Loading...
Thursday, February 13, 2014

Nasha Aziz Jaga Batas Dalam Bercinta Kerana Agama

Nasha Aziz
KUALA LUMPUR: Pelakon Nasha Aziz mengakui dia merupakan seorang wanita yang sangat konservatif dalam sesebuah percintaan.
Nasha atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, 45, berkata, walaupun penampilannya dilihat moden, namun dia mempunyai prinsip menjaga batas-batas sebagai seorang Islam.
"Orang nampak saja saya begini (moden) tetapi saya mempunyai pendirian dan prinsip apabila menjalinkan hubungan cinta di mana saya seorang yang sangat konservatif.
"Saya mempunyai batasan dalam perhubungan kerana agama dan jika pasangan itu meminta saya melakukan sesuatu di luar prinsip, saya akan tolak dengan cara baik," katanya.
Nasha ditemui pada majlis pelancaran teater Di Bawah Lindungan Kaabah di Istana Budaya di sini pada Khamis.
Antara pelakon lain yang terlibat dalam pementasan itu ialah Adi Putra, Dafi, Elfira Loy dan Liza Abdullah.
Tambahnya Nasha, dia juga sanggup berundur jika seseorang lelaki itu cuba membuatkannya melanggar prisip cinta yang dipegang.
Sementara itu, mengenai lakonannya dalam Di Bawah Lindungan Kaabah, ini merupakan kali kedua Nasha terlibat dengan pementasan teater selepas kemunculannya dalamLantai T Pinky pada tahun 2006.

Kata Nasha, dia seorang yang sangat selektif dalam menerima sesebuah tawaran tidak kira sama ada teater, drama atau filem.
Ujarnya, Di Bawah Lindungan Kaabah telah membuka hatinya untuk bekerjasama dengan produksi CTRA Production memandangkan ia sebuah karya yang diadaptasi daripada novel hebat ulama terkenal Indonesia iaitu Profesor Abdul Malik Karim Amrullah atau nama komersialnya, Hamka.
"Saya ditugaskan mengambil watak sebagai Zainab, seorang wanita yang mencintai teman baiknya, Hamid, lakonan Adi Putra.
"Menariknya dalam karya ini ia mengisahkan sebuah perhubungan cinta yang indah tetapi masih berlandaskan agama Islam. Itu membuatkan hati saya tertarik dengan naskhah ini," ujarnya.
Di Bawah Lindungan Kaabah yang diarahkan oleh Rosminah Mohd Tahir bakal dipentaskan bermula 9 hingga 18 Mei depan.
Harga tiket teater ini dijual serendah RM30 hingga RM200. Ia boleh dibeli dengan melayari www.AirAsiaRedTix.com.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP