Loading...
Saturday, February 22, 2014

Salah faham

Sejak menjayakan siri atas talian Autumn Di Hatiku, nama Kim Jin Sung menjadi sebutan ramai wanita khususnya peminat tegar K-pop. Kesungguhannya menguasai Bahasa Melayu demi mencipta nama sebagai pelakon di negara ini mendapat pujian. Meskipun belum fasih, ia boleh dijadikan teladan terutama mereka yang memandang Bahasa Melayu dengan sebelah mata.
Imej bersih Jin Sung bagaimanapun tercalar selepas timbul khabar angin dia makin ‘demand’ apabila meminta bayaran untuk sesi fotografi dan temu bual.
Ketika isu itu dibangkitkan, Jin Sung yang ditemui dalam sidang media Autumn di Hatiku musim kedua mengaku pernah bertanya mengenai bayaran apabila diminta menghadiri sesi fotografi dan temu bual.

Namun itu tidak bermakna dia ‘demand’ kerana di Korea sudah jadi budaya artis menerima bayaran daripada akhbar, majalah serta stesen televisyen.
“Tiada seorang pun pernah maklumkan di sini artis tidak dibayar jika ditemubual atau menjayakan fotografi.
Saya cuma bertanya dan bukannya meminta.

Mungkin ada yang salah faham dan terus melabelkan saya ‘demand’ dan besar kepala.

“Sepatutnya mereka tanya dan beri ruang kepada saya untuk jelaskan keadaan sebenar.

Andai dari awal saya dimaklumkan cara di sini tidak sama di Korea mesti perkara ini tidak akan berlaku,” katanya terkilan.

Memulakan karier sebagai model iklan komersial dan pelakon pada 2009, Jin Sung tidak kisah berulang-alik ke negaranya meskipun belum ada tawaran dari produksi lain.

Selain Autumn Di Hatiku, Jin Sung hanya muncul dalam iklan insurans AIA dan slot pendek Korea Ok di TV9.

“Saya takkan berputus asa.

Niat saya mahu cipta nama di sini (Malaysia) dan tidak akan berganjak selagi tidak berjaya.

“Saya gunakan duit simpanan untuk tampung kehidupan di sini.

Kalau boleh saya mahu menetap lama di Malaysia tetapi bukan mudah mendapat permit pekerjaan di sini,” katanya yang turut mendedahkan ada tawaran berlakon di Korea tetapi masih dalam peringkat perbincangan.

Mengulas lanjut pengalaman menjayakan Autumn Di Hatiku musim kedua, jejaka berusia 28 tahun ini menjelaskan kali ini lebih mudah kerana ia kesinambungan kisah lalu.

Pun begitu dia sukar berkomunikasi dengan pelakon baru, Youmie Robert apabila gadis berdarah kacukan Korea-Perancis itu tidak fasih berbahasa Korea.

“Kali ini saya mencintai dua wanita dan harus memilih.

Youmie memegang watak sebagai kekasih saya.

Dalam cerita ini kami berkomunikasi dalam bahasa Korea dan Inggeris.

“Agak sukar kerana dia tidak fasih berbahasa Korea.

Sepanjang penggambaran saya banyak betulkan sebutannya.

“Dari segi penghayatan watak saya tidak ada masalah kerana pengalaman sebelum ini banyak membantu,” kata Jin Sung.

Musim terbaru mengisahkan Nina perlu berdepan dengan pesaingnya, Summer yang turut mengusahakan kedai kek.

Nina, Jaja dan Ramon berusaha mengatur strategi memastikan kedai kek mereka terus mendapat sambutan.

Pada masa sama, rakan perniagaan Autumn cuba menyingkirkan jejaka yang dicintai Nina itu dari syarikat.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP