Loading...
Tuesday, January 28, 2014

Awie Erra kembali bercinta semula

SENGAJA mencipta dejavu untuk mengembalikan semula ingatan peminat filem paling laris dalam kitaran 1990-an, Sembilu dan Sembilu 2, Awie kini sedang memamah iltizam.
Benar bagai dikata, kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagu- nya. Sulit untuk memulakan langkah setelah episod cinta realitinya berakhir dengan air mata lewat tahun 1998, Awie dan Erra Fazira bertindak atas dasar profesionalisme.
Kata Awie, biarpun dia dan Erra sebelum ini pernah mengharungi pahit maung bercinta yang akhirnya tumpas di tengah jalan, pementasan yang diberi judul Konsert Teaterikal Suara Kita yang bakal dipersembahkan di Istana Budaya bermula 3 Mac depan akan diledani tanpa ada sebarang syak wasangka.
"Benar, ini adalah sejarah yang sukar untuk diulang balik tapi secara profesionalnya kami melakukan pementasan ini dengan niat untuk bekerja.
"Lakonan hanya lakonan, mungkin akan menjadi lebih daripada realiti atau sekadar lakonan di pentas semata-mata. Masing-masing sudah ada batasan perlu dijaga, berhenti apabila perlu berhenti," ujarnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar pelancaran Konsert Teaterikal Suara Kita di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Izin keluarga
Hal itu dibalas dengan kepercayaan yang diberikan oleh isterinya, Rozana Misbun yang telah menjadi insan pertama dimohon restu untuk bergandingan kembali dengan Erra yang merupakan bekas kekasihnya.
"Sebelum memulakan langkah, saya menantikan 'lampu hijau' daripada isteri saya kerana setiap perkara yang saya lakukan perlu ada restu daripada pihaknya.

PROFESIONAL... Erra dan Awie yang pernah bercinta suatu ketika dahulu kini akur masing-masing sudah memiliki kehidupan peribadi sendiri.


"Hal ini boleh membabitkan keluarga dan perasaan. Bimbang juga nanti kesannya boleh mendatangkan mudarat kepada pihak lain. Memang Rozana pada mulanya terperanjat apabila saya maklumkan mengenai hasrat ini tapi dia memahami kerjaya saya dan mengizinkan saya 'bercinta' semula," jelas Awie berseloroh.
Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman menyifatkan hasrat menjayakan Konsert Teaterikal Suara Kita adalah suatu impian yang menjadi realit sepertimana keinginanny. Begitu juga impian peminat untuk melihat tiga bintang kesayangan mereka berpadu keringat.
"Idea untuk menerbitkan pementasan ini lahir dua tahun lepas apabila saya menonton kembali filem lakonan kami bertiga, Sembilu yang saya fikir pernah menjadi fenomena suatu ketika dulu.
"Kenapa tidak fenomena itu diangkat ke pentas teater pula memandangkan ramai yang mahukan kami bertiga kembali bersatu.
"Secara tidak langsung boleh mengimbas semula detik dan nostalgia lama," kata Awie yang menerbitkan sendiri pementasan itu menerusi syarikatnya, Awie Entertainment Sdn. Bhd.
Risau
Persepsi dan hati perkara pokok untuk menjayakan pementasan itu. Kata Erra pula, kerisauan utama adalah reaksi masyarakat apabila dia sendiri bersetuju untuk berlakon bersama Awie selepas sekian lama mengelak untuk bertembung antara satu sama lain.
"Saya tiada masalah kerana kami pelakon, tidak perlu terkesan di mana-mana pun. Kegusaran saya terlerai sebenarnya apabila kerana saya sudah meminta keizinan daripada suami saya untuk berlakon bersama Awie.
"Namun, kerisauan lain mula terdetik di hati apabila saya perlu kembali menyanyi, tambahan pula bergandingan dengan penyanyi bersuara hebat seperti Awie dan Ziana.
"Memandangkan masa kami berlatih pun terhad, kami cuba untuk buat sebaik mungkin dan mengurangkan kesilapan," kongsi Erra.
Dalam pada itu, Erra menerangkan, dia tiada sebarang masalah untuk melakonkan kembali babak popular dalam filem-filem berkenaan, namun tidak meletakkan sebarang syarat sepanjang persembahan.
"Saya percaya Erma Fatima (pengarah teater) akan berkarya dengan kreatif dan faham batasan antara pelakon. Bagi saya, tiada sebarang syarat remeh-temeh diletakkan untuk menyusahkan sesiapa dan pastinya tidak akan ada babak-babak yang keterlaluan," kata pelantun lagu Jendela Hati itu.
Tidak mengagak untuk kembali beraksi bersama Awie, Erra menjelaskan, dia sudah meminta keizinan daripada suaminya, Engku Emran Zainal Abidin dan keluarga kedua-dua belah pihak.
Sebelum ini, Erra pernah diundang oleh produksi Tunggu Sekejap untuk tampil sebagai tetamu dalam rancangan yang dihoskan oleh Awie secara mengejut, sementelah itu tidak menolak akan berkolaborasi lagi bersama Awie selepas menjayakan Konsert Teaterikal Suara Kita nanti.

ZIANA pertama kali berlakon produksi mega di Istana Budaya menerusi karya Konsert Teatrikal Suara Kita.


Peluk Awie
Ziana individu pertama disunting Awie sebelum Erra. Ketika pertemuan bersama pelantun lagu Madah Berhelah itu, Awie menyuarakan hasrat untuk bergabung kembali di pentas teater dan impian itu telah disambut baik oleh Ziana.
"Seronok sebenarnya melihat turun naik hubungan Awie dan Erra muda-muda dulu, sekarang detik itu dikembalikan semula seperti satu reunion.

"Memang inilah yang ditunggu-tunggu oleh peminat yang membesar dengan filem Sembilu contohnya dan ini hadiah kami untuk penyokong setia selama ini," luncur kata Ziana sambil berkeletah.
Pertama kali Ziana menjejakkan kaki di pentas Istana Budaya untuk sebuah persembahan perdana, dia mengaku cukup teruja.
"Memandangkan konsert ini menyelitkan elemen teater, sudah pasti rutin latihan pun berbeza berbanding konsert sebelum ini. Lebih banyak masa akan diluangkan bersama nanti.
"Rindu sebenarnya untuk berkampung, apabila menonton kembali filem lakonan lama, terus teringat zaman muda-muda dulu," ujarnya yang mungkin bakal menyanyikan lagu Korban Cinta, Kekal dan Senja Nan Merah untuk pementasan itu.
Mengimbau kembali kenangan berlakon bersama Awie pada awal pembabitannya, Ziana mengakui, babak memeluk Awie adalah paling sukar dan pernah dia bertegas untuk berpelukan tanpa bersentuhan.
Konsert Teaterikal Suara Kita yang dipentaskan selama tujuh hari berturut-turut akan dipecahkan kepada dua segmen iaitu konsert yang menampilkan Awie, Erra dan Ziana menyampaikan beberapa buah lagu malar segar daripada album solo mereka.
Segmen kedua iaitu teater muzikal adalah karya baharu yang diadaptasi daripada babak-babak popular filem Sembilu, Sembilu 2, Merah, Tragedi Oktober dan Maria Mariana dan diselang-seli dengan nyanyian.

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP