SUDAH lama rasanya penyanyi Siti Sarah Raisuddin, 30, tidak merakamkan sebarang lagu baharu selepas muncul dengan album solo terakhirnya berjudul Tiada Dikau Tiada Makna lapan tahun lalu.
Kali terakhir penyanyi yang selesa disapa Sarah ini merakamkan lagu baharu adalah bersama suaminya, Shuib, 30, yang merupakan pelawak dari kumpulan Sepahtu menerusi lagu Cinta Itu Nyawa.
Kemudian, dia juga turut mengambil bahagian dalam rancangan realiti masakan popular MasterChef Selebriti musim pertama.
Selepas itu, ibu kepada Uwais Alqarni, setahun dan Dzahira Talita Zahra, sembilan bulan ini seperti sepi daripada dunia hiburan.
Pernah menjulang beberapa anugerah menerusi tiga kategori di Anugerah Industri Muzik 2003, Sarah dikatakan selesa duduk di rumah dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Ada juga yang mengatakan Sarah enggan bekerja kerana Shuib mampu untuk menanggungnya sekeluarga.
Berkesempatan bertemu dengannya pada majlis pelancaran Royal Slim Lishuo Magic yang berlangsung di N’dah Catering, Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Sarah mengaku dia sengaja mendahulukan karier suaminya sebelum berfikir tentang kerjayanya.
Ikuti temu bual yang dijanlankan bersama dengan pelantun yang pernah popular dengan lagu Kesetiaan ini.
Kosmo!: Ada yang mengatakan anda enggan menyanyi semula kerana selesa dengan populariti yang dikecapi Shuib. Adakah dakwaan itu benar?
SARAH: Dakwaan tersebut tidak benar sama sekali. Saya masih minat menyanyi dan masih memenuhi undangan nyanyian di syarikat-syarikat korporat. Sejujurnya, saya mendahulukan karier suami saya dan Alhamdulillah, kehidupan kami telah banyak berubah.
Boleh ceritakan sedikit mengenai perubahan kehidupan rumah tangga anda?
Sejujurnya, selepas saya selamat menjadi isteri kepada Shuib tiga tahun lalu, kehidupan kami tidak semewah sekarang. Sewaktu mula-mula tinggal sebumbung bersama, rumah kami kosong. Ketika itu dia berjanji kepada saya untuk mengubah kehidupan kami. Ternyata, usahanya untuk memberikan yang terbaik kepada saya dan anak-anak akhirnya tercapai.
Bagaimana penerimaan Shuib pula terhadap kerjaya anda?
Shuib begitu menyokong saya sebagai seorang penyanyi. Tidak kira dalam bidang apa sekalipun, dia sentiasa memberikan semangat kepada saya untuk terus berusaha. Misalnya, walaupun berat badan saya meningkat selepas melahirkan anak kedua, dia tetap menerima saya seadanya.
Bercakap mengenai berat badan, tubuh anda kelihatan sungguh langsing. Apa rahsianya?
Saya sedang mengamalkan meminum minuman kesihatan Royal Slim Lishuo Magic. Selepas beberapa bulan, berat badan saya yang dahulunya 74 kilogram turun kepada 47 kilogram. Selepas kejayaan tersebut, saya dan Shuib turut dilantik untuk menjadi duta produk tersebut.
Mengapa Shuib turut menjadi duta sedangkan dia tidak mengalami masalah berat badan berlebihan?
Dia mahu sentiasa menyokong apa yang saya lakukan. Lagipun produk itu mengandungi khasiat kologen yang turut boleh diambil oleh kaum lelaki walaupun mereka tidak mengalami masalah berat badan.
Sudah lama anda tidak merakamkan lagu baharu. Sampai bila anda mahu berehat daripada menyanyi?
Seperti saya katakan tadi, saya masih menyanyi. Saya tidak boleh meninggalkan bidang nyanyian kerana ia merupakan minat saya yang utama. Saya berehat lama daripada bidang nyanyian kerana jarak antara tempoh kehamilan pertama dan kedua begitu rapat iaitu hanya enam bulan.
Jadi, apa perancangan anda seterusnya?
Saya kini sedang sibuk merakamkan lagu untuk album baharu di bawah syarikat rakaman baharu iaitu Aidit Alfian Records. Saya akan pastikan lagu-lagu yang terkandung dalam album itu nanti kedengaran lebih segar berbanding album saya sebelum ini.
0 comments:
Post a Comment