Loading...
Saturday, February 22, 2014

Nota Neelofa: Bila Lofa nak kahwin?

Seiring peningkatan usia, ramai bertanya kepada Lofa soalan sama. Bila? Siapa? Malah, apabila berjumpa sahabat satu sekolah atau ketika pulang beraya di kampung, saudara mara bertanya perkara sama.
Soalannya mudah.
Hanya empat patah perkataan.

Namun hendak menjawabnya payah.

“Bila Lofa nak kahwin?” Setiap kali persoalan itu dibangkitkan, Lofa pasti teringatkan pepatah Jawa berbunyi ‘alon alon, waton kelakon’ yang bermaksud biar perlahan, asalkan hasilnya terbaik.
Bercakap soal kahwin, ia pasti berkait rapat dengan jodoh.
Ada apa dengan jodoh? Ada yang mengungkapkan jodoh itu takdir, ada juga yang mendefinisikan jodoh sebagai pilihan.

Pada mata Lofa, jodoh itu misteri kerana ia sukar dijangka.

Lofa percaya janji Allah, setiap makhluk dijadikan berpasangan.

Bila dan di mana individu itu bakal bertemu pasangannya, hanya Allah mengetahui.

Mungkin di dunia, mungkin di akhirat.
Kita tidak tahu siapa, bagaimana, bila dan mengapa kita dipertemukan dengan suri dunia atau belahan jiwa kita! Ada yang bertemu pasangan ketika remaja, di universiti atau tempat kerja.

Bukan sesuatu yang aneh jika bertemu jodoh tatkala usia di ufuk senja.

Kalau dulu Lofa tetapkan tamatkan zaman bujang sebelum cecah usia 30 tahun, kini Lofa sedar tidak perlu tetapkan masa untuk tamatkan zaman bujang sebelum mencecah 30 dan sekarang Lofa sedar sebenarnya kita tidak harus menetapkan bila.

Kita tidak perlu mengikut jejak yang lain.

Usah tertekan jika orang sekeliling kita sudah berkahwin.

Yang penting, cari dan kenali diri sebelum membiarkan diri disayangi pasangan kita.

Tanya diri, adakah bersedia memegang status suri atau belahan jiwa seseorang? Benarkah kita bersedia mendirikan rumah tangga dan dikurniakan zuriat? Bukankah lebih indah menyayangi diri kita dulu? Diri kita perlukan ganjaran.

Diri kita juga perlukan belaian.

Maka, siapa lagi yang lebih layak mengasihi kita selain diri sendiri? Bagi Lofa, mencari jodoh tidak perlu tergopoh-gopoh.

Tidak perlu gelojoh kerana peluang itu pasti ada.

Tidak akan pernah tamat tempoh untuk kita mencari jodoh selagi nyawa dikandung badan.

Perlu diingat, kita tidak boleh mempercepat atau melambatkan jodoh.

Semuanya ditentukan Yang Maha Kuasa.

Tipu andai kita, khususnya golongan Hawa, tidak cemburu melihat kawan, saudara mara mahupun adik-beradik terlebih dulu membina mahligai bahagia.
Di zaman ini, konsep langkah bendul perkara biasa.

Kedua-dua kakak dan adik Lofa sudah melangkah ke jenjang pelamin.

Bahkan, tahun lalu adik Lofa sudah menimang cahaya mata.
Namun Lofa tidak pernah kesal mengapa jodoh belum kunjung tiba! Bagi Lofa, jangan pernah kita mempersoalkan rencana Tuhan.
Jangan pernah kita terperangkap dengan perasaan kecewa dan sepi.

Jangan bersedih andai kisah cinta terhenti di pertengahan jalan.
Lihat sekeliling kita, hargai apa yang ada di depan mata.

Syukuri segala-galanya kerana sesungguhnya hidup ini kita yang pandu.

Pilihlah jalan paling sesuai untuk tiba ke destinasi yang dituju.

Andai tertulis sesuatu itu jadi milik kita, pasti kita akan memilikinya.

Jangan pernah tergoda mahupun cemburu melihat orang lain mengecapi kebahagiaan.

Tempuh jalan kita dengan lapang dada, pasti kita gembira dan beroleh ketenangan.

Nasihat untuk anda dan diri Lofa, percayalah bahawa jodoh itu misteri.

Cepat atau lambat, hadir mahupun tidak, ia sudah tertulis.

Apapun yang terjadi, berjalanlah tanpa henti.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP