Loading...
Sunday, February 2, 2014

Noah Ismail Wong pelengkap cinta Hani, Sha’rin

SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mengimpikan kehadiran cahaya mata bagi melengkapkan lagi kehidupan rumah tangga mereka.

Malah ada juga pasangan yang mengibaratkan kehadiran cahaya mata sebagai pelengkap cinta mereka.


Justeru momen pertama sebelum bergelar ibu dan bapa iaitu saat kehamilan adalah salah satu momen yang cukup berharga bagi pasangan yang mendirikan rumah tangga dan perkara itu turut dilalui dan diakui oleh Yasmin Hani dan suaminya, Sha’rin Razali.

Apatah lagi buat pelakon dan pengacara yang mesra membahasakan dirinya Hani ini, pengalaman mengandung Noah Ismail Wong merupakan pengalaman pertama buatnya dan membuatkan dia begitu teruja.

“Sejak Noah lahir, saya mula rasa lebih sensitif dan mudah tersentuh dengan setiap tindak tanduknya. Tapi kerana perasaan tersebut tidak elok buat ibu yang dalam pantang, maka saya pujuk diri agak tidak terlalu terikut-ikut dengan perasaan saya.

“Namun  pengalaman menjadi ibu cukup bermakna dan macam saya sendiri, melihat dia tersenyum setiap kali dia terjaga adalah momen yang cukup istimewa, bukan sahaja kepada saya bahkan Sha’rin juga merasa begitu,” katanya.

Hani berkata, sikapnya itu amat berbeza kerana ketika hamil, dia menjadi seorang cepat marah dan garang.

“Masa mengandung memang saya mudah marah dan garang. Pantang ada silap sikit saya mula nak marah. Mungkin juga disebabkan perubahan hormon. Sampaikan saya beritahu suami saya, kadang-kadang bila saya marah sebenarnya saya tak sedar pun apa sebenarnya. Mujur suami saya memahami,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, akui Sha’rin tumpuan mereka kini juga kini lebih terarah kepada Noah dan kadang kala menimbulkan pertanyaan baru yang melucukan.

“Kadang kala saya kata pada Hani dia nampak sayang Noah lebih dari saya. Kadang-kadang Hani pula rasa begitu. Tapi bagi saya, dua-dua saya sayang dan saya rata,” katanya sambil memandang Hani.


Tolak pengasuh

Hani berkata sejak bergelar ibu, hidupnya agak kelam kabut memandangkan dia masih lagi dalam proses membiasakan diri dalam menguruskan hal penjagaan putera kesayangannya itu.

Bagaimanapun, dek kerana tidak mempercayai anaknya di jaga orang lain, akui Hani dia menolak untuk memiliki pengasuh dan bergilir-gilir menjaga Noah bersama Sha’rin.

Katanya sebagai permulaan, dia juga sudah mula menerima tawaran dan membiarkan Sha’rin menjaga Noah serta menjangka tempoh yang sesuai untuk meninggalkan Noah.

“Saya tidak ada pembantu rumah. Jadi saya dan suamilah bergilir-gilir jaga Noah. Dalam awal-awal ni memang agak kelam kabut juga dibuatnya lebih-lebih lagi kalau saya ada penggambaran. Buat masa ini saya kurang ambil tawaran sebab Noah menyusu badan jadi susah kalau nak tinggalkan dia.

“Walaupun penat dan saya tak cukup tidur dek kerana menjaga Noah, tapi seronok sebenarnya bila melihat sendiri perkembangannya dari hari ke hari.

Saya pula memang jenis suka ambil gambar dan video. Jadi setiap apa saja perubahan atau peningkatan yang saya nampak pada Noah, saya akan ambil gambar atau rakam video.

“Sebenarnya daripada hari pertama saya dapat tahu saya mengandung, saya dah mula rakam dan ambil gambar setiap apa yang saya buat,” katanya.


Risau syok sendiri

Oleh sebab Hani gemar mengambil gambar sepanjang kehamilannya, maka tercetus idea pada pasangan suami isteri ini untuk mengabadikan saat-saat bermula mereka menerima berita bakal menimang cahaya hinggalah kelahiran Noah.

Program tersebut bakal dikongsikan dengan penonton menerusi program Selebriti Materniti : Yasmin Hani yang akan disiarkan di Astro Maya HD bermula 3 Februari ini.

Bukan sekadar program syok sendiri, sebaliknya program empat episod itu turut mengandungi info-info berkaitan kehamilan, kelahiran, ‘baby shower’ dan juga majlis akikah.

“Saya dan suami tidak pernah merancang pun nak menerbitkan program ini kerana pada asalnya kami mengambil gambar dan video sekadar simpanan untuk ditunjukkan kepada anak Noah apabila dia dewasa nanti.

“Tapi idea menerbitkan program itu timbul selepas menyedari rakaman peribadi yang kami rakamkan sendiri sepanjang kehamilan terlalu banyak, sangat menarik dan kami rasa berpotensi untuk dikongsi kepada umum sekali gus memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.

Tambahnya program yang bakal ditayangkan sebanyak empat episod itu memaparkan pelbagai detik sepanjang kehamilannya seperti ‘baby shower’, pengalaman mengandung, saat di bilik bersalin, majlis cukur dan aqiqah.

“Setiap wanita mengalami situasi berbeza apabila mengandung dan begitu juga saya. Paparan dalam empat episod itu adalah lebih kepada kisah saya di samping informasi berguna bukan sahaja untuk wanita mengandung tetapi orang-orang di sekeliling mereka,” jelasnya.

Bagaimanapun kata Sha’rin, pada mula dia berasa risau untuk meneruskan terbitan proram tersebut kerana bimbang dikatakan syok sendiri, memandangkan banyak footage yang dirakamkan oleh mereka sendiri. Tetapi atas pandangan krew produksinya, dia akhirnya yakin program ini banyak memberi manfaat kepada para ibu bapa terutama bagi pasangan yang baru pertama kali bakal menimang cahaya mata.

“Mula tu saya risau, takut orang kata kami syok sendiri pula. Kemudian rakan kongsi saya yakinkan saya untuk teruskan program ini. Bagi mengelakkan dari nampak kami syok sendiri, krew produksi yang buat pilihan dari segi shot-shot, gambar dan momen-momen menarik kami untuk dikongsikan pada para penonton,” jelasnya.


Harapan Hani

Di tebak adakah dia akan membuat dan berkongsi rakaman sebegini saat hamil anak kedua,  Hani berkata, semua itu belum difikirkan, apatah lagi rakaman buat Noah juga tidak pernah dirancang.

“Kami tidaklah pernah terfikir bila mengandung terus nak rakam dan hantar kepada Astro. Perancangan dan idea ini datang kemudian. Jadi kalau hamil anak kedua, saya tak tahu lagi sama ada akan buat sebegini lagi atau hanya rakam untuk kenangan masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Hani juga menafikan program Selebriti Materniti tersebut adalah untuk membuatkan anaknya dikenali ramai.

Bagaimanapun sebagai ibu, dia berharap anaknya akan dikenali suatu hari nanti kerana kejayaan hidupnya.

“Jika orang tak lihat program itu pun mereka mungkin tahu Noah anak saya. Jika mereka lihat program itu dan bagi mereka yang belum berkesempatan melihat Noah, secara tidak langsung mereka akan tahu itu anak saya.

“Namun sebagai ibu saya berharap dia akan menjadi orang yang baik dan berjaya. Jadi kami akan pastikan dia mendapat didikan agama yang sempurna,  jadi individu yanf menghormati orang lain, baik dan juga penyayang,” akhirinya.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP