ARTIS MELETOP
Teater lakonan Hanez Suraya bakal dikawal polis
“IA tidak adil bagi Hanez untuk melepaskan watak itu begitu sahaja, kerana Hanez sangat komited sebelum ini mempromosikan teater ini. Jadi kami ambil keputusan untuk kekalkannya. Namun kami akan tingkatkan kawalan keselamatan,” tegas Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Sharani, berhubung keputusannya untuk mengekalkan aktres kontroversi, Hanez Suraya, dalam pementasan teater Projek Kahwi yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, pada 6 hingga 14 Jun depan.
Menerusi sidang media yang berlangsung semalam, Juhari memberitahu, pihaknya akan melakukan kawalan ketat dan sedia untuk mendapatkan khidmat polis bagi melindungi pelakon serta penonton IB dari perkara yang tidak diingini.
“Saya yakin peminat teater sudah cerdik. Mereka tidak akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya semasa pementasan berlangsung. Dan jika ada yang sengaja ingin melakukan kerosakan awam dan menjejaskan harta istana budaya yakni hak milik kerajaan, sebagai tanda protes terhadap Hanez, mereka boleh didakwa.” tegasnya.
Sementara itu, penerbit teater tersebut, Mohd Amer Shafiq Khalip atau Shawn Amer, tetap optimis mengekalkan Hanez meskipun aktres itu dikecam teruk serta menerima pelbagai ugutan dari segelintir pihak yang tidak berpuas hati hanya kerana kontroversinya bersama suami orang.
Bagaimanapun, produksinya Mask Team, turut menawarkan watak Hanez bersama pelakon seksi, Kilafairy.
“Kita dapat keputusan ini jam 5.30 petang kelmarin (Isnin). Walaupun kita dah tawarkan watak ini dengan Kilafairy untuk menggalas watak Hanez sebagai Nisa, tetapi kami buat keputusan untuk mengambil dua teraju utama dalam teater tersebut.
"Jadual pementasan pertama sebanyak 6 pementasan akan diterajui oleh Kilafairy dan pada 4 pementasan terakhir akan diterajui oleh Hanez. Kami yakin dan penuh percaya dengan kebolehan mereka berdua,” katanya.
Terima Kilafairy
Terharu dengan keputusan IB serta produksi teater tersebut, Hanez berkata, dia akan melakukan yang terbaik demi Projek Kahwin. Akui masih menerima kritikan dan cemuhan masyarakat, Hanez bagaimanapun mengharapkan agar semuanya kembali pulih seperti biasa.
“Saya memang sudah buat keputusan untuk tarik diri kerana bimbang pengurusan dan pelakon yang membintangi filem itu mendapat impak daripada kontroversi saya, tetapi disebabkan pihak pengurusan memutuskan saya kekal untuk membintangi teater ini, maka saya terima keputusan itu dan sedia menyahut cabaran berlakon teater untuk pertama kali ini,” katanya.
Berharap agar kontroversinya segera berakhir, Hanez berkata, dia ingin menjalani karier seninya seperti biasa dan menimba pengalaman baru dengan meluaskan cabang kerjayanya di pentas teater.
“Apabila saya terima kembali tawaran ini saya sememangnya amat takut dengan pementasan ini untuk berhadapan dengan sambutan orang ramai terhadap teater ini. Tapi saya memandangnya sebagai positif dan akan cuba mengharungi cabaran ini.
“Saya tidak mahu lepaskan peluang pertama saya untuk berlakon teater ia merupakan pertama kali saya dan akan melakukan persembahan yang terbaik, InsyaALLAH,” katanya yang menyambut baik penglibatan Kilafairy.
Projek Kahwin turut dibintangi pelakon-pelakon komersial seperti Izzue Islam, Hanez Suraya dan Shah Iskandar. Malah turut menampilkan Imam Muda Asyraf, sebagai penampilan khas dan kumpulan Forteen serta Kaka Azraf sebagai watak pembantu.
Tiket boleh didapati dengan harga RM35, RM55, RM85, RM155, RM185 dan RM255 (Platinum).
Sempena teater itu, turut diadakan pameran pengantin ‘Projek Kahwin’ di lobi Istana Budaya bermula 11 hingga 15 Jun.
0 comments:
Post a Comment