Umpama budak baru belajar, tentu masih banyak kekurangan dan kelemahan yang perlu diberi ruang untuk diperbaiki. Itulah yang boleh dikatakan mengenai mutu persembahan 33 pelajar Skool of Lawak yang disiarkan Astro Warna (saluran 132) mulai Jumaat lalu.
Diterajui pengarah terkenal, Othman Hafsham sebagai pengetua bersama tiga tenaga pengajar lain iaitu Fauziah Nawi, Sabri Yunus dan Khir Rahman, barisan pelajar dibahagikan kepada tiga orang dan membentuk 11 kelas.
Terdiri daripada kelas seperti Kekwa, Orkid, Melur, Seroja, Kemboja, Melati, Cempaka, Dahlia, Mawar, Kenanga dan Jasmin, pentas Skool of Lawak yang berlangsung di Astro, Bukit Jalil dihoskan Johan dan Jep Sepahtu.
Walaupun kali pertama digandingkan sebagai pengacara bersama, kombinasi Johan dan Jep di pentas nampak menjadi. Masing-masing dilihat saling berusaha membina keserasian dan ia nyata tidak menghampakan penonton.
Walaupun kali pertama digandingkan sebagai pengacara bersama, kombinasi Johan dan Jep di pentas nampak menjadi. Masing-masing dilihat saling berusaha membina keserasian dan ia nyata tidak menghampakan penonton.
Barangkali penonton juga sudah sinonim dengan cara jenaka dua figura ternama pentas komedi tanah air itu membuatkan persembahan mereka kelihatan tidak canggung dan bersahaja. Bahkan, persembahan pengacara pula lebih menyerlah.
Apapun, masih terlalu awal untuk ‘menghukum’ semua pelajar Skool of Lawak yang bersaing hebat itu kerana ada sembilan minggu lagi untuk kemahiran jenaka mereka dilatih. Apatah lagi, mereka memiliki bakat dan potensi dalam lawak jenaka.
Seiring dengan konsep program realiti TV untuk pencarian bakat sebagai ‘bintang lawak’, semestinya tidak lengkap jika tiada panel penilai atau juri. Justeru, tiga penggiat seni ternama tempatan menggalas tanggungjawab ini.
Barisan panel penilai untuk Skool of Lawak kali ini ialah penerbit dan pelakon, Datuk Rosyam Nor; pengarah berkaliber, Mamat Khalid dan sutradara yang juga kini berkhidmat di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya A Razak Mohaideen.
Bagi Rosyam yang berpeluang menilai persembahan empat kumpulan pelajar iaitu kelas Kekwa, Seroja, Cempaka dan Kenanga menerusi tema bebas itu menyifatkan masih banyak kekurangan dan kelemahan perlu diperbaiki.
Ujar Rosyam, bukan mudah untuk membuat orang ketawa. Jadi, semua pelajar itu mesti bekerja keras dan memahami jalan cerita persembahan mereka.
Katanya, ada persembahan yang jalan ceritanya menarik, tetapi pembentukan karakter pula lemah.
“Namun, memandangkan ia adalah persembahan minggu pertama, maka tidak adil menilai setiap usaha dan inisiatif yang lakukan itu dengan lebih serius. Selaku panel penilai, kami memberi ruang untuk peserta memperbaikinya.
“Mana tahu pada minggu kedua nanti, ada peningkatan yang bagus pada persembahan mereka. Lagi pun, membuat lawak untuk orang ketawa bukan mudah. Jadi, wajar diberi ruang dan peluang kepada peserta memperbaiki kekurangan dalam lawak dipersembahkan,” katanya.
Bagaimanapun, bagi Rosyam, persembahan kelas Kenanga agak menyerlah pada minggu pertama itu yang mengangkat plot cerita wanita dalam pantang selepas bersalin dengan karakter pasangan suami isteri dan bidan.
Bagi Mamat pula yang menilai persembahan kelas Orkid, Kemboja, Dahlia dan Jasmin memaklumkan dia mendapati bakat lakonan pelajar memang menyerlah. Cuma, penghayatan pada karakter diketengahkan agak lemah dan mendatar.
Sependapat dengan Rosyam, bagi Mamat persembahan minggu pertama memang selalunya masih ada banyak kekurangan dan kelemahan perlu diperbaiki. Justeru, dia mengharapkan barisan pelajar itu dapat menunjukkan peningkatan dalam persaingan pada minggu seterusnya.
Tidak ketinggalan, A Razak yang turut menilai persembahan kelas Melur, Melati, Mawar dan Jasmin bersama Mamat mendapati penguasaan karakter adalah kelemahan utama pelajar. Pun begitu, dia yakin ia mampu diperbaiki.
Ujarnya, dengan gandingan tenaga pengajar berpengalaman semestinya banyak ilmu akan dicurahkan. Cuma, pelajar perlu peka dan tahu konsep jalan cerita pada setiap persembahan mereka dengan memahami karakter masing-masing.
Sehubungan itu, tiga kelas mendapat undian terendah pada persembahan minggu lalu ialah Mawar, Cempaka dan Kemboja. Bagaimanapun, tiada penyingkiran diumumkan oleh Hafsham kerana peluang diberikan sekali lagi
0 comments:
Post a Comment