Loading...
Sunday, February 16, 2014

Izzue islam cuba mengacara

Walaupun masih aktif menyanyi bersama kumpulan Forteen, rezeki Izzue Islam dalam lakonan tak pernah putus.
Bukan saja menerima tawaran berlakon filem dan drama, Izzue juga berpeluang berlakon teater. 
Izzue bakal bergandingan dengan pelakon jelita, Hanez Suraya untuk menjayakan teater Projek Kahwin di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Jun nanti. 

Mengenai perkembangan karier seni bintang berusia 24 tahun ini, dia baru melebarkan bakatnya dalam bidang pengacaraan.
Katanya, dia baru selesai menjayakan rakaman program perniagaan Sistem Ilmu Formula Ubah atau SIFU sebanyak 13 episod.

"Tak dinafikan, bimbang juga pada mulanya untuk mengacara kerana tiada pengalaman. Namun bersandarkan keyakinan perlulah mencuba dulu, saya enggan melepaskan tawaran itu kerana peluang tidak datang selalu.

"Sebagai pelakon dan penyanyi, apa salahnya saya turut mencuba nasib dalam pengacaraan pula. Apatah lagi, saya suka mencuba. Justeru, saya lakukan semua ini bukan untuk mengejar populariti semata-mata tetapi disebabkan minat.

"Sebagai penggiat seni, saya tidak mahu terikat dengan lakonan dan menyanyi saja," katanya.

Jelas anak jati dari Kelantan ini, apa yang pasti segala peluang yang datang dan jika ia memberikan kebaikan untuknya, pasti diterima dengan hati terbuka. Apatah lagi, dia juga yakin dengan kemampuan dirinya.

Mengulas mengenai aktiviti Forteen, Izzue yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama untuk TV3, memaklumkan mereka masih aktif dalam melakukan promosi dan publisiti untuk album sulung, Kita yang berada di pasaran sejak tahun lalu.

Mengenai kegagalan Forteen untuk menang dalam dua kategori dicalonkan pada Anugerah Meletop Era (AME), baru-baru ini termasuk Izzue dan isteri, Awin Nurin juga tewas untuk Couple Meletop, katanya, mereka menerimanya dengan hati terbuka dan sangat bersyukur sudah tersenarai dalam 'Top 5'.

Dalam pada itu, Izzue yang baru muncul dengan filem komedi seram, Kami Histeria di pawagam mengakui dia cukup menyenangi watak Pit yang dilakonkannya dalam filem itu.

Izzue berkata, Pit adalah seorang lelaki 'misteri' yang tiba-tiba muncul dalam kalangan kumpulan Kami Histeria yang dibarisi Diana Danielle sebagai Laila, Sara Ali (Bad), Nad Zainal (Peanut), Mila Jirin (Airin) dan Umie Omar (Jojo).

Menurutnya, dia sangat seronok berlakon dalam filem itu kerana masing-masing mampu mewujudkan keserasian.

Katanya, biarpun kali pertama bekerja dengan Shamyl Othman sebagai pengarah, namun dia selesa.

"Kalau diikutkan, saya sebenarnya sudah pernah bekerja dengan Sara, Nad dan Umie. Cuma, bersama Diana dan Mila kali pertama. Bagaimanapun, tak sangka kami boleh serasi.

"Bekerja dengan Shamyl juga satu pengalaman baru buat saya. Apapun, saya sangat menghormati Shamyl kerana dia pengarah yang bagus dan memiliki banyak idea. Jadi, kepercayaan Shamyl pada saya untuk watak Pit sangat bermakna," katanya.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP