ISU menggunakan gambar seseorang terutamanya selebriti secara sembarangan bukanlah sesuatu yang baharu. Banyak kes seperti itu telah timbul dan membuatkan ramai artis tidak berpuas hati sehingga membuat laporan polis.
Tidak ketinggalan dalam isu membabitkan pelantun lagu Langit Ketujuh, Sharifah Zarina. Gambar peribadinya yang disyaki diambil daripada laman sosial facebook telah digunakan dengan sewenang-wenangnya.
Lebih malang, gambar tersebut yang dimuat naik dalam sebuah blog untuk artikel yang langsung tiada kaitan dengan diri Sharifah Zarina.
Menyifatkan perbuatan pengendali blog itu sebagai tidak beretika, Sharifah Zarina yang dihubungi Hits berkongsi cerita itu dengan harapan dia akan mendapatkan keadilan agar penulis blog berkenaan dikenakan tindakan selanjutnya.
HITS: Sejak bila awak tahu tentang perkara ini dan siapa yang memaklumkan kepada awak?
SHARIFAH ZARINA: Saya hanya mengetahui benda ini berlaku sekitar dua bulan yang lalu apabila pereka baju saya menghantar link blog yang ada gambar saya. Selain itu, anak saudara saya ada juga berkongsi link blog itu kepada saya di facebook.
Kenapa sekarang baharu bertindak sedangkan benda itu sudah lama berlaku?
Pada mulanya saya tidak mahu mengambil apa-apa tindakan. Bagi saya tidak salah kalau penulis blog itu menggunakan gambar saya tetapi apabila merasakan artikel yang ditulis tiada kaitan dengan diri saya, tindakan perlu diambil oleh saya. Lagipun, dia tidak menulis kapsyen gambar tersebut sebagai gambar hiasan.
Apa yang membuatkan awak betul-betul ingin bertindak?
Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak kisah orang menggunakan gambar saya kerana bagi saya ia adalah satu publisiti kepada diri kita. Namun, tindakan penulis blog itu sudah keterlaluan. Bukan sahaja gambar saya digunakan dalam artikel yang tiada kaitan, malah tajuk yang digunakan betul-betul menyakitkan hati saya. Dengan tajuk Aneh: Gadis Cantik Malaysia Dipenjara 2 Tahun Kerana diperkosa Penceroboh!, sekali dengan gambar saya, bukankah itu akan jatuhkan maruah kita? Padahal itu semua tiada kaitan dengan diri saya apabila dibaca balik artikel tersebut.
Apakah tindakan yang sudah awak lakukan?
Atas bantuan suami dan rakan-rakannya, saya telah berjaya mengesan siapa penulis blog tersebut termasuk alamat beroperasinya blog itu. Namun, saya tidak terus menyerang penulis berkenaan kerana saya perlu menghebahkan perkara ini kepada media supaya orang yang bertanggungjawab tahu akan kesilapannya sebelum saya mengambil tindakan yang lebih dashyat. Selain itu, saya juga telah membuat laporan polis pada 13 Februari lalu di Balai Polis Kampung Melayu Subang.
Harapan awak selepas tersebarnya cerita ini di pihak media?
Saya cuma mahukan penulis blog tersebut memadam balik semua yang ditulis dalam blognya dan tampil meminta maaf. Oleh itu, saya beri tempoh tujuh hingga 14 hari untuk dia bertindak. Kalau tidak dipadam, saya terpaksa memberi surat amaran sebelum saman dikeluarkan kerana perkara itu ternyata telah memalukan saya termasuk keluarga saya. Ia mengaibkan saya sedangkan saya tidak lakukan apa-apa.
Apa pula perkembangan terkini awak?
Perjalanan karier saya agak perlahan sekarang sebab saya sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM) dalam jurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak. Selain itu, saya juga sedang dalam rangka mempromosikan lagu saya iaitu Mengharap Cinta.
Kenapa ambil keputusan untuk belajar lagi?
Saya sebenarnya ada perancangan untuk membuka sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska). Sebab itu bidang yang saya ambil ke arah kanak-kanak. Saya mahu tahu tentang penjagaan kanak-kanak sebelum saya sendiri membuka taska. Namun, kerjaya nyanyian saya tidak akan pernah terhenti.
Penampilan awak juga kelihatan berbeza sekarang dengan memakai tudung. Bila dan kenapa ambil keputusan untuk berhijab?
Keputusan ini datang dengan sendirinya. Saya sudah bertudung sejak dua bulan yang lalu. Mungkin saya sudah mendapat hidayah. Sebelum ini selepas kembali daripada mengerjakan umrah pada Mac tahun lalu pun saya belum berhijab.
0 comments:
Post a Comment