ARTIS MELETOP
Riuh musim kedua Kan-Cheong Kitchen
TERBAHAGI kepada dua kumpulan, peserta Kan-Cheong Kitchen perlu memasak pelbagai hidangan sebelum dinilai para juri.
LAZIMNYA, setiap program realiti masakan yang disajikan sebelum ini adalah berbentuk formal dan serius. Namun, segalannya berbeza dalam sebuah program masakan terbitan 8TV iaitu Kan-Cheong Kitchen. Ingin lari daripada konsep stereotaip sebuah program masakan, Kan-Cheong Kitchen pasti membuatkan penonton teruja dek keriuhan para peserta.
Berpeluang melihat sendiri proses rakaman program masakan tersebut di Green Cow Studio, Bandar Sri Damansara baru-baru ini, suasana riuh-rendah disebabkan teriakan penonton amat mengujakan. Suasana yang dipenuhi dengan drama dan kelam-kabut itu sekali gus menyebabkan setengah jam proses penggambaran tersebut bagaikan tidak terasa.
Perjalanan program masakan tersebut bermula apabila dua pasukan diberi tugas untuk memasak tiga resipi dengan peruntukan masa 30 minit. Cabaran sebenar program masakan tersebut ialah apabila salah seorang anggota setiap pasukan diletakkan dalam sebuah bilik dan hanya dibenarkan menggunakan suara untuk mengarah rakan sepasukannya.
Menariknya, ahli pasukan yang diarah oleh rakannya itu tidak tahu-menahu langsung mengenai ilmu masakan. Hal tersebut menyebabkan segalanya menjadi kelam-kabut. Ahli pasukan yang ditugaskan memasak itu perlu peka terhadap arahan ahli pasukannya dalam bilik tersebut supaya dapat melakukan tugas dengan sempurna.
Di dalam bilik tersebut, sebuah kamera mini diletakkan di kepala ahli pasukan yang diarah untuk membolehkan rakan yang mengarah melihat setiap pergerakan ahli pasukannya melalui sebuah monitor yang tersedia di dalam bilik tersebut.
Hanya teriakan sahaja yang menjadi kekuatan setiap pasukan untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Namun, kekeliruan dek teriakan kedua-dua pasukan tersebut menyebabkan kekeliruan dan daripada situlah timbul pelbagai konflik dan detik yang mencemaskan.
Apabila orang ramai melihat program masakan sebegini, mesti terdetik di hati penonton dengan mengatakan ia merupakan sebuah program yang ditiru konsepnya daripada program masakan Jepun dan Korea. Namun siapa sangka, ia merupakan hasil idea asal daripada seorang produser muda.
Produser muda yang dimaksudkan ialah Muhammad Helmi Yahya. Pengalaman mengendalikan program-program besar dalam stesen televisyen 8TV sebelum ini termasuk 8TV Quickie dan Duit For Duit digunakan sepenuhnya oleh Helmi untuk mengendalikan program tersebut.
Mengulas mengenai sebab pihak produksi memilih nama yang agak unik untuk program tersebut, Helmi menjelaskan, nama tersebut merupakan istilah Mandarin yang membawa maksud riuh-rendah sesuai dengan suasana program masakan ini.
Tambahnya, musim kedua Kan-Cheong Kitchen juga akan disiarkan bermula hari ini sebanyak 10 episod manakala musim kedua yang menjalani sesi rakaman secara berterusan akan disiarkan menjelang penghujung tahun ini.
CHEF NIK MICHAEL tidak mahu melepaskan peluang menjadi juri tetap Kan-Cheong Kitchen yang dianggap unik.
Kelainan
Bercerita mengenai kelainan yang terdapat pada program masakan yang masuk musim kedua ini Helmi berkata, terdapat banyak pembaharuan yang diselitkan pada musim baharu ini. Namun, pada masa sama masih mengekalkan konsep yang sama.
"Terdapat beberapa kelainan pada musim kali ini. Ini termasuklah penyediaan beberapa resipi yang agak sukar berbanding episod sebelumnya dan meminta para peserta untuk menyiapkan tiga hidangan dalam tempoh 30 minit yang ditetapkan.
"Hidangan juga tidak spesifik kepada masakan Malaysia sahaja dan jenis hidangan juga termasuk dari negara lain iaitu Jepun dan masakan Barat lain," ujarnya usai rakaman program tersebut berlangsung.
Tambah Helmi, kelainan juga dapat dilihat dengan kehadiran chef selebriti iaitu Cef Anis dan Cef Nik Michael.
Pihak produksi ingin membuatkan para peserta merasai debaran apabila diadili oleh cef yang bertaraf profesional.
"Walaupun program masakan ini berbentuk santai, kami ingin para peserta mengalami pengalaman sebenar diadili oleh cef profesional. Pada episod kali ini kami juga menambah seorang lagi juri khas iaitu penasihat pemakanan, Lilian atau lebih dikenali sebagai Auntie Lilian.
"Tugas bagi kesemua juri ini ialah memberi markah mengikut keenakan masakan yang telah disediakan oleh para peserta, namun Auntie Lilian diberi kuasa istimewa apabila dibenarkan untuk menolak markah peserta.
"Dari segi pemberian markah, ia bukan hanya melihat kepada hidangan sahaja, malah dari segi kebersihan dapur dan cara penyediaan masakan tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, program ini juga digamatkan lagi dengan dua orang pengacara 8TV yang tidak asing lagi iaitu Prem Shankar dan Megan Tan.
Helmi berkata, pasangan pengacara tersebut dilihat sangat serasi dan selesa mengacarakan program tersebut sekali gus menjadi salah satu kekuatan kepada program masakan ini.
"Setakat ini komitmen yang mereka berikan sangat memberangsangkan. Kita tidak akan kering gusi dengan keletah mereka mengusik para peserta," ujarnya.
CEF ANIS teruja diberi kesempatan menilai masakan peserta yang tidak mempunyai kemahiran memasak.
Nik Michael sakit perut
Cef Nik Michael Imran, 25, yang ditemui usai proses rakaman tersebut menyimpulkan senyuman apabila diminta untuk berkongsi pengalamannya bergelar salah seorang juri program masakan tersebut.
"Seperti yang kita tahu, peserta yang diarah untuk memasak sememangnya seseorang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang masakan. Jadi, sesetengah hidangan yang disediakan mereka kadangkala tidak sempurna.
"Disebabkan merasai makanan tersebut, perut saya pernah meragam dan sekali gus menyebabkan saya berulang-alik ke tandas," ujarnya berseloroh.
Bagaimanapun Nik berkata, dia sangat menghargai usaha yang dilakukan oleh semua peserta dan memahami kesuntukan masa, ditambah pula dengan keadaan yang huru-hara merupakan antara sebab peserta kurang memberi tumpuan kepada masakan.
"Saya melihat mereka mempunyai kesungguhan untuk memberikan yang terbaik kepada kami dan hal tersebut menyebabkan saya seronok untuk memberi kerjasama dalam setiap episod," ujarnya.
Apabila ditanya mengapa dia memilih untuk menjadi salah seorang tulang belakang kepada program tersebut, Nik berkata, program ini merupakan sesuatu yang baharu dan segar.
"Saya suka konsepnya kerana ia lain daripada lain. Hal tersebut menyebabkan saya teringin untuk menjadi sebahagian daripada program ini," ujarnya yang kini sibuk menguruskan restorannya iaitu Picknik Comfort Food Café yang terletak di Publika Solaris Dutamas.
Chef Anis senang bekerjasama
Dalam pada itu, Anis Nabilah Umaruddin, 25, atau lebih popular dipanggil Cef Anis berkata, dia sangat teruja dan gembira kerana diberi penghormatan untuk menjadi salah satu juri untuk program masakan ini.
"Saya sangat gembira apabila menerima tawaran untuk menjadi salah seorang juri program masakan ini. Sepanjang dua minggu sesi rakaman saya juga sangat selesa berkerjasama dengan pihak produksi.
"Apabila kerjasama yang erat diberikan daripada pihak produksi ia sekali gus melicinkan proses rakaman ini dan saya merasakan ia sangat santai dan seronok," ujarnya.
Anis juga mengakui kesukaran peserta yang menyertai program tersebut kerana dia bersama pihak produksi pernah cuba untuk melakukan apa yang dilakukan peserta sebelum ini.
"Kami pernah mencuba sebagai peserta sebelum ini dan ia ternyata sangat sukar untuk memberi arahan disebabkan gangguan bunyi daripada pihak lawan.
"Sebelum ini kami juga agak bingung mengapa agak susah untuk para peserta memberi arahan kepada rakan sepasukannya dengan hanya menggunakan suara yang lantang, namun segalanya terjawab apabila kami mencubanya sendiri," ujarnya yang pernah menjadi hos dalam program masakan Icip-Icip terbitan Asian Food Channel's (AFC).
0 comments:
Post a Comment