Loading...
Thursday, April 3, 2014

RM100,000 menanti The Band!


ARTIS MELETOP

RM100,000 menanti The Band!

Selepas dibatalkan tayangan episod pertamanya pada 31 Mac lalu, program realiti terbaru The Band bakal menemui penonton setiap Isnin mulai 7 April ini jam 9 malam.

Program terbitan Astro ini adalah program pencarian bakat bagi membentuk sebuah kumpulan lelaki dan wanita yang turut mendapat kerjasama padu daripada Kumpulan Sedania dalam memberikan idea kreatif menyediakan pengisian program sepanjang ia berlangsung. 

Seramai 32 peserta dari seluruh negara termasuk Indonesia dan Singapura terpilih untuk berentap dalam program yang akan disiarkan di Astro Ria (saluran 104) dan serentak di Mustika HD (saluran 134). 

Membariskan 16 peserta lelaki dan 16 peserta wanita berusia 19 hingga 29 tahun, pencarian The Band sebelum ini menjelajah empat negeri di Malaysia dan beberapa negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei. Namun, hanya peserta dari Singapura dan Indonesia yang berjaya ke pemilihan 32 peserta.

Foto

WAJAH ceria peserta lelaki.

PESERTA wanita juga sudah bersedia.


Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro Khairul Anwar Salleh berkata, penganjuran The Band akan membentuk sebuah kumpulan pop lelaki dan sebuah kumpulan pop wanita yang dianggotai peserta terbaik daripada 32 orang yang dipilih.


“Kami sentiasa komited dalam menyokong pembangunan bakat-bakat seni tempatan dan percaya bakat yang dicungkil ini mempunyai potensi yang besar untuk digilap menjadi bintang,” katanya pada majlis pelancaran memperkenalkan 32 peserta The Band di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor. 

Turut terbabit dalam program ini ialah tenaga pengajar yang terdiri daripada Damian Mikhail selaku penasihat vokal, susunan muzik dan pemilihan lagu, Alam Wakaka (guru tari) dan Wahyu Rahman (perunding imej dan gaya). 

Selain itu, juri tetap terdiri daripada Datuk Aznil Nawawi, Yusry Abdul Halim dan Syafinaz Selamat. 

Khairul Anwar berkata, selain menetapkan rupa dan personaliti yang menarik dalam pencarian ini, peserta juga perlulah mempunyai kebolehan menari, menyanyi dan mempunyai disiplin serta kekuatan untuk terus bertahan. 

Bakal memenangi wang tunai RM100,000 untuk setiap kumpulan yang menjadi juara, kontrak sebagai artis di bawah naungan Astro dan tajaan pembikinan album kompilasi, penonton berpeluang menyaksikan perjalanan program The Band melalui Konsert The Band, X The Band dan Whazzup The Band. 

Sementara itu, Azrin berkata, beliau terfikir untuk menjayakan program berkenaan selepas melihat kewujudan banyak program realiti seumpama itu yang mendapat maklum balas positif daripada orang ramai. 

“Saya berharap program ini dapat memberi peluang kepada pemenang untuk menunjukkan bakat mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu ia juga diharap dapat membentuk seorang penghibur yang bukan hanya mempunyai bakat dalam bidang seni tetapi memiliki personaliti menarik dan berdisiplin,” katanya. 

Pada majlis memperkenalkan barisan peserta yang dipanggil rekrut dapat dilihat ada di antara mereka pernah terbabit dalam bidang seni. 

Antara yang kelihatan ialah pelakon Singapura yang pernah berlakon drama terbitan Ahmad Idham, Shenty Feliziana Sudirman, 25, (Shenty) bekas peserta pertandingan Bintang Idola BH, Shahila Shariff (Heela Monica) ,21, dan pelakon Noor Zaimiellia Zaidi, 21, atau Melia. 

Mengulas mengenai pembabitan beberapa peserta yang pernah terbabit dalam bidang seni, kata Khairul Anwar, apabila menyertai program ini mereka dianggap masih baru. 

“Saya turut difahamkan mereka sudah lama tidak menghasilkan lagu atau album. Justeru, bagi kami mereka adalah orang baru yang akan dibentuk melalui program The Band ini,” katanya. 


Peserta negara serantau 

Peserta dari Singapura, Shenty berkata, dia berminat menyertai program ini kerana sejak awal terbabit bidang seni adalah seorang yang suka menari. 

“Apabila menyertai The Band saya lebih banyak mendapat pendedahan dalam bidang tarian dan ini menguatkan lagi semangat dan minat saya untuk beraksi dalam program ini,” katanya. 

Mengulas mengenai penampilan seksi yang dilakukan ke atas peserta wanita di dalam program ini, Shenty berkata, seksi bukan hanya pada pakaian semata-mata tetapi ia juga boleh dilihat daripada dalaman seseorang. 

“Pada saya, seksi ini ada banyak jenis, tidak semestinya pakai skirt sudah nampak seksi. Terpulang pada penilaian individu dan setakat ini apa saja pakaian yang diberikan oleh perunding imej kami ia tidak memberi masalah kepada saya,” katanya lagi. 

Peserta dari Indonesia, Allan Anderson, 23, berkata, dia bersedia menerima apa juga cabaran baik jenis tarian atau nyanyian yang bakal diberikan. Malah bersiap sedia berdepan cabaran dengan perangai teman-teman. 

“Sebelum ini saya ada kumpulan sendiri di Manado. Apabila menyertai program ini saya perlu berdepan cabaran bersama-sama ahli kumpulan yang saya tidak kenal karakter mereka,” katanya. 

Bagi Heela peserta dari Kuala Lumpur, walaupun sudah mempunyai single sebelum ini dia tertarik menyertai The Band kerana konsepnya sangat menarik di mana ia memberi pendedahan peserta bukan hanya menyanyi semata-mata tetapi perlu pandai menari.



0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP