Pernah merasai kesulitan mendapatkan wang demi sesuap nasi, penyanyi cilik kelahiran Subang, Indonesia, Tegar Septian menangani suratan hidupnya dengan santai tanpa perlu dibebani tekanan.
Percaya Tuhan selalu memberikan yang terbaik untuknya, Tegar matang mencorakkan perjalanan hidupnya.
Pengurusnya, Alfas turut melihat pola pemikiran anak kelahiran Pemalang pada 18 September 2001 itu matang sebelum usianya.
“Jika berdepan kesulitan, saya akan ingat pengalaman hidup di jalanan. Saya sudah tahu bagaimana susahnya mencari sesuap nasi.
“Dulu saya terpaksa menyanyi di kedai atau tempat tumpuan umum untuk mendapatkan wang bagi membeli makanan,” katanya.
Sering menghiasi kaca televisyen mengalunkan suara, populariti yang diraih Tegar membawanya ke seluruh pelusuk Indonesia malah namanya juga mengharum di negara jiran seperti Malaysia, Singapura selain Hong Kong.
Tegar menyifatkan dirinya, memiliki kemahuan yang tinggi dan akan berusaha mendapatkan sesuatu yang dihajatinya, biarpun terpaksa menempuh laluan sukar.
“Saya bersyukur kerana kemahuan tinggi dan kesungguhan itu membawa saya menjadi seperti hari ini. Saya diberi kesempatan oleh Tuhan untuk merasai hidup yang lebih baik,” katanya.
Perubahan yang dilalui selepas video persembahannya di muat naik di jejaring sosial, YouTube yang membataskan jadual hariannya, minat Tegar terhadap sukan motocross tidak pernah berubah.
Katanya, sejak kecil minat terhadap motorcross sudah bercambah dan apabila diberikan Tuhan rezeki, laluannya untuk menggeluti sukan itu semakin dipermudahkan.
“Selain menyanyi, saya juga giat berlatih motorcross kerana saya menyimpan impian untuk menekuni bidang itu secara profesional.
“Cuma dalam masa terdekat ini, fokus saya lebih kepada nyanyian kerana masih terikat dengan promosi album. Tetapi jika ada kelapangan, saya akan ke sirkit di Dapok untuk berlatih,” katanya.
Baru pulang daripada menyempurnakan persembahan di Hong Kong, kesempatan singkat itu turut dimanfaatkan Tegar untuk bersantai melepaskan lelah.
Berangkat ke Hong Kong pada 17 Januari lalu, Tegar tidak menanti lama untuk menghirup udara segar apabila terus menuju ke Victoria Peak.
Sehari selepas itu, jadual Tegar padat kerana terbabit dalam persembahan amal untuk mengumpul dana membantu tenaga kerja Indonesia yang menjadi mangsa deraan majikan di situ.
Biarpun tidak punya kesempatan lama, Tegar ceria dapat melepaskan lelah di Disneyland sebelum terbang pulang pada 20 Januari lalu kerana terbabit dalam persembahan untuk Anugerah Dahsyat.
Tidak dieksploitasi
Jika tidak terikat dengan persembahan di luar daerah, Tegar akan memulakan harinya seawal jam 8 pagi dengan belajar di rumah ditemani gurunya, Anggre dari Sun Homeschooling.
“Saya suka bahasa Inggeris dan Matematik kerana tidak terlalu mudah untuk difahami. Tetapi Pendidikan Kewarganegaraan itu agak berat untuk difahami.
“Sudah setahun saya mengikuti program pembelajaran di rumah. Dulu saya pernah bersekolah di As Salafi Desa Krangkeng, tetapi apabila Darjah Dua saya berhenti kerana perlu bekerja untuk mencari wang,” katanya yang kini menetap di sebuah apartment di Grogol, Jakarta Barat.
Seperti kanak-kanak lain, Tegar juga mempunyai keinginan untuk memiliki masa depan yang cerah. Meskipun populariti Tegar berupaya menjana wang yang lumayan, pengurusannya enggan anak kecil itu dieksploitasi hanya untuk mengejar untung.
“Kami ingin dia membesar menjadi anak yang mempunyai masa depan yang cerah. Pendidikan itu penting dan kami cuba membantu untuk mengembangkan bakatnya,” kata Alfas.
Henti merokok
Turut merencana untuk menjayakan persembahan di Amerika Syarikat tidak lama lagi, Tegar berkata, dia gigih menekuni bahasa Inggeris untuk memudahkan komunikasinya nanti.
Tegar juga bersyukur dengan pendapatannya kini sudah mampu membelikan keluarganya kediaman yang selesa dan keperluan harian.
“Alhamdulillah, saya sudah memiliki iPad, rumah dan motosikal. Saya cuma mahu berjaya sebagai penyanyi dan pelumba motorcross. Alhamdulillah, perlahan-lahan cita-cita itu semakin menjadi kenyataan,” katanya.
Rutin hariannya itu juga menuntut Tegar untuk menitikberatkan kesihatannya dan akuinya, sejak setahun lalu dia sudah berjaya meninggalkan tabiat merokok.
“Dulu saya hanya mencuba-cuba, tidak sangka akan ketagihan. Awal dulu, saya akan sembunyi untuk merokok. Jika tidak diberi wang poket, saya akan menyanyi di jalanan untuk membeli rokok.
“Memang susah tetapi saya cuba juga tinggalkan. Alhamdulillah, sekarang sudah berhenti kerana saya tahu bahaya rokok untuk kesihatan.
“Jika keinginan untuk merokok datang, saya akan cari jalan dengan berbuat sibuk dan melupakannya. Selalunya saya akan bermain atau melakukan apa saja supaya tidak terus memikirkannya,” katanya.
Tegar berkata, untuk menjaga kesihatan dia sering menikmati buah-buahan dan minum air putih. Kesukaannya adalah jus lobak merah.
0 comments:
Post a Comment