Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza tidak melihat sebarang kesalahan apabila anak tirinya, Adib Khalid dikatakan sedang berkawan rapat dengan aktres Umi Nazeera.
Siti, 35, bagaimanapun berkata, Adib dan Umi sebenarnya adalah kenalan lama kerana mereka sama-sama menuntut di sebuah universiti di Melbourne, Australia.
"Saya tahu mereka berkawan rapat semenjak belajar di Australia tetapi sekiranya mereka bercinta ia bukan satu masalah kerana masing-masing sudah besar dan boleh membuat keputusan sendiri," katanya kepada mStar Online.
Siti ditemui selepas sidang media minggu setiausaha 'Lebih Indah Bersama Datuk Siti Nurhaliza' di Hotel Royale Chulan di sini, Khamis.
Persembahan tersebut akan diadakan pada 15 dan 16 April depan di hotel berkenaan.
Penyanyi itu mengulas mengenai kehadiran Adib bersama Umi pada konsert amalnya iaitu 'Where The Heart Is' yang berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumur (KLCC) pada 7 dan 8 Februari lalu.
Dalam perkembangan sama, Siti berkata, hubungannya dengan anak-anak tirinya akrab dan ada kalanya mereka turut berkongsi masalah dengannya.
Malah kata Siti, Adib pernah meminta pandangannya apabila dia digosipkan bercinta dengan seorang artis baharu dari Brunei sebelum ini.
"Saya menjelaskan kepadanya bahawa gosip itu adalah lumrah biasa dalam kehidupan seorang selebriti dan jangan terlalu tertekan mengenainya," ujar Siti.
Dalam pada itu, mengulas mengenai persembahan minggu setiausaha tersebut, Siti berkata, sambutan hangat daripada peminat tahun membuatkan pihaknya dan penganjur mengambil keputusan untuk mengadakan acara berkenaan selama dua hari.
Kata Siti, dia berharap ia akan memberi lebih ruang kepada peminat dan majikan membawa setiausaha mereka ke acara berkenaan.
"Sambutan tahun lalu cukup hebat dan tahun ini pihak penganjur mengambil keputusan untuk mengadakan persembahan tersebut selama dua hari," katanya.
Tambah Siti, walaupun sudah 17 tahun dia mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha, dia tetap teruja kerana menganggap acara berkenaan sangat istimewa.
"Adalah menjadi satu cabaran buat saya untuk tampil dengan sesuatu yang berbeza setiap kali tiba Minggu Setiausaha dan pastinya kali ini peminat akan terhibur dengan persembahan yang ditampilkan," katanya.
Sementara itu, Siti berkata, dia lega apabila pihak penganjur tidak mengenakan caj tiket yang terlalu mahal untuk perseorangan kerana enggan meletakkan jurang di antaranya dengan peminat.
Jelas Siti, dia tidak mahu peminat berasa terbeban dengan jualan tiket terlalu mahal untuk menyaksikan persembahan itu nanti.
Tambah Siti, seperti tahun-tahun lalu dia akan menyampaikan lagu-lagu hit dan tema acara itu nanti adalah ‘dalam taman dan fantasi.’
Artis baharu, Sarihana turut di undang sebagai penyanyi pembukaan pada acara itu selain makanan tengah hari turut dihidangkan khas daripada menu istimewa hotel berkenaan.
"Seperti biasa cabutan bertuah dan beberapa segmen kejutan menanti yang bakal hadir nanti," katanya.
Persembahan itu turut mendapat tajaan daripada Butik Cosry, Azry Fahmy dan Nizam Sculputure yang akan merealisasikan konsep dan tema persembahan.
Tiket dijual pada harga RM6,000, RM5,000 dan RM4,000 untuk sebuah meja yang boleh memuatkan sepuluh orang.
Manakala tiket perseorangan pula dijual serendah RM400, RM500 dan RM600.
Untuk tempahan tiket dan keterangan lanjut boleh menghubungi 03-2688-9688 (sambungan 500).
0 comments:
Post a Comment