Kali terakhir, pelakon popular Nasha Aziz beraksi di pentas teater menerusi pementasan Lantai T Pinkie pada 2006.
Selepas lapan tahun berlalu, Nasha, 45, kembali mengubat kerinduan peminat menerusi naskhah hebat Allahyarham Professor Dr Hamka, Di Bawah Lindungan Kaabah yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 9 hingga 18 Mei depan
Lebih menarik, dalam teater adaptasi arahan Rosminah Tahir ini, Nasha bakal bergandingan dengan pelakon popular Adi Putra selaku teraju utama.
Secara peribadi, Nasha mengakui dia sukar untuk menolak peluang keemasan beraksi dalam pementasan berkenaan.
Secara peribadi, Nasha mengakui dia sukar untuk menolak peluang keemasan beraksi dalam pementasan berkenaan.
“Saya anggap peluang beraksi dalam teater ini sebagai rezeki. Terus terang, saya juga berasa rindu untuk ‘berkampung’ semula di IB dan bekerjasama dengan pengarah teater ini, Kak Ros (Rosminah) yang sudah dianggap seperti kakak.
“Kak Ros banyak berkongsi ilmu teater dengan saya sejak bekerjasama dalam Lantai T Pinkie dulu. Dia banyak mengajar saya untuk ‘bermain’ dengan kata-kata dan bahasa puitis yang indah digunakan dalam pementasan ini,” katanya.
Bercerita lanjut watak Zainab dalam teater itu, Nasha mengakui, ia sebenarnya tidak jauh berbeza daripada realiti hidupnya sendiri.
“Walaupun saya nampak moden, tetapi dalam jiwa saya sangat konservatif membabitkan soal teman hidup. Begitu juga watak Zainab yang mempunyai prinsip dalam hidupnya. Saya melihat Zainab seorang wanita yang ‘kuat’ pada zamannya.
“Walaupun Zainab seorang wanita yang taat pada keluarga dan agama, tapi dia ada sedikit memberontak dalam dirinya dalam soal teman hidup. Dia juga sanggup memberi alasan pada keluarga belum bersedia apabila diminta berkahwin dengan sepupunya kerana dia hanya ingin berkahwin dengan kekasihnya, Hamid (lakonan Adi),” katanya.
Nasha ditemui pada sidang media Teater Di Bawah Lindungan Kaabah terbitan bersama CTRA Production dan IB yang berlangsung di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan penerbit teater ini, Siti Rohayah Attan.
Bagaimanapun, Nasha turut berdepan cabaran tersendiri untuk menjiwai watak Zainab dalam teater itu.
“Watak Zainab juga berat kerana ia memerlukan saya banyak bermain dengan emosi dalaman. Saya juga perlu membuat persiapan mental dan fizikal untuk memberikan yang terbaik pada naskhah ini seperti dikehendaki skrip dan pengarahnya.
“Walaupun baru kali pertama bekerjasama dengan Adi, saya tidak ada masalah untuk mendapatkan keserasian dengannya kerana sebagai pelakon, berpengalaman masing-masing profesional,” katanya.
Barisan pelakon yang turut memantapkan lagi teater ini, Elfira Loy, Fizo Omar, Dafi Ismail Sabri, Liza Abdullah dan Zila Bakarin.
Fokus pada tiga cabang bisnes
Dalam diam, Nasha juga sibuk memberi fokus pada tiga cabang bisnes yang diceburinya membabitkan bidang kecantikan, fesyen dan korporat, sejak tahun lalu.
Duta produk penjagaan kulit, Irish Miracle Fashion Cosmetics ini mengakui sampai masanya dia menceburi bidang perniagaan sebagai jaminan masa depannya.
“Saya sudah memulakan bisnes membabitkan bidang korporat sejak tahun lalu. Manakala, produk kecantikan dan fesyen pula baru dimulakan tahun ini.
“Selain itu, saya juga akan terbabit dalam rekaan kasut dengan seorang pereka muda berbakat. Namun, buat masa ini saya belum bersedia berkongsi lebih terperinci bisnes diceburi dengan peminat kerana masih banyak perancangan yang perlu dilakukan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment