MENYOROT kembali zaman kanak-kanak pelakon Nur Fathia Abdul Latiff, 26, mungkin ada yang tidak tahu bahawa gadis ini begitu lasak.
Jika kanak-kanak perempuan sebayanya gemar bermain anak patung dan pondok-pondok, Fathia pula lebih teruja memanjat pokok, bermain basikal dan menyertai apa sahaja aktiviti yang budak lelaki lain lakukan.
"Kalau nak tahu, saya ini macam budak lelaki, baju kurung pun saya tak pernah pakai. Asyik pakai kemeja T dan seluar lelaki. Mak pun tak boleh buat apa-apa dengan saya," katanya dalam tawa kecil.
Pun begitu dalam menjalani warna-warni zaman kanak-kanak, ada satu angan-angan berciri feminin yang akhirnya mampu diraih oleh Fathia kini.
"Saya berangan nak jadi puteri! Tapi puteri yang lasak! Aneh bukan? Ya... tapi itulah yang saya impikan walaupun masa dulu saya ini budak tomboi.
"Tak sangka pula angan-angan itu jadi kenyataan. Dah besar begini dapat juga jadi puteri," katanya membuka bicara mengenai watak Bidasari.
Bakal dipentaskan di Istana Budaya, (IB) Kuala Lumpur pada 10 hingga 17 Februari ini, Bidasari menampilkan Fathia sebagai watak utama selain Raja Azura, Aiman Hakim Ridza, Jalaluddin Hassan dan Radhi Khalid.
Menyaksikan langkah pertamanya ke dalam dunia pementasan teater, Fathia mengaku tidak mampu menyembunyikan debaran dan rasa terujanya.
Tanpa pengalaman menurut Fathia, biarpun Bidasari bakal menguji kredibilitinya sebagai seorang pelakon dia seronok diberi peluang memenuhi impian zaman kanak-kanaknya.
"Bidasari digambarkan sebagai seorang wanita yang sempurna. Cantik, baik hati dan segala-gala tentang Bidasari adalah cerminan aura seorang puteri raja yang memikat mata dan hati sesiapa sahaja yang melihatnya.
"Siapa yang tak teringin menjadi puteri? Masa kecil, walaupun saya ini lasak, saya suka menonton kartun Disney yang terkenal dengan karakter-karakter puterinya seperti Cinderella, Snow White, Sleeping Beauty dan Rapunzel.
"Selalu saya berimaginasi untuk menjadi seperti karakter-karakter itu," ceritanya.
Berbesar hati menerima tawaran untuk watak Bidasari, Fathia menggambarkan bahawa pementasan itu adalah berkonsep Melayu klasik dan berciri tradisional.
"Bila sebut tentang tradisional dan klasik, paling dekat dengan elemen itu adalah tarian. Ini membuatkan saya semakin teruja sebab saya suka tarian tradisional.
"Semasa di sekolah saya pernah menyertai pasukan tarian tradisional. Meskipun tak begitu pakar dalam bab ini, sekurang-kurangnya saya ada asas tarian.
"Inilah masanya untuk saya asah kembali. Kalau dulu skopnya cuma di sekolah kali ini saya berpeluang menunjukkan bakat tarian tradisional di sebuah pentas berpresij seperti IB. Memang benar-benar mengujakan!" katanya.
Sering terpegun dengan keindahan filem-filem Melayu lama terutama tarian tradisional kata Fathia, dia tidak mampu menafikan hatinya begitu terpaut pada kelembutan dan kehalusan seni tari Melayu yang ditonjolkan di dalam filem-filem lama itu.
Siapa tak suka perhatian?
Mana-mana wanita yang gemar berangan untuk menjadi puteri, menyelami kesempurnaan kehidupan si puteri yang umpama tiada cacat cela, seseorang itu dikatakan sukakan perhatian.
Masakan tidak, kemana-mana pergi seorang puteri itu tidak pernah gagal menerima perhatian ramai dan banyak mata pasti tertumpu pada setiap langkah mereka.
Kalau tak percaya, lihat sahaja Puteri Wales, Diana sewaktu mendiang masih hidup. Tidak pernah sekali pun dia gagal memancing perhatian ramai dalam setiap gerak gerinya.
Adakah Fathia juga sukakan perhatian? Ini jawabnya.
"Seperti seorang puteri, saya juga sukakan perhatian. Tetapi harus difahami, bukan dari segi kontroversi.
"Saya mahu mencari perhatian ramai menerusi bakat seni yang saya ada. Saya mahu orang hargai bakat saya bukan tahu dan bercerita mengenai hal-hal lain," ujarnya.
Bidasari menyaksikan Fathia bergandingan lagi dengan lelaki yang disebut-sebut merupakan kekasihnya, Aiman Hakim Ridza. Bezanya selepas drama Diandra, ini merupakan gandingan pertama mereka sebagai pasangan di pentas teater.
Melihat keadaan itu maka ada yang mula mengusik, tidakkah kekok berlakon di samping kekasih sendiri di pentas? Sedangkan sebelum ini kecoh dikatakan watak Tengku Indra itu sepatutnya dilakonkan oleh pelakon Indonesia, Baim Wong.
Cuma tersenyum dan seboleh-bolehnya menyusun kata sebaik mungkin menurut Fathia, profesionalisme dalam kerjaya menjadikan dia atau Aiman tidak punya masalah bergandingan bersama.
"Sudah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan watak ini dengan baik maka tentu sekali saya dan dia akan berusaha untuk tidak merosakkannya," katanya.
Mengulas lanjut kata Fathia, dia sebenarnya kurang gemar apabila terlalu kerap orang mengaitkan kerjaya dengan hubungan cintanya dengan Aiman yang telah menjangkau usia lima tahun.
Bukan tidak sukakan publisiti cuma bagi Fathia adakalanya terlalu banyak cerita peribadi yang disogokkan boleh membuatkan orang mual.
"Saya tahu saya dan Aiman memang tak boleh menutup mulut orang untuk bercakap mengenai kami. Saya bukan apa, bimbang orang bosan. Balik-balik cinta, cinta, cinta.
"Lagipun bagi saya perkara ini terlalu peribadi. Kadangkala ada perkara yang saya lebih suka untuk simpan sendiri. Namun orang di luar pula seakan-akan lebih tahu.
"Saya tak mahu komen sejauh mana hubungan saya dengan Aiman. Saya cuma akan cakap, kalau menjadi, barulah saya akan beritahu. Maksud saya, kalau membawa kepada gerbang perkahwinan.
"Selagi tidak sampai ke arah itu, saya tak berani cakap lebih-lebih. Nanti bimbang akan memalukan saya sendiri pula. Apa pun, saya cuma boleh katakan, keluarga tak halang persahabatan kami," katanya yang mahu agar masyarakat mengerti keputusannya untuk tidak terlalu bercerita mengenai kisah cinta antaranya dengan Aiman.
0 comments:
Post a Comment