Loading...
Sunday, February 2, 2014

Fasa baru Scha dan Awal

DUA minggu lalu menerusi akaun Instagram Awal Ashaari dan Scha Alyahya, pasangan itu mengumumkan berita gembira menantikan cahaya mata sulung mereka. Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan pasangan itu menemui jalan buntu. Baik Awal mahupun Scha masing-masing mengambil keputusan untuk tidak berkongsi lanjut berita gembira itu dengan mana-mana akhbar.
Kosmo! baru-baru ini memburu pasangan itu untuk mendapatkan cerita lanjut hal tersebut selepas tamat acara Anugerah Juara Lagu ke-28 di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Secara eksklusif, Scha memberitahu bukan sengaja melarikan diri daripada media tapi dia alah terhadap bunyi deringan telefon kesan daripada alahan kehamilan pertamanya.
"Saya tidak boleh dengar bunyi telefon, atas alasan itu juga saya lebih banyak letakkan telefon saya dalam mode senyap. Awal yang duduk bersama saya pun akan 'senyapkan' telefonnya. Sebab itu saya jarang pegang telefon, jawab panggilan mahupun balas mesej," jelas Scha.
Alahan
Selain itu, Scha turut mengalami alahan teruk terhadap makanan dan solekan hingga tidak mampu bersiap atau keluar rumah sepanjang trimester awal kandungannya.
"Saya tidak boleh bersolek sangat dan tidak boleh bersiap, sampaikan saya tidak larat untuk melakukan apapun. Mahu keringkan rambut pun tak boleh. Lebih teruk, saya tidak boleh tengok orang berambut perang, akhirnya saya akan rasa pening dan loya.

SCHA dan Awal teruja menanti kelahiran buah cinta sulung mereka.


"Sehari dua alahan loya terkena pada Awal juga tapi kembali pada saya sampai muntah teruk. Masa itu saya tidak boleh bekerja atau buat apa-apa pun, mujurlah Muzik-Muzik banyak bercuti. Jadi, saya ambil kesempatan itu untuk berehat. Memang sangat mencabar dan menguji saya sebagai seorang yang baru pertama kali hamil," tambahnya.
Malah kata Scha akibat terlalu kerap muntah, badannya mengalami kekurangan air dan perlu mendapatkan perhatian doktor namun simptom itu semakin berkurangan apabila usia kandungan memasuki empat bulan.
"Penat masih ada tapi sudah berkurangan. Rasa loya pun sudah tiada, cuma sekarang saya cepat penat. Saya tidak mengidam makanan pelik-pelik, namun kadang-kadang tekak rasa mahu makan macam-macam. Ada masa mahu makan nasi tomato, dendeng, rendang, minum air jagung dan macam-macam lagi," kata Scha tertawa.
Kerja berat
Atas faktor itu juga Scha kini lebih banyak berehat dan tidak menumpukan perhatian pada lakonan. Bercampur rasa khuatir, prihatin dan berjaga-jaga terhadap usia kandungan yang masih baharu, pelakon itu hanya terbabit dengan promosi produk yang melantiknya sebagai duta.
"Memandangkan usia kandungan saya masih baru dan ini pengalaman pertama saya hamil, saya menjadi takut. Saya perlu jaga betul-betul dan pertimbangkan banyak aspek untuk menerima tawaran berlakon atau mengacara. Namun, komitmen lama saya masih teruskan contohnya Muzik Muzik yang hanya perlukan saya sekali setiap minggu.
"Ada beberapa produk yang tidak boleh ada imej ibu hamil terpaksa saya tolak sebab tidak bersesuaian. Kebanyakan produk yang melantik saya sebagai duta tidak memerlukan kemunculan saya dalam tempoh yang lama," jelas Scha lagi.
Mengimbas kembali detik awal sedar dirinya hamil, dalam nada teruja kata Scha, dia mengetahui khabar gembira itu pada tanggal usia perkahwinannya setahun setengah.

GAMBAR imbasan ultrabunyi anak yang dikandung Scha yang dimuatnaik ke dalam Instagram miliknya baru-baru ini.


"Saya hamil tepat pada setahun setengah kahwin, bagi saya secara peribadinya tidak rasa jarak masa selepas berkahwin hingga hamil adalah terlalu lama.
"Kami tidak menunggu, merancang atau mengharap. Ini semua rezeki. Ramai antara kenalan kami yang sudah lama berkahwin masih tidak punyai anak. Alhamdulillah, ini berkat doa keluarga dan peminat," katanya.
Jantina anak
Bayi lelaki atau perempuan? Jawab Scha dia tidak meletakkan sebagai jangkaan atau harapan, cukup sekadar anaknya cukup sifat dan sihat.
"Saya tidak boleh mengagak, ada yang cakap saya hamil anak lelaki sebab tidak suka bersiap, ada yang cakap anak perempuan sebab perut saya kecil. Untuk anak sulung, saya tidak kisah jantinanya. Awal pun tak cakap apa-apa tapi mungkin dia mengharapkan anak lelaki kerana dia suka menghias atau stailkan seperti dia juga," kongsi Scha.
Ujar Scha, dia mendapat tahu dirinya hamil setelah lambat datang bulan dan memeriksa menggunakan alat penguji kehamilan sendirian.
Dalam situasi percaya dan tidak, Scha memaklumkan Awal dan pasangan itu membeli lima buah alat penguji kehamilan berbeza jenama.
"Tertulis pada alat itu saya hamil tapi saya tidak menangis sebaliknya menggeletar. Biar betul! Apabila detik itu betul-betul terkena pada kita rasa macam tidak percaya. Alhamdulillah, selepas membuat pemeriksaan dengan doktor dan mengesahkan saya hamil, detik itu saya tidak boleh lupakan sampai bila-bila," simpulnya.


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP