Loading...
Friday, February 14, 2014

Zara ZBukan ditaja VIP

FIGURA ini mahu menjadi pelakon versatil yang mampu membawakan pelbagai watak dengan baik.
SUNGGUH tidak percaya, populariti aktress bernama Zara Zya meningkat begitu mendadak. Dalam sekelip mata namanya meledak dan mula meniti di bibir para peminat.
Kejayaannya dalam membawa watak Zaara Amirah menerusi drama Love You Mr. Arrogant betul-betul memberi kesan dan ternyata telah mengubah perjalanan seninya yang sudah berusia 10 tahun.
Memang tidak dinafikan, sepanjang tempoh itu namanya kurang menyengat. Ingin terus mencipta nama dalam bidang seni, Zara Zya membuktikannya dalam penganjuran kali pertama Anugerah Meletop Era (AME) yang menamakannya sebagai pemenang Artis Baru Meletop.
Selain itu, trofi Top Top Meletop (Wanita) juga menjadi milik Zara Zya dan membawa pulang wang tunai RM10,000. Dalam anugerah itu, kemenangan adalah berdasarkan kepada undian peminat.
Apa yang menjadi persoalan, siapa sebenarnya peminat Zara Zya yang menjadi pendorong kepada kemenangannya itu. Ada desas-desus mengatakan Zara Zya sebenarnya ditaja oleh golongan orang kenamaan (VIP).
Berbekalkan wajah manis, pastinya Zara akan menjadi kegilaan ramai lelaki dan tidak mustahil jika ada kalangan VIP yang cuba mendekati. Sejauh mana kebenaran perkara itu, Hits sempat bertanya kepada empunya badan.
“Saya sememangnya tidak tahu ada cerita tentang golongan VIP yang cuba mendekati saya. Realitinya, tidak pernah ada seorang insan berstatus VIP pun yang merapatkan diri dengan saya.
“Saya tidak ditaja VIP dan memang tidak memerlukan orang untuk menaja saya. Kemenangan saya dalam AME semuanya hasil usaha daripada peminat-peminat yang mengundi.
“Kekuatan saya sebagai pemenang bergantung kepada peminat 100 peratus. Saya sendiri juga tidak menyangka akan menang. Rupa-rupanya ramai yang kenal saya. Itu satu fenomena baru buat diri saya," katanya.
Dalam pada itu, akui Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 29, dia akan cuba belajar menggunakan duitnya sendiri dengan baik.
“Pengurusan kewangan itu penting. Jadi saya tidak perlukan duit sesiapa termasuk duit orang yang berpangkat Datuk ke, Tan Sri ke yang memang mempunyai kemewahan mahupun harta.
“Saya lagi puas kalau boleh membelanjakan duit hasil titik peluh sendiri. Jika ada yang melihat saya mampu hidup selesa. Itu semua hasil kerja keras siang dan malam saya sendiri," jelasnya yang memang tidak bergantung kepada sesiapa.
Enggan dabik dada
Tidak menyangka akan popular dalam masa yang singkat, Zara berkata, sebagai peringatan buat dirinya dia perlu mengelak daripada bersikap meninggi diri.
Memang kalau sudah popular dan menang anugerah, ada sesetengah artis yang akan cepat lupa diri sehingga meletakkan harga tinggi dalam setiap tawaran berlakon.
Bagi Zara, kemenangan yang diperolehi bukan bererti dia sudah boleh menabik dada dan memberitahu semua orang bahawa dia sudah hebat. Sebaliknya kemenangan itu sebagai satu amanah daripada peminat yang mengundinya.
“Harapan saya ialah agar isu demand itu tidak timbul. Saya percaya harga yang diletakkan oleh seseorang artis adalah berdasarkan tempoh sesuatu projek dan pengalaman. Jika hanya satu adegan takkan artis hendak letak harga tinggi hanya kerana kita pernah menang anugerah?
“Akan tetapi, adalah tidak adil juga jika diberikan bayaran terlalu rendah. Soalnya, isu bayaran itu tidak timbul kerana bayaran yang saya letak masih sama seperti dulu dan berbaloi dengan tuntutan lakonan saya," ujarnya.
Kemenangan yang diperolehi juga sebenarnya terselit kebimbangan pada diri Zara. Katanya, dia takut kemenangan itu memberi kesan buruk kepada kerjaya lakonannya.
“Benda paling saya takut ialah pihak produksi tidak mahu mengambil saya berlakon dalam projek mereka lagi kerana sudah menang anugerah.

“Apabila menang anugerah pasti akan ada yang anggap saya akan bagi harga tinggi sehingga mereka (pihak produksi) takut hendak bagi tawaran," ujarnya yang turut mengakui populariti yang diraih membuatkan masa bersama keluarga, rakan serta diri sendiri semakin berkurangan.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP