SIAPA yang pernah lupa adegan 'perang' di lokasi penggambaran antara Norman Hakim dan isterinya ketika itu, Abby Abadi gara-gara wanita bernama Memey Suhaiza.
Namun, itu semua hanya tinggal kenangan. Memey yang sebelum ini terpalit dengan imej negatif kini sudah boleh menghembuskan nafas lega kerana kehidupannya semakin beralur ke jalan yang positif.
Sejujurnya, dia tidak menjangka akan mengecapi bahagia sepantas ini, ditambah dengan kehadiran cahaya mata Muhammad Darwisz Hakim yang berusia setahun.
"Alhamdulillah, saya sendiri tidak jangka untuk diterima peminat kembali serta kehidupan rumah tangga saya cukup bahagia selepas melalui episod yang agak sedih.
"Saya tidak pernah berhenti berdoa untuk Allah permudahkan jalan untuk saya sekeluarga. Harap bahagia yang saya ada hari ini akan berpanjangan," kata Memey yang ditemui di kediamannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada majlis ulang tahun anaknya dan doa selamat.
Begitu juga dengan Norman yang memberitahu apa yang terjadi kepadanya adalah ujian Allah yang harus dilalui dengan redha.
"Saya percaya setiap manusia akan diuji Allah, begitu juga dengan saya. Orang lain caranya lain, saya pula dengan cara yang begini, satu Malaysia tahu apa yang terjadi.
"Mahu tidak mahu, saya kena laluinya. Berkat kesabaran, akhirnya semua yang negatif menjadi positif. Kehidupan kami lebih aman dan saya rasa sangat bahagia sekarang ini," ucapnya.
Disoal tentang anak, bibir Memey mula meleretkan senyuman tanda bahagia. Selain Darwisz, Memey turut sama menjaga tiga orang anak Norman bersama Abby Abadi iaitu Mohamed Danish Hakim, 10, Marissa Dania Hakim, 8, dan Maria Danisha Hakim, 5.
"Sebelum ini, saya menjaga anak-anak abang Norman tetapi apabila mempunyai anak sendiri barulah saya faham perasaan sebenar seorang ibu.
"Memang penat tetapi saya seronok sangat sebab dapat membesarkan anak saya sendiri. Pejam celik sekarang Darwisz sudah setahun, rasa seperti baru semalam saya lahirkannya" ujarnya.
Terus-terang Memey mengatakan dia mahu memiliki enam cahaya mata sendiri ditambah tiga daripada Norman menjadikan anaknya sembilan orang andai hasratnya itu tercapai.
"Saya anak ketiga daripada enam orang adik-beradik, sudah terbiasa dengan keluarga yang besar sebab itu saya mahu enam orang anak sendiri.
"Mungkin orang berfikir saya kolot untuk memiliki ramai anak tetapi saya fikir untuk masa hadapan. Jika ada ramai anak kehidupan pada usia emas nanti tidaklah sunyi," tutur Memey.
Norman yang mendengar pengakuan Memey itu hanya mampu tertawa sahaja. Dia juga seperti Memey tidak kisah andai dikurniakan anak yang ramai.
"Memey masih muda, baru 26 tahun dan saya sudah 38 tahun. Dia mempunyai banyak masa untuk mencapai hasratnya memiliki enam orang anak (ketawa).
"Soal anak ini saya tidak kisah, kita manusia mampu merancang. Selebihnya terpulang kepada rezeki Allah. Saya percaya setiap anak membawa rezeki, jadi saya tidak perlu risau andai memiliki anak seramai sembilan orang," kata Norman.
Memey bawa anak ke lokasi
Beritahunya, disebabkan dia memberikan susu badan sepenuhnya kepada Darwisz, Memey terpaksa membawa anaknya itu ke lokasi penggambaran termasuk ke Pulau Kapas, Terengganu selama sebulan ketika menjalani penggambaran drama bersiri Terbiah Cinta.
"Setakat ini, ke mana sahaja saya pergi saya akan bawa anak saya. Bagi saya, bawa anak ke lokasi tidak menganggu kerja kerana saya rasa lebih selamat apabila anak berada dekat dengan saya.
"Namun, bukan semua lokasi saya bawa anak. Jika penggambaran mengambil masa yang lama serta lokasinya sesuai saya akan bawa Darwisz sekali," ucap Memey.
Terang Memey, dengan imej berhijab sejak bulan Ramadan tahun lalu serta statusnya sebagai seorang ibu tidak memperlahankan rentak kerjayanya sebagai pelakon.
Masih ligat berlakon seperti dahulu, jelasnya, tawaran lakonan tidak pernah putus walaupun dia sudah berubah imej.
"Saya masih sibuk, tawaran lakonan sentiasa ada dan tidak pernah putus. Rasanya sekarang ini lebih ramai orang boleh terima imej pelakon bertudung.
"Penerbit pun memahami peraturan yang harus diikut apabila mengambil saya," tuturnya.
Buka butik
Tidak hanya berlakon, Memey juga kini sedang ligat dengan persiapan untuk membuka butik Muslimah secara dalam talian tidak lama lagi.
"Sudah lama saya terfikir untuk membuka butik sendiri kerana sejak berhijab saya kerap jadi model untuk butik-butik Muslimah yang lain.
"Setiap apa yang saya pakai pasti orang tanya beli di mana. Jadi, daripada jadi model untuk orang lain lebih baik saya buka butik sendiri," terangnya.
Memilih nama Maya Delaila sebagai nama butiknya itu, terang Memey nama itu dicadangkan oleh suaminya sendiri.
"Sebenarnya nama Maya Delaila merupakan nama pilihan andai kami dikurniakan anak yang seterusnya. Norman sukakan nama itu dan mencadangkan saya memakai nama itu untuk butik.
"Sekarang ini, saya dalam fasa membuat rekaan untuk pakaian serta tudung yang akan dijual di butik itu nanti.
"Sepatutnya awal tahun ini butik itu dilancarkan tetapi sebab sibuk saya menundanya.
"Jika tidak ada aral melintang, tahun ini juga butik Maya Delaila akan beroperasi," luah Memey.
0 comments:
Post a Comment