PELAKON filem Cuak rata-ratanya dibintangi oleh wajah yang asing daripada industri arus perdana. Peranan utamanya dijayakan oleh Ghafir Akbar dan Dawn Cheong selain disokong oleh pelakon lain seperti Tony Eusoff, Gavin Yap, Iedil Putra, Ash Nair, Patrick Teoh, Craig Fong dan Corinne Adrienne.
Lainnya filem itu kerana ia asalnya sebuah idea untuk menghasilkan filem pendek kemudian dikembangkan dan dimasukkan beberapa subplot untuk mengisi durasi masa lebih kurang 1 jam 45 minit.
Hal ketiga yang menarik mengenai filem itu kerana ia filem pertama di Malaysia yang diarahkan oleh lima orang pengarah tanpa memecahkan subjek dan jalan cerita.
Lima pengarah yang dimaksudkan ialah Khairil M Bahar, Lim Benji, Manesh Nesaratnam, Tony Pietra Arjuna dan Shamaine Othman.
Plot cerita filem ini amat mudah. Ia mengenai seorang lelaki bernama Adam (Ghafir Akbar) dalam perjalanan untuk ke majlis akad nikah dengan bakal isterinya yang merupakan seorang mualaf bernama Brenda (Dawn Cheong) tapi tiba-tiba tercetus perasaan berbelah-bagi atas keputusannya untuk berkahwin.
Ketika itu pelbagai kisah silam muncul satu persatu sepanjang tempoh perkenalan dengan bakal isterinya. Imbas semula itu telah memperkenalkan keluarga kedua-dua belah bakal pengantin dan individu sekeliling mereka kepada penonton.
Sejujurnya, penonton yang mahu menyaksikan filem ini harus mempersiapkan minda dan membuka kotak fikiran untuk tidak terikat dengan persepsi, stereotaip dan isu tabu.
Hal ini kerana ada antara babak yang dipaparkan dalam filem ini menyentuh beberapa isu semasa dan sensitiviti agama yang berlaku dalam tempoh masa terdekat.
Antaranya, isu memperlahankan laungan azan yang dicetuskan di sesetengah tempat di Malaysia sekitar awal tahun lalu turut diselitkan dalam satu babak pertelingkahan antara Adam dan Brenda dalam filem itu.
Menjawab isu terbabit, kata anak kepada pengarah terkenal Othman Hafsham, Shamaine Othman, dialog yang membabitkan isu azan dan bacaan al-Quran itu adalah satu pandangan dua pihak iaitu mualaf dan orang Islam sendiri.
“Isu agama yang dibangkitkan dalam filem Cuak adalah tersurat dan tidak berniat untuk mengutuk atau menyerang mana-mana perlembagaan atau undang-undang yang telah sedia ada.
“Ia adalah babak berkaitan dua pemahaman berbeza mengenai seorang individu yang baru memeluk agama Islam yang lebih sensitif terhadap isu memperlahankan laungan azan dan bacaan al-Quran berbanding individu sedia asal Islam.
“Pertikaian mengenai azan adalah satu metod untuk memanaskan keadaan sehingga terbit kesedaran pengorbanan untuk menukarkan agama demi kasih sayang.
“Apa yang saya ingin tonjolkan adalah kadang-kala individu bukan muslim lebih sensitif berbanding orang Islam,” jelasnya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Cuak di TGV 1 Utama, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Dalam pada itu, Shamaine dan empat pengarah lain peka terhadap sensitiviti beberapa babak yang membabitkan minuman keras serta perhubungan bebas antara lelaki dan perempuan.
“Lebih setahun filem ini menjalani pelbagai proses sebelum berjaya ditayangkan akhirnya dan sepanjang tempoh itu kami sentiasa berbincang untuk memastikan tiada pihak yang tersinggung,” kata Shamaine.
Pengarah muda yang baru pertama kali diberikan kepercayaan itu mengarahkan slot pertikaman lidah antara pasangan Adam dan Brenda di kediaman mereka sebelum berkahwin.
Sementara itu, penerbit filem Cuak, Michael Chen meletakkan harapan tinggi untuk filem itu diterima umum oleh penonton di Malaysia.
“Walaupun filem ini berbeza sifat seperti filem komersial yang sedia ada, kami yakin jalan cerita ini boleh diterima ramai.
“Kami mensasarkan golongan urban daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa untuk menonton filem ini. Lagipun, kalau disebut akad nikah pasti semua akan faham,” katanya mengenai filem yang menelan bajet RM500,000.
Cuak akan hanya ditayangkan di 10 buah pawagam Tanjong Golden Village (TGV) di seluruh negara dari 14 hingga 28 Februari ini.
Antaranya TGV 1 Utama, KLCC, Wangsa Walk (Kuala Lumpur), Seremban 2 (Negeri Sembilan), Mesra Mall (Terengganu), Kinta City (Ipoh) dan Tebrau (Johor).
0 comments:
Post a Comment