnya.
Ujarnya, sepanjang menuntut di sana banyak perkara baharu yang dapat dipelajarinya mengenai bidang lakonan, misalnya teknik berlakon yang baik dan pengetahuan lebih mendalam tentang filem.
Jelas Neelofa, mempunyai rakan sekelas yang terdiri daripada pelbagai negara juga memberi kelebihan dan keunikan tersendiri, terutamanya dapat melihat perbezaan cara lakonan masing-masing.
"Apabila dapat belajar dan bergaul dengan mereka barulah saya dapat mengetahui dan merasai sendiri pengalaman tentang perbezaan budaya serta teknik lakonan yang ditampilkan," ujarnya.
Filem muzikal
Berkongsi tentang karier seninya pula, artis cantik kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata, selepas menjadi pengacara Anugerah MeleTOP yang berlangsung pada minggu lalu, dia bakal terbabit dengan filem berjudul Sinaran.
Ujarnya, ia merupakan sebuah filem berbentuk muzikal arahan Osman Ali dan dia akan bertolak ke Singapura pada awal bulan Mac ini untuk menjalani latihan di sana.
"Saya menerima tawaran berlakon filem Sinaran kerana ini kali pertama saya berlakon dalam sebuah filem muzikal dan saya tertarik kerana ia akan memuatkan lagu-lagu popular nyanyian Datuk Sheila Majid.
"Buat masa ini, saya tidak dapat menjelaskan lebih lanjut tentang jalan ceritanya, tetapi saya agak teruja kerana dapat bekerjasama sekali lagi dengan pengarah hebat seperti Osman," jelasnya yang sebelum ini pernah berlakon dalam Pilot Cafe arahan pengarah berkenaan.
Akui Neelofa, sesuatu yang menarik tentang filem berkenaan juga kerana ia akan membabitkan gabungan pelakon dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia
0 comments:
Post a Comment