Loading...
Tuesday, April 8, 2014

Perkongsian emosi Afgan


ARTIS MELETOP

Perkongsian emosi Afgan


AFGAN yakin dengan kebolehannya untuk mengarahkan filem muzikal Gila Dan Jiwa.

OBSESI peminat terhadap bintang pujaan bukanlah perkara yang luar biasa dalam dunia hiburan. Melihat kepada situasi terkini dan perkembangan pesat dunia teknologi, para peminat bebas mengikuti perkembangan artis kegemaran mereka menerusi beberapa platform media sosial dengan mudah walaupun tidak pernah bersua muka.

Bagaimanapun, tidak semua respons yang diberikan kepada selebriti-selebriti itu menerima balasan. Justeru, apabila berpeluang untuk mendekati bintang pujaan mereka dan beramah mesra dengan lebih dekat, kesempatan tersebut terus digunakan tanpa berfikir panjang.

Ketika dijemput untuk menonton konsert Live to Love yang menampilkan penyanyi dari seberang, Afgan baru-baru ini, reaksi peminat yang hadir untuk menyaksikan persembahan tersebut sungguh luar biasa.

Tatkala melihat sosok tubuh penyanyi itu muncul di atas pentas, sorakan dan pekikan peminat khususnya golongan wanita mula memecah sunyi Panggung Nilam Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur itu.

Kegilaan mereka terhadap tuan empunya nama, Afgan Syah Reza, 25, semakin memuncak apabila penyanyi yang berasal dari Jakarta, Indonesia itu menjemput beberapa orang peminat untuk menyanyi dan menari bersamanya di atas pentas.

Lebih mengejutkan, Afgan rela dipeluk, malah dicium pada bahagian pipi oleh peminat-peminatnya usai menyanyi bersama.




Kongsi rasa

Sewaktu ditanya mengenai tindakan mesra para peminatnya itu pada sidang akhbar yang diadakan selepas tamatnya persembahan tersebut, reaksi Afgan kedengaran cukup positif.

Ujarnya, dia yang buat julung-julung kalinya mengadakan konsert di Malaysia mahu berkongsi rasa bahagia dan gembira bersama peminat-peminatnya di sini.

"Tujuan saya datang ke sini adalah untuk menghiburkan peminat saya. Pada masa yang sama, saya mahu kongsikan rasa senang ketika sama-sama menyanyi dan menari dengan mereka.

"Lagipun, sepanjang bergelar penyanyi, mereka merupakan individu yang banyak memberikan sokongan dan dorongan dalam apa jua acara yang saya sertai.

"Tambahan, saya sering menganggap mereka sebagai kawan atau teman rapat," kata Afgan sambil menyifatkan reaksi seperti itu hanyalah perkara biasa baginya.

Selain kehadiran Afgan merebut tumpuan radar adrenalin para peminatnya, ruang pentas Istana Budaya turut menjadi saksi kepada kelincahan penyanyi yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta itu mengemudi perjalanan konsert.

Ternyata tidak puas dengan hanya satu hari persembahan, Afgan memberitahu, dia begitu terkejut dengan sambutan yang diterima daripada peminat-peminatnya di Malaysia.

"Sejujurnya, saya tidak puas dengan persembahan pada malam ini. Tempoh satu malam yang diberikan seperti tidak mencukupi kerana semangat untuk menghiburkan para penonton cukup tinggi.

"Saya berharap akan diberi peluang sekali lagi untuk mengadakan persembahan di sini pada masa akan datang. Mungkin pada waktu itu saya akan menyuntik beberapa kelainan seperti memasukkan elemen orkestra," ujarnya sambil ketawa.

Seperti Bruno Mars

Melanjutkan perbualan mengenai gaya dan persembahannya ketika berada di atas pentas, kelincahan Afgan sewaktu menyanyi dan menari dilihat sama seperti gaya penyanyi R&B terkenal dari Amerika Syarikat, Bruno Mars.

Lebih-lebih lagi apabila dia mengenakan kemeja serba putih yang dipadankan dengan sut kelabu gelap sambil membawakan lagu Treasure.

Mengakui mengambil inspirasi daripada persembahan penyanyi itu ketika dia datang ke Indonesia, Afgan bagaimanapun mempunyai cara tersendiri dalam memberikan variasi kepada persembahannya untuk peminat di Kuala Lumpur.

"Ketika berpeluang menonton persembahan Bruno Mars di Jakarta baru-baru ini, saya begitu terpegun dengan gaya dan persembahannya yang sungguh bertenaga.

"Pada waktu itu, saya sudah menanamkan niat untuk memberikan persembahan seumpama Bruno Mars kepada peminat-peminat di sini. Kebetulan, saya juga baru selesai menjayakan persembahan sempena Festival Java Jazz 2014 di Jakarta.

"Justeru, saya menyuntik beberapa elemen baharu dan lama ke dalam konsert ini bagi disesuaikan dengan selera peminat di Kuala Lumpur," katanya.

Dedikasi MH370

Sebelum konsert ini berlangsung, beberapa persembahan pentas berskala besar yang sepatutnya dijalankan pada minggu yang sama telah dibatalkan penganjurannya bagi menghormati tragedi yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Walaupun beberapa acara hiburan lain telah dibatalkan, namun persembahan di Istana Budaya tetap berjalan seperti yang dijadualkan. Turut sama menunjukkan rasa hormat, Afgan mendedikasikan lagu PadaMu Ku Bersujud.


WALAUPUN disamakan dengan persembahan Bruno Mars, namun Afgan mempunyai cara yang tersendiri mengemudi konsert Live to Love.

"Saya begitu terkesan dengan kejadian yang menimpa pesawat MAS MH370. Menerusi akaun twitter dan instagram, saya sering mendoakan agar penumpang serta anak-anak kapal yang terlibat berada dalam keadaan selamat.

"Justeru, sebelum menyanyikan lagu PadaMu Ku Bersujud, saya ada meminta para penonton untuk sama-sama berdoa bagi memperingati keluarga dan mangsa-mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut," katanya dengan nada sayu.

Jadi pengarah

Dalam perkembangan lain, Afgan yang juga merupakan alumni Universiti Monash, Bandar Sunway, Selangor berkata, dia bakal mengarahkan sebuah filem muzikal yang berjudul Gila dan Jiwa tidak lama lagi.

"Saya memang gemar mengarah filem pendek ketika masih belajar di bangku sekolah. Jadi, berbekalkan sedikit pengalaman dan cerita yang telah saya tulis, saya yakin mampu untuk menghasilkan sebuah filem yang baik," ujarnya.

Mengadaptasi beberapa kisah yang pernah berlaku pada dirinya ke dalam filem itu, Afgan mahu mengetengahkan isu buli yang kerap terjadi dalam masyarakat, khususnya dalam kalangan remaja.

"Saya pernah dibuli suatu ketika dahulu dan saya tahu bagaimana peritnya rasa melalui saat-saat hitam tersebut.

"Aktiviti buli merupakan suatu perkara yang sangat buruk dan ia perlu dihentikan," kata Afgan yang tidak menolak jika pelakon-pelakon yang bakal membintangi filemnya itu merupakan pelakon dari Malaysia.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP