ARTIS MELETOP
Ada Sebab Kaka Azraff 'Sapu' Semua Tawaran
Kaka mebmeritahu dia menerima semua tawaran yang diberikan kepadanya sebagai satu strategi mengukuhkan namanya dalam bidang hiburan.
Penyanyi Kaka Azraff membuat keputusan untuk menerima semua tawaran dalam bidang seni sama ada nyanyian, lakonan dan pengacaraan sebagai satu landasan untuk menjadi terkenal.
Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 25, berkata, ia juga sebagai strategi bagi mengukuhkan namanya sebelum menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bidang nyanyian.
"Setakat ini saya terima sahaja apa juga tawaran sama ada lakonan atau pengacaraan kerana saya ingin membina nama terlebih dahulu.
"Itu bukan bermakna saya tamak atau tidak fokus dalam industri tetapi saya mahu mengambil peluang ini untuk dikenali dan selepas itu barulah saya tumpukan kepada nyanyian," katanya kepada ARTISMELETOP.
Dalam pada itu, Kaka yang terlibat dalam pementasan Projek Kahwin pada 6 hingga 14 Jun depan di Istana Budaya, menganggap penglibatannya dalam teater itu sebagai satu peluang keemasan kepada dirinya.
Katanya, dia akan menggunakan kepercayaan yang diberikan dengan sebaik mungkin.
Sementara itu, ditanya mengenai pendapatnya apabila dipilih sebagai pelakon pilihan kedua untuk teater itu, Kaka berkata, dia tidak pernah kisah tentang hal tersebut.
"Saya tidak meletakkan diri saya di tahap mana dalam industri ini, jadi saya tidak hirau pun sama ada menjadi pilihan pertama atau kedua.
"Apa yang penting ialah peluang saya untuk menunjukkan bakat yang saya ada kepada peminat dan masyarakat.
"Saya tahu bukan senang pendatang baru seperti saya dapat peluang untuk beraksi di pentas Istana Budaya ini," katanya.
Kaka yang sedang dalam promosi single terbaharunya berjudul Terpulanglah menganggap pementasan teater ini juga sebagai salah satu cara dia mempromosikan lagu tersebut.
0 comments:
Post a Comment